SEPADAN...sama cantik sama padan. Padanan baju kurung Pahang dan kebaya bunga tabur menyerlah gaya.
SEPASANG kurung Pahang dan kebaya songket bunga tabur hijau dan coklat disarungkan ke tubuh dua jelitawan ini.
Rambut disanggul rapi bersama sekuntum kekwa putih menghiasi celahan rambut. Anggun dan jelita apabila kedua-duanya disatukan bagi menghiasi konsep lebaran klasik dan tradisi.
Selain padanan serta gaya rambut, solekan turut memainkan peranan penting.
Ramai tidak tahu solekan klasik boleh dilihat menerusi teknik mainan warna pada pembayang mata serta serlahan rona terang gincu yang disapu pada bibir.
Kalau dulu gincu merah hanya dipadankan dengan warna pakaian tertentu, kini rona ini sesuai dengan sebarang warna pakaian seperti hijau atau coklat. Persoalannya, beranikah anda tampil dengan gaya begini pada pagi Aidilfitri?
Menurut jurusolek profesional Lancome, Zafirah Zakaria atau Fiefy, ramai wanita memilih jalan selamat, mengenakan solekan lembut pada wajah kerana khuatir akan mencacatkan penggayaan. Ini ditambah corak berbunga pada busana menjadikan wanita bimbang solekan yang terang dan keterlaluan membuatkan penampilan jadi tumpuan.
“Tetapi sebenarnya tidak. Asas dalam solekan ialah wanita perlu tahu bahagian yang ingin ditonjolkan, sekali gus memberi perhatian padanya. Misalnya untuk gaya klasik, sapuan gincu merah menyala atau merah bata cukup menggambarkan gaya solekan sebegini.
“Apabila bibir sudah menonjol, wanita tidak perlu menggunakan rona terang untuk pembayang mata. Cukup dengan campuran warna pastel dan diseimbangkan menerusi teknik sapuan sekata pada kelopak mata,” katanya.
Tambahnya, gaya pemakaian gincu merah yang dulunya popular di sekitar era 60-an kini menjadi trend semasa yang sentiasa popular dan tidak lapuk ditelan zaman.
Terdapat pelbagai variasi merah yang boleh dipadankan mengikut rona kulit, pakaian dan usia seseorang.
Untuk mereka yang berkulit sawo matang, merah hati lebih sesuai berbanding merah cili yang kena untuk wanita berkulit cerah manakala sapuan gincu merah tanpa pengilat kelihatan lebih klasik.
Tambah Fiefy, wanita berbibir mungil lebih terserlah dengan padanan warna ini manakala bagi yang berbibir nipis membentuknya menjadi lebih tebal akan menyerlahkan keseksian wanita.
Pada permulaan mungkin wanita berasa janggal, tetapi percayalah keseimbangan solekan terutama dalam pemilihan warna akan memberikan keyakinan sama ada pada pagi Aidilfitri atau menghadiri rumah terbuka.
“Ramai wanita takut untuk melakukan eksperimen serta kurang selesa dengan gincu merah terang kerana bimbang menjadi tumpuan.
“Namun begitu, jika gincu merah dipilih dengan berhati-hati dan digayakan dengan betul, ia akan menjadi pelengkap sekali gus menyerlahkan gaya elegan dan classy untuk apa juga acara sama ada bagi yang bertudung atau tidak,” katanya.
Bagi yang tidak bertudung, dandanan rambut akan menambah kejelitaan wanita.
Oleh itu untuk gaya klasik, bersanggul adalah pilihan terbaik.
Menurut pendandan Antico Hair Professionals, Kelvin Chay, wanita berambut panjang sesuai diberi sentuhan anggun menerusi teknik sanggul atau meletakkan sepit pada bahagian kiri dan kanan rambut. Ini bagi memberikan kemasan dan tumpuan pada solekan.
“Terdapat pelbagai sanggul yang boleh digayakan sama ada sanggul rendah dan membiarkan rambut berjurai cantik atau sanggul tinggi sepenuhnya. Ini juga bergantung pada gaya solekan dan pakaian dikenakan,” katanya.
Bagi menambah keanggunan, sekuntum bunga boleh diletakkan pada sebelah kanan rambut bersesuaian dengan gaya klasik yang ingin ditonjolkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: