|
|
PENYANYI Amy Mastura sememangnya menantikan kemunculan Aidifitri setiap tahun. Hanya pada hari penuh keberkatan itu dia dapat berkumpul seisi keluarga bersama sanak saudara. Saling menghulurkan tangan dan bertanyakan khabar antara satu sama lain.
Justeru, tidak hairanlah andai slogan ‘apa makna raya kalau tak pulang ke kampung’ yang diamalkan sejak kecil itu banyak membakar semangat rayanya.
Tradisi itu tetap diteruskan biarpun sudah berkahwin dengan Alvin Tham Suffian. Keriangan lebaran turut dikongsi bersama dua puteri mereka, Adriana, 10, dan Adalia, 6.
Mengikut pemerhatian Amy sebagai ibu, kedua-dua anaknya itu lebih teruja dan banyak bercerita tentang lebaran walaupun baru berpuasa sehari. Perangai itu paling ketara dilihat pada anak bongsu.
“Adalia memang menantikan Syawal sebab hanya pada ketika ini dia dapat berjumpa dengan sepupu dan sanak saudara di kampung. Sepanjang masa, kelihatan Adalia bersama mereka beraya sakan satu kampung.
“Berlainan dengan Adriana yang cenderung kepada juadah masakan raya yang macam-macam. Mungkin seleranya lebih terbuka dengan pelbagai juadah air tangan neneknya bila berkumpul ramai-ramai,” cerita Amy tentang perbezaan dua permata hatinya itu.
Berlainan diri Amy lebih cenderung kepada keinginan untuk memiliki pakaian baharu pada zaman kanak-kanak sebelum menyambut lebaran.
Amy juga memastikan persiapan Aidilfitri sempurna dari hujung kepala hingga ke hujung kaki. Persiapan itu meliputi pakaian ‘tidak rasmi’ iaitu baju tidur asalkan ada ‘bau kedai’.
“Kasut hanya sepasang saja, tapi baju berderet-deret sebab mahu bergaya sakan. Siap rancang pakaian seterusnya yang nak dipakai selepas bertandang raya di rumah kawan-kawan,” imbasnya disusuli riang ketawa.
Duta produk kecantikan jenama Kose ini memberitahu bahawa dia tak akan melupakan kenangan bermain bunga api pada zaman riang lampau.
Saat mereka adik beradik bergembira menanti kedatangan Aidilfitri di kampung nenek di Kuala Kangsar, Perak. Tanpa disangka salah seorang dari abang Amy telah membiarkan mercun meletup di tangan kanannya.
“Peritnya hanya Tuhan saja yang tahu sebab saya rasa macam api itu tembus di tangan. Tapi ada juga kelakar bila nenek meletakkan minyak rambut jenama Brylcreem di tempat melecur itu.
“Bila dikenang-kenang balik, apa istimewanya minyak rambut itu sehingga boleh meredakan kawasan melecur itu,” imbasnya.
Natijahnya, dia diberi layanan istimewa keliling seluruh kampung untuk melihat pesta pelita. Pemandangan cukup indah itu benar-benar telah mengubat hati laranya tatkala itu.
Dalam pada itu, Amy memberitahu bahawa tiada istilah rumah terbuka Aidilfitri secara khusus kerana kediaman kampungnya di Rapat Setia dan Berchang, Ipoh Perak (sebelah mentua) sentiasa dikunjungi pengunjung.
“Tetamu yang datang di kalangan sanak saudara, kenalan dan sahabat. Ada juga peminat yang datang dan tak balik-balik sampai pukul 12 tengah malam.
“Saya sampai tak tahu nak buat macam mana. Takkan kita nak menghalau pula, jadi kami biarkan. Sehingga kami meminta izin kepada individu itu untuk masuk tidur, barulah dia beransur pulang.
“Peliknya, saya mengalami situasi yang sama setiap tahun, cuma berlainan orang saja,” ceritanya bersemangat mengimbas kenangan itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: