|
|
AIDILFITRI kali ini kita sambut dalam perasaan yang tidak akan sama dengan tahun-tahun terdahulu. Kehadiran Syawal yang kebetulan bersamaan dengan sambutan tarikh keramat, 31 Ogos, menjadikan ia cukup istimewa.
Justeru, ada sebab yang cukup releven kenapa Pancaindera menggandingkan lima wajah popular yang digilai ramai hari ini.
Di sebalik gelaran sebagai artis, mereka sebenarnya datang daripada teras yang sama, anak kacukan. Tidak kiralah kacukan Melayu-Inggeris, Melayu-Siam atau Melayu-Cina sekalipun, di situ istimewa mereka.
Barangkali ramai yang menganggap anak kacukan langsung tidak ada semangat cintakan negara.
Melihatkan gaya sosial, cara pergaulan yang agak bebas dan lepas laku, tidak sedikit memberi label bahawa kebanyakan anak kacukan kurang rasa sayangkan Malaysia.
Bukan saja artis, malah anak muda berdarah kacukan lain pun sering ditujah tidak punya hala tuju yang jelas apabila bercakap soal sayangkan Malaysia, maklum sajalah bukan darah Melayu asli.
Benarkah begitu?
Jehan Miskin, Juliana Evans, Zain Saidin, Siti Saleha dan Intan Ladyana sama sekali tidak bersetuju dengan andaian sedemikian.
Kepada mereka, ia adalah satu skeptikal yang wajar diperbetulkan memandangkan Malaysia adalah tanah tumpah kelahiran mereka.
Berbicara dengan pelakon berdarah Melayu, Pakistan dan Afaganistan sebelah ayah dan Cina sebelah ibu , Jehan kelihatan begitu menghayati makna sebenar di sebalik perkataan merdeka.
“Merdeka ni bebas daripada penjajahan. Bukan sekadar bebas semata-mata tetapi dalam masa yang sama kita kena menjaga perhubungan sesama kita. Jangan biarkan isu perkauman dan parti politik memusnahkan apa yang kita ada.
“Sambutlah macam mana sekalipun yang peting kita tahu apa dia erti kemerdekaan yang sebenar-benarnya. Insya-Allah kalau kita tahu apa yang kita perlu lakukan, semuanya akan hebat seperti sedia kala,” jelas Jehan tanpa menyembunyikan rasa bangganya menjadi anak Malaysia berdarah campur.
Bercerita mengenai sambutan hari kemerdekaan pula, Jehan mengakui sehingga hari ini, hanya akhbar Pancaindera sahaja bertanyakan hal itu kepadanya.
Bercakap soal hari raya pula, menurut Jehan, seperti biasa dia akan meraikan 1 Syawal di ibu negara memandangkan semua ahli keluarga menetap di Kuala Lumpur.
“Hari raya umpama tempoh bercuti bagi saya, masa untuk menziarah kawan-kawan dan keluarga.
“Bila hari raya tiba, saya terus teringatkan kurma daging yang dimasak oleh makcik saya. Sedapnya bukan main lagi. Kalau beraya di Kuala Lumpur ni, saya tak kisah sangat pasal makan. Apa yang ada saya belasah sahaja,” kata Jehan tertawa.
Sederhana lebaran
Tahun ini merupakan tahun kebangkitan buat pelakon Siti Saleha Mohd Baharom. Semekar bunga-bunga di taman sama juga hal dengan adik kepada penyanyi Sam Bunkface ini.
Ibu Saleha berdarah British dan Belanda. Neneknya pula kacukan Indonesia manakala ayah orang Melayu sejati.
“Memang sambutan hari raya kali ini meriah buat saya. Orang dah makin ramai yang mengenali siapa Siti Saleha dan banyak perubahan berlaku dalam hidup.
“Pada hari raya pertama saya dan keluarga akan berkonvoi ke rumah saudara mara yang lain. Ayah dilahirkan dalam keluarga besar, 14 adik-beradik. Jadi banyak rumah yang saya kena lawati.
“Dari dulu lagi kami memang buat tradisi macam ni. Lepas raya kedua atau ketiga baru saya ada di rumah untuk tunggu tetamu datang. Selalunya kawan-kawan sahaja yang akan datang beraya.
“Tahun ni sambutan raya masih seperti biasa. Emak ada di UK dan kami hanya meraikan lebaran bersama ayah, abang dan adik.
“Ayah akan masak rendang ayam atau ayam masak kicap. Itu memang juadah wajib bagi kami anak beranak setiap tahun,” jelas Siti Saleha lagi.
Berlainan cara dengan pelakon kacak yang semakin digilai anak gadis, Zain Saidin. Dia akan berkumpul di rumah kakaknya, Sasha Saidin dan bersama ahli keluarga yang lain pada pagi Syawal nanti.
“Bila usia makin meningkat keghairahan untuk sambut hari raya makin kurang. Kemeriahan itu cukup terasa bila hadir bulan Ramadan sahaja. Tapi saya tetapi meraikan 1 Syawal memandangkan itu adalah bulan kemenangan setelah sebulan berpuasa.
“Saya masih ada kampung di Melaka. Cuma semua ahli keluarga yang terdekat ada di Kuala Lumpur, jadi agak jarang saya meraikan lagi di sana.
“Kalau nak cerita hal juadah pula, saya akan memastikan yang lemang ada di atas meja. Itu memang juadah yang wajib ditambah pula dengan lontong, nasi impit dan kuah kacang yang emak saya buat,” kata Zain bersemangat.
Tidak hanya mahu meraikan Syawal semata-mata, anak kacukan Inggeris, Itali di sebelah ibunya mahu mengingatkan semua agar turut sama memaknakan hari Kebangsaan.
Jelasnya, kesenangan dan nikmat yang kita kecapi hari ini merupakan jerih perih orang terdahulu yang sanggup menggadai nyawa mempertahankan bumi Malaysia.
“Biar seseronok mana kita sambut raya, jangan lupa pada hari Kemerdekaan. Kalau tidak ikut perarakan sekalipun, setidak-tidaknya kita berterima kasih pada kemakmuran yang kita kecapi hari ini dan berusaha mempertahankannya,” kata Zain lagi.
Ceria Intan & Juliana
SETIAP tahun Intan Ladyana tidak pernah lupa untuk pulang beraya di kota Bangkok, Thailand memandangkan ibunya merupakan penduduk asal negara jiran itu. Tahun ini situasinya tetap sama dan hari ini, Intan sudahpun berlepas.
“Ini memang aktiviti tahunan yang kami sekeluarga buat. Di Bangkok masih ramai saudara mara rapat ibu ada di sana. Inilah masa yang saya ada untuk bergembira bersama dengan keluarga sebelah ibu.
“Tapi suasana di sana tak semeriah di sini. Tak ada baju baru ataupun makanan tradisi setiap kali tiba hari raya. Paling tidak pun saya tetap akan mencari makanan som thom dan pat phai yang sama seperti kuetiaw.
“Pun, bukan setiap tahun saya akan pulang ke sana. Ada kalanya saya akan beraya di Kuala Lumpur sahaja kalau keadaan di Bangkok tak selamat,” kata Intan.
Sementara itu, pelakon filem Hantu Bonceng, Juliana Evans akan menyambut lebaran di kampung sebelah ibunya di Bagan Datuk, Perak selama seminggu.
Ibu Juliana orang Melayu asal Perak berkahwin dengan bapanya yang berdarah Melayu, British dan Amerika. Mereka juga mempunya saudara mara kerabat Brunei daripada keturunan Al-Sambas.
Akui Jualiana lagi, tahun ini dia akan tidak menempah walau sepasang baju baru.
“Baju kurung saya masih banyak dan jarang dipakai. Jadi buat apa saya nak membazir duit beli yang beru kalau yang lama masih elok.
“Bila pulang ke kampung saya tak sabar nak makan rendang tok dan lontong yang dimasak oleh ibu saudara, itu hidangan istimewa tiap kali hari raya bagi keluarga saya.
“Tapi saya nak pesan, dalam meriah beraya, Hari Kemerdekaan jangan lupa. Kalau tak rai secara besar-besaran pun, cukup kalau kita kibarkan jalur gemilang dan mengenang semula pemimpin kita yang berjuang untuk negara satu ketika dahulu,” kata Juliana.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: