|
PEKAN Parit tidaklah besar dan membangun seperti sebuah bandar, tetapi jarang bagi mereka yang berkunjung ke sini meninggalkannya tanpa membawa pulang kenangan manis.
Pekan yang letaknya di daerah Perak Tengah itu juga tidak sesibuk bandar raya Ipoh mahupun Teluk Intan, namun keistimewaan dan keharmonian masyarakatnya dapat dirasai walaupun pada hujung minggu.
Suasana pagi minggu di pekan yang bermercutandakan sebuah jam tinggi itu tidaklah sesibuk seperti hari-hari biasa. Jalan utamanya lengang kerana tidak ramai yang bergegas mahu ke tempat kerja manakala anak-anak sekolah masih diulit mimpi.
Namun, hujung minggu di pekan kecil itu tetap hidup dengan masyarakat setempat yang keluar ke pasar. Ada juga yang bersarapan di kedai-kedai kopi atau juga dikenali sebagai kopitiam.
Di sekitar Pekan Parit sahaja terdapat kira-kira 16 buah kopitiam yang tidak pernah surut daripada kunjungan masyarakat setempat mahupun orang luar. Ia dibuka di deretan bangunan-bangunan lama bercirikan Inggeris yang dibina sejak tahun 1928.
Generasi ketiga
|
|
Pemilik kopitiam Wong Hai Chu, 70, adalah generasi ketiga yang meneruskan tradisi kopitiam keluarga Wong. Sejak umurnya 16 tahun, Wong Hai Chu yang lebih mesra dengan panggilan Uncle Wong sudah mula melakukan kerja-kerja di kedai kopi yang dibuka oleh datuknya sejak lapan dekad lalu.
Tangan tuanya cukup cekap membancuh pelbagai jenis minuman yang diminta pelanggan. Sesekali suara dan gelak ketawanya yang ceria memenuhi ruang kedai yang memuatkan 12 buah meja bulat itu.
Kata Uncle Wong, sentuhan istimewanya ialah pada kopi susu turun temurun yang dipelajari daripada mendiang datuknya.
“Kalau minum hari ini, nanti malam boleh mimpi. Esok pasti datang lagi,” gurau Uncle Wong yang sangat mesra dan sentiasa tersenyum.
Selain menu tradisi kopitiam iaitu pelbagai jenis kopi dan teh, roti kaya, telur separuh masak, cucur cakoi, pau pelbagai inti dan nasi lemak daun pisang, Uncle Wong turut menyediakan ruang hadapan kedainya buat peniaga roti canai, Abdul Kadir Yeop Abdul Manaf, 50.
Bagi Uncle Wong yang mengusahakan kedai kopi itu bersama isterinya, pelanggan yang berkunjung ke kedai kopinya bukanlah orang asing. Ada yang dikenali sejak kecil malah ada juga pelanggan turun-temurun iaitu generasi ketiga yang datang minum pagi di situ kerana sudah terbiasa sejak kecil.
Buktinya, sambil duduk minum secawan kopi bersama telur separuh masak dan roti kaya yang dibakar dengan arang, kita boleh melihat telatah pelanggan yang keluar masuk ke situ.
Akrabnya mereka boleh dilihat melalui sapaan, gurauan dan usikan sesama mereka. Hubungan yang terjalin bukan hanya antara pelanggan dan peniaga, tetapi hubungan persahabatan kerana sama-sama membesar melihat perubahan demi perubahan yang berlaku di pekan itu.
|
|
Abdul Kadir yang telah dua dekad menebar roti canai di kopitiam tersebut berkata, kopitiam bukan sekadar kedai tempat orang ramai bersarapan, tetapi di situlah bermulanya perbualan mengenai hal ehwal kampung, bertanya khabar, kisah bola, isu semasa hinggalah membawa kepada cerita politik negara dan dunia.
Makanan halal
Menurut Abdul Kadir, terdapat enam buah kopitiam di pekan itu yang boleh dikunjungi oleh pelbagai kaum dan menyediakan makanan halal. Tidak hairanlah mengapa kopitiam Uncle Wong dikunjungi baik kaum Melayu, Cina mahupun India.
“Pelanggan di sini semuanya saling mengenali. Kalau hari-hari biasa, ramai yang singgah bersarapan sebelum ke tempat kerja atau ke kebun. Saya fikir, kopitiam memang tempat yang boleh dikunjungi oleh semua orang, tak kira kaum mahupun agama tanpa mengira peringkat umur,” kata Abdul Kadir ketika ditemui.
Kopitiam suatu ketika dulu berkonsepkan kedai tradisional Cina. Ia sudah lama diusahakan di negara ini dan Singapura. Perkataan kopitiam adalah gabungan perkataan kopi dalam bahasa Melayu dan tiam pula bahasa Hokkien yang bermaksud kedai .
Hari ini, kedai minuman berkonsepkan kopitiam boleh didapati di mana-mana dan konsepnya juga dimodenkan. Malahan ia terus menjadi tumpuan anak-anak muda yang turut membincangkan perkara dan hal ehwal yang sama.
Walau apapun konsep kopitiam yang dibawa, sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mengakui bahawa kopitiam atau kedai kopi adalah tempat yang dikongsi bersama oleh pelbagai kaum di negara ini. Malah ia juga lokasi yang merapatkanhubungan sosial masyarakat Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: