KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Bhd. (TM) mencatatkan peningkatan sebanyak 3.8 peratus dalam perolehannya kepada RM2.23 bilion bagi suku kedua 2011 berakhir 30 Jun lalu berbanding RM2.15 bilion tempoh yang sama sebelumnya.
Perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bagi tempoh tersebut pula naik 8.8 peratus kepada RM768 juta dengan margin EBITDA dinormalisasi pada 33.9 peratus berbanding 31.9 peratus pada tempoh yang sama tahun sebelum.
TM turut mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) meningkat kepada RM127.2 juta pada suku kedua 2011 daripada RM124.4 juta pada tempoh yang sama tahun lalu
PATAMI dinormalisasikan meningkat 20.8 peratus kepada RM135.2 juta pada suku kedua 2011.
Ketua Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Zamzamzairani Mohd. Isa berkata, sebahagian besar pertumbuhan tersebut disumbangkan oleh perkhidmatan data dan internet yang masing-masing pada kadar 7.1 dan 21.1 peratus.
“Hasil perkhidmatan meningkat berikutan permintaan terhadap perkhidmatan jalur lebar yang lebih tinggi, sementara perkhidmatan internet dan multimedia mencatatkan hasil yang lebih tinggi ekoran pertambahan jumlah pelanggan jalur lebar dan jalur lebar berkelajuan tinggi, UniFi.
“Pelanggan jalur lebar mencecah 1.721 juta orang, manakala UniFi kepada 109,019 orang dalam suku ini berbanding 1.541 juta orang dan 4,051 orang pada suku yang sama tahun 2010,” katanya pada sidang akhbar mengumumkan prestasi kewangan suku kedua tahun 2011 TM di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: