Friday, August 26, 2011

Bukan ‘hukuman mati’

ANGGUN...sentiasa menjaga penampilan diri.
ANGGUN...sentiasa menjaga penampilan diri.

TUTUR katanya lemah lembut dan senyuman sentiasa menghiasi bibir, malah amat mudah untuk berbicara dengan wanita berjiwa besar ini kerana sikapnya yang merendah diri.

Fokus utama Puan Seri Akmal Abdul Salam, 58, ialah membantu wanita yang menghidapi barah payudara dan memberikan pendedahan sewajarnya kepada mereka yang mengalami penyakit itu bahawa masih ada harapan untuk kembali aktif meneruskan kehidupan seharian.

Sebagai penaung Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA) menjadikan dia terbabit sepenuhnya dalam usaha menyebarkan pengetahuan bagi mendidik wanita mengenai barah payudara.

“Menghidap barah payudara bukan bermakna kita berhadapan dengan ‘hukuman mati’ hinggakan ada wanita yang memutuskan untuk tidak tampil mendapatkan rawatan sewajarnya.


“Anggapan sedemikian perlu diubah daripada fikiran kerana dengan melengahkan rawatan kita memberi peluang kepada penyakit untuk merebak, sedangkan kita tidak mempunyai kekuatan mengatasinya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya

di Villaymay, Shah Alam, baru-baru ini.

Akmal berkata, sepanjang 11 tahun bersama BCWA dia mendapati semua bekas pesakit barah payudara mempunyai semangat yang kuat untuk meneruskan kehidupan mereka dengan cara lebih sihat.

Masing-masing tidak pernah menunjukkan mereka pernah sakit dan jika dilihat sekali imbas tanpa mengenalinya dengan lebih dekat mungkin kita beranggapan mereka adalah wanita yang sihat serta tidak menyangka menghidap penyakit berbahaya.

Menurutnya, perkara paling penting adalah mendapatkan rawatan sepatutnya di hospital bukannya bersikap tunggu dan lihat hingga menyebabkan sel kanser berkenaan merebak ke seluruh badan.

“Dapatkan bantuan pakar bagi mendapatkan pemeriksaan penuh mengenai permasalahan dihadapi, jangan pergi jumpa pengamal perubatan yang tidak mempunyai kelayakan sewajarnya.

“Tampil ke depan dan bersikap terbuka untuk berkongsi masalah berkenaan kerana ia bukan sesuatu yang memalukan sebaliknya ia boleh membantu menyelamatkan nyawa,” katanya.

Disebabkan itulah setiap wanita perlu memastikan mereka memahami keadaan fizikal badan mereka sebaik mungkin dan jika terdapat sebarang bentuk ‘anasir asing’ yang belum pernah ada sebelum ini, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan.

“Jangan jadikan perasaan takut itu sebagai alasan untuk tidak mendapatkan rawatan kerana ia boleh membahayakan nyawa.

“Pastikan juga dapatkan maklumat yang betul mengenai permasalahan dihadapi dan jangan jadikan cakap-cakap orang sebagai panduan kerana ia boleh mendatangkan lebih mudarat berbanding kebaikan,” katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata lelaki ini jenis orang yang tidak boleh duduk diam. Masa lapangnya akan diisi dengan pelbagai aktiviti memandangkan semua anaknya memiliki kehidupan sendiri.

Dia yang mengakui tidak betah duduk rehat dan bersantai di rumah berkata, paling melucu�kan suaminya sendiri pernah memberitahunya dirinya sangat ‘hiper’ kerana tidak boleh duduk diam walau sesaat.

“Saya perlu melakukan sesuatu perkara yang menyebabkan saya sibuk sepanjang hari. Paling tidak pun keluar membeli-belah ataupun berjalan-jalan supaya masa yang ada tidak terbuang begitu saja.

“Jika hanya berdiam diri dan tidak melakukan sebarang kerja saya akan berasa lemas dan tidak bermaya. Bagi saya ia sesuatu yang perlu dielakkan,” katanya.

Walaupun sibuk dengan kerja persatuan, Akmal turut turut memiliki spa dan kafe sebagai perniagaan sampingan. Kedua-dua bidang perniagaan itu dilakukan bagi membantu dan memberi peluang kepada golongan muda mendapatkan pekerjaan.

Beliau yang juga isteri bekas Pengerusi DRB-Hicom Bhd, Tan Seri Mohd Saleh Sulong tidak pernah menjadikan kesibukan diri sebagai alasan untuk tidak menjengah ke dapur dan mengakui gemar memasak walaupun jarang sekali berpeluang menunjukkan bakat sedia ada.

Malah, dia sendiri turun padang menyediakan kuih-muih tradisional Melayu yang disajikan di kafenya antaranya kasui, bingka, lompat tikam serta tapai ubi kayu.

“Saya gemar memasak hidangan pencuci mulut terutama kuih-muih dan manisan dan kurang mempraktikkan masakan lauk pauk. Bagaimanapun, kalau berkumpul seisi keluarga, tidak kering tangan saya menyediakan hidangan seperti laksa, nasi dagang, nasi kerabu atau ayam percik yang menjadi kegemaran anak-anak.

“Saya ada satu hidangan istimewa iaitu sate goreng tanpa cucuk yang hanya disediakan setahun sekali saja iaitu ketika sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Bercerita mengenai pengalamannya mendidik anak, dia mengakui tidak pernah menggunakan khidmat pembantu rumah dan melakukan sendiri kerja rumah sama ada memasak, membersihkan rumah dan menghantar mereka ke sekolah sehinggalah mereka dewasa.

Mengenai kecantikan, dia berkata tidak banyak rahsia yang boleh dikongsi, tetapi Akmal sentiasa memastikan untuk tampil kemas dan menarik walaupun usia semakin bertambah. Tidak hairanlah jika pada usia begitu, dia tetap kelihatan anggun.

“Saya tidak mengamalkan sebarang petua tertentu sama ada dalam bentuk pemakanan ataupun jamu, tetapi yang penting ialah lakukan senaman sekerap mungkin untuk memastikan badan sentiasa sihat.

“Malah, dalam segala hal berkaitan paling utama kita juga perlu menjaga kebersihan diri. Jika diri tidak bersih sudah pasti penampilan turut terjejas sama dan ia memberikan kesan pada keyakinan diri,” katanya.


PROFIL

NAMA: Puan Seri Akmal Abdul Salam
USIA: 58 tahun
TARIKH LAHIR: Disember 1953
Kerjaya: Pengerusi Beauty Unlimited Malaysia Sdn Bhd, Pemilik kafe B’yyu Patisserie, Penaung Persatuan Kebajikan Kanser Payudara (BCWA)
ANAK: Tiga orang (semua lelaki)
STATUS: Berkahwin
SUAMI: Tan Seri Mohd Saleh Sulong

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: