Berada dipuncak populariti, nama pelakon, penyanyi, dan pelawak popular, Zizan Razak semakin menjadi pujaan hati peminat-peminatnya.
Apa sahaja yang dilakukan mudah sahaja menjadi perhatian, jadi tidak hairanlah jika dikala ini, pelakon filem KL Gangster ini berjaya menarik lebih satu juta peminat di laman sosial Facebooknya.
Namun belum lagi memenangi apa-apa anugerah yang berjaya menobatkan dirinya sebagai 'Terbaik', Zizan dikatakan sudah mula bersikap bermegah-megah dan ada juga khabar yang mengatakan Zizan sudah mula besar kepala sehingga sanggup menegur beberapa pelawak senior sewaktu membuat persembahan.
Kecewa dengan tudahan itu, Zizan menafikan dia sudah berubah sikap apabila berada dipuncak populariti ini."Perkara inilah yang menganggu fikiran saya sekarang, selepas berita saya bermegah-megah itu keluar ahad lalu, saya mula rasa tidak sedap hati. Bahkan saya sendiri tidak tahu daripada mana datangnya cerita saya ada menegur pelawak senior pula.
"Bagus sangat ke saya ni sehingga boleh menegur orang yang lebih lama dalam bidang ini. Seingat saya, saya tidak pernah berkelakuan begini, kalau meminta idea daripada senior memang ada, tetapi untuk besar kepala dan menegur mereka, itu memang tidak pernah terjadi.
"Saya minta maaf kalau sebenarnya ada yang terasa saya menegur mereka, mungkin ketika itu saya berniat untuk berkongsi pendapat, tetapi cara saya mengguris hati mereka, saya memang tidak tahu siapa yang dimaksudkan, tetapi saya tetap memohon maaf pada sesiapa sahaja yang terasa,"jelas Zizan.
Johan istimewa
Mengakui auranya bertambah kuat apabila digabungkan bersama Johan, Zizan menafikan cakap-cakap yang mengatakan hubungan antara mereka renggang ketika ini.
"Kami memang tiada masalah bersama, hanya disebabkan masing-masing sibuk dengan kerjaya masing-masing maka kami jarang berjumpa. Saya akui ramai yang beranggapan saya agak lemah bila bergerak sendirian berbanding Johan, tetapi sebenarnya kedua-dua kami sememangnya mempunyai kelebihan dan kekurangannya sendiri.
"Memang payah untuk berdiri sendiri, namun kami perlu menampakkan cara sendiri tanpa terlalu bergantung antara satu sama lain,"jelas Zizan.
Hantu Bonceng
Bakal muncul dengan filem seram komedi, Hantu Bonceng, Zizan bergandingan bersama pelakon sensasi yang pernah digosipkan bersamanya , Juliana Evan.
"Berlakon dengan Juliana memang senang, sebab kami mudah serasi. Kami banyak berkongsi idea biarpun ini kali pertama kami bekerjasama bersama.
"Sebenarnya, hubungan kami berdua memang rapat, kalau ada masalah kami lebih suka bercerita bersama, tetapi kami bukanlah bercinta. Tidak wujud cinta lokasi antara saya dan dia seperti mana yang digosipkan sebelum ini. Saya tidak pernah bercinta dengannya dan tiada unsur-unsur percintaan dalam hubungan kami ini,"luahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: