Thursday, August 25, 2011

Tingkatkan amal di akhir Ramadan


seharusnya umat Islam mengambil peluang terutamanya pada malam terakhir Ramadan ini sebelum ia melabuhkan tirainya. - Gambar hiasan


RAMADAN semakin hari semakin bergerak meninggalkan kita. Seorang Mukmin sejati akan merasa sedih bercampur risau sama ada dipertemukan lagi dengan Ramadan berikutnya setahun lagi. Agak malang bagi kita jika merasa terlalu gembira dengan pemergian Ramadan seolah-oleh terlepas daripada suatu beban dan azab pedih.

Sepanjang Ramadan hingga hari ini kita telah penuhi dengan pelbagai amalan. Justeru, hari-hari berbaki sepatutnya tidak dipersia-siakan atau diisi dengan perkara-perkara yang boleh mengikis pahala ibadat yang telah dilakukan pada awal-awal Ramadan.

Hakikat ini tentu lebih sinonim dengan kelebihan Lailatul Qadar yang dijanjikan dengan ganjaran yang berlipat kali ganda. Firman Allah SWT : Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam al-Qadar. Dan apakah engkau mengetahui (kelebihan) malam al-Qadar? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Para malaikat dan (Jibril) turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara. Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar. (al-Qadr : 1-5)

Walaupun malam al-Qadr tidak disebutkan tarikh berlaku dan masanya, namun beberapa hadis Nabi SAW memberi petunjuk kepada umat Islam bagi memburu pahala amalan melebihi 1,000 bulan ini.

Sabda Rasulullah SAW : Carilah (iaitu Lailatul Qadar) pada 10 malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia merasa putus asa (mencari) pada baki tujuh malam terakhir. (riwayat Muslim).

Waktu ini kemudian dikhususkan lagi dalam sabda Baginda SAW : Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil daripada 10 malam terakhir pada bulan Ramadan. (riwayat al-Bukhari)."

Kedua-dua hadis tersebut jelas mengajak kita semua untuk memperhebatkan amalan terutama 10 hari akhir bulan al-Mubarak ini. Malah, kehebatan ganjaran malam tersebut terbukti dengan ibadah Nabi SAW sendiri yang melebihi waktu yang lain seperti perkhabaran Aisyah: Rasulullah SAW bersungguh-sungguh beribadah pada 10 hari terakhir (Ramadan) yang tidak pernah dilakukannya pada waktu lain. (riwayat Muslim).

Jelasnya, kita yang berada pada saat- saat akhir ini perlulah menghambakan diri kita dengan amalan-amalan seperti iktikaf, tadarus, zikir, selawat, berdoa dan sebagainya. Namun agak malang di kalangan umat Islam khususnya di negara kita yang melakukan perkara yang terbalik daripada yang dianjurkan.

Dalam pesanan Nabi SAW, semakin hari dalam bulan Ramadan bergerak, kita seharusnya mempertingkatkan amalan. Tetapi, kita lakukan sebaliknya. Semakin menempuh 10 malam akhir, surau dan masjid kita semakin kurang kapasitinya. Jemaahnya semakin menghampiri saf depan dan dekat dengan imam.

Lebih menyedihkan amalan baik yang banyak ini hanya terhenti setakat bulan Ramadan. Tamatnya Ramadan, bererti tamatlah amal soleh dan berhentilah amalan tadarus, qiamullail, berjemaah di masjid dan sebagainya.

Sikap sebegini seolah-olah melambangkan amal yang tidak ikhlas dan bermuka-muka dalam ibadah. Lebih berat lagi sikap ini juga menunjukkan ganjaran pahala Allah SWT hanya wujud dalam bulan Ramadan.

Jika ini berlaku, benarlah peringatan Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi dalam khutbahnya bahawa sesiapa yang menyembah Ramadan, ia akan pergi meninggalkan kita, tetapi sesiapa yang menyembah Allah SWT, Dia tetap hidup buat selama-lamanya.

Sepatutnya, segala amalan dan gerak kerja ibadah selama sebulan Ramadan ini hendaklah diteruskan pada bulan-bulan yang lain hinggalah kita bertemu dengan Ramadan seterusnya tahun depan. Yakinlah dengan pesanan Rasulullah SAW: Solat lima waktu, Jumaat hingga Jumaat berikutnya dan Ramadan hingga Ramadan berikutnya adalah penghapus dosa di antara (waktu itu) selama mana dijauhi dosa-dosa besar. (riwayat Muslim).

Sepatutnya perkara ini tidak berlaku jika kita benar-benar beriman dengan Allah SWT dan mengikut teladan rasul-Nya. Oleh itu, sekali lagi diperingatkan supaya kita mengambil peluang terbuka ini sebelum Ramadan melabuhkan tirai dan Syawal menggamit kita.

Selain itu, kita perlu mengambil iktibar bahawa kedatangan Syawal menandakan kemenangan kita sepanjang diuji dalam bulan Ramadan. Fajar Aidilfitri melambangkan kejayaan kita dalam mematuhi perintah Allah SWT, mengejar ganjaran besar di samping berjuang melawan hawa nafsu dan pujuk rayu syaitan.

Kejayaan ini perlu diraikan dengan aktiviti yang bertepatan dengan syariat Islam. Amat malang bagi kita jika setelah berkorban masa dan tenaga mendekati Allah SWT dalam bulan Ramadan, namun bila tibanya Syawal segala pahala kita pula hilang dan dikorbankan melalui aktiviti kita yang tidak bersesuaian dengan Islam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: