Thursday, August 25, 2011

Muslim Aid pupuk semangat sukarela


Tin-tin berisi daging kambing yang siap diproses sumbangan Muslim Aid Asia bagi diagihkan kepada negara-negara Islam yang mengalami masalah kebuluran di Chendering, Kuala Terengganu, baru-baru ini.


Ada orang begitu mudah tersentuh perasaan apabila melihat kesengsaraan yang dialami oleh mereka yang ditimpa bencana atau hidup dalam keadaan daif.

Hakikatnya jikalau sekadar simpati sahaja sebenarnya masih belum cukup seperti ibarat pepatah berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

Lebih baik jika bukan sahaja ada rasa simpati malah turut bersama-sama membantu golongan ini supaya mampu tersenyum semula.

Jika tidak mampu untuk menghulurkan bantuan dengan wang ringgit sebenarnya masih ada peluang lain untuk berbakti kepada golongan jika hati benar-benar ikhlas.

Satu lagi bentuk bantuan yang boleh dihulurkan bagi membantu golongan ini dengan bertugas sebagai sukarelawan.

Sekurang-kurangnya dengan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran yang ada itu dapat digunakan sebagai salah satu cara untuk membantu golongan yang memerlukan ini.

Sekalipun bidang sukarelawan di negara ini juga masih kurang popular tetapi kesedarannya sudah semakin meluas di kalangan masyarakat Malaysia.

Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia antara badan bukan kerajaan (NGO) yang membuka peluang untuk sesiapa sahaja yang berminat untuk menjadi sukarelawan.

Pengurus Program Pembangunannya, Muhammad Kamarulazizi berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 2004 sehingga kini jumlah tenaga sukarelawan telah mencapai 5,000 orang di seluruh negara.

"Sukarelawan Muslim Aid bukan sahaja terdiri dari mahasiswa IPT malah juga profesional seperti doktor, peguam, jurutera dan juga yang mempunyai pelbagai kemahiran seperti tukang masak, ahli perniagaan serta kakitangan awam dan swasta,'' katanya ketika ditemui Mega baru-baru ini.

Selain itu, katanya, ia juga melibatkan orang luar yang tinggal sama ada bekerja atau belajar di negara ini yang berminat untuk menjalankan kerja-kerja sukarela.

"Tiada juga batasan agama kerana sehingga kini ada sukarelawan yang bukan beragama Islam,'' katanya.

Menurut Muhammad, Muslim Aid memang memerlukan sukarelawan dari pelbagai latar belakang supaya setiap projek yang dijalankan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan.

"Biasanya sasaran untuk menjadi tenaga sukarelawan ini berusia antara 20 hingga 30 tahun,'' kata beliau.

Jelasnya, biasanya tidak semua sukarelawan akan terbabit dalam program yang sama kerana biasanya akan diagih-agihkan mengikut keperluan tenaga.

Jelas Muhamad, pada peringkat awal Muslim Aid banyak melakukan usaha mencari sukarelawan di kalangan mahasiswa yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT). Lagipun katanya, golongan mahasiswa mudah dicari untuk menjalankan program khususnya ketika cuti hujung minggu atau semester.

Beliau tidak nafikan golongan mahasiswa paling ramai sekali menganggotai tenaga sukarelawan Muslim Aid.

Katanya, sekalipun masing-masing telah bekerja mereka tetapi masih meluangkan masa untuk menjadi sukarelawan dengan Muslim Aid.

Dalam pada itu, katanya, orang awam juga mulai sedar untuk menjadi tenaga sukarelawan Muslim Aid.

Katanya, sesiapa yang berminat menjadi sukarelawan Muslim Aid dengan melayari laman web www.muslimaidasi.com dan boleh terus mendaftar secara online.

Muhammad memberitahu, Muslim Aid juga membuka akaun Facebook sejak dua tahun lalu keahlian sehingga menyumbang kepada jumlah peningkatan keahlian dengan lebih banyak.

Katanya, ini kerana pada yang berminat menjadi tenaga sukarelawan juga boleh mendaftar di Facebook.

Memandangkan aktiviti kebajikan yang dianjurkan oleh Muslim Aid tidak terhad di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor malah ke segenap pelosok negara.

Sehubungan itu, katanya, Muslim Aid memerlukan sukarelawan di setiap negeri.

"Misalnya dengan program Feed 2 Fast yang dianjurkan pada sepanjang bulan Ramadan ini juga untuk memberikan bantuan kepada fakir miskin, orang kelainan upaya (OKU) dan anak yatim di seluruh negara,'' kata Muhammad.

Sehubungan itu katanya, bagi menjayakan program ini maka sukarelawan dari setiap negeri pada ketika ini amat diperlukan.

Selain itu kata beliau, Muslim Aid juga memilih dua rumah kebajikan yang dipilih sebagai rumah anak angkat bagi mengadakan aktiviti tetap pertubuhan itu.

"Sejak tahun 2008 lagi Muslim Aid bekerjasama dengan Asrama Darul Falah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) ASDAF di Bukit Persekutuan iaitu rumah kebajikan yang menempatkan anak-anak yatim dan miskin dari kalangan Orang Asli seluruh Semenanjung,'' katanya.

Muhamad memberitahu, antara sumbangan Muslim Aid termasuk memberikan sokongan terhadap program pendidikan termasuk kelas bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.

Katanya, sukarelawan ini akan bertugas sebagai guru pada setiap hujung minggu untuk mengajar kanak-kanak ini mengikut peringkat umur.

"Muslim Aid juga menganjurkan aktiviti My Kitchen Garden di mana sukarelawan akan bersama-sama dengan penghuni untuk menanam sayur-sayuran bagi mengurangkan kos makanan harian dan juga mendedahkan mereka dengan 'sustainable agriculture' di ASDAF yang kini sudah masuk fasa kedua,'' katanya.

Selain itu katanya, Muslim Aid juga memilih Rumah Titian Kaseh di Jalan Kuantan, Taman Tasik Titiwangsa yang merupakan tempat perlindungan untuk anak yatim, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas bagi aiktiviti yang sama.

1 comment:

  1. Salam,
    Saya mencari pembantu Islam Siam yg boleh memasak.
    Klo anda Ada kenalan yg ingin berkerja sila hubungi saya puan
    Sharifah di alamat email aifmozaw@gmail.com
    Wasallam

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: