Sunday, August 28, 2011

Bazar Ramadan Orang Asli


BAZAR Ramadan pekan Brinchang tempat utama penduduk Cameron Highlands membeli juadah berbuka puasa.


TERLETAK tidak jauh dari pekan Brinchang, Cameron Highlands, Kampung Sungai Ruil didiami oleh hampir 190 penduduk Islam Orang Asli.

Seperti Muslim lain di Malaysia, masyarakat Orang Asli yang beragama Islam turut mengamalkan cara hidup dan makan makanan yang halal.

Menurut Tok Batin kampung itu, Kadir Asan, sambutan Aidilfitri di kampung itu cukup meriah biarpun hanya sebahagian kecil penduduknya beragama Islam.

"Sambutan hari raya di sini seperti biasa. Umat Islam akan bersama-sama bersembahyang hari raya dan terdapat amalan kunjung-mengunjung.

"Bagi yang tidak beragama Islam pula mereka akan turut meraikan hari kemenangan umat Islam itu kerana masing-masing mempunyai pertalian darah," katanya.

Tambah kadir, masyarakat Orang Asli di kampung itu saban hari turut mempraktikkan cara moden termasuklah ketika Aidilfitri.

"Kalau dahulu kami memasak menggunakan buluh, kini peralatan moden seperti dapur gas banyak membantu. Justeru makanan yang dimasak menggunakan buluh sudah berkurangan tetapi tetap dihidangkan ketika hari raya," katanya.

Sementara itu, bazar Ramadan pekan Brinchang kerap dikunjungi Orang Asli dari Kampung Sungai Ruil. Seorang peniaga bazar Ramadan di situ yang hanya mahu dikenali sebagai Azman, 35, menjelaskan bazar Ramadan tersebut merupakan satu-satunya lokasi membeli juadah berbuka puasa terbesar di Cameron Highlands.

"Hanya terdapat dua lokasi bazar Ramadan di kawasan Cameron Highlands iaitu di Brinchang dan Tanah Rata.

"Bazar di sini lebih meriah kerana beberapa peniaga sahaja yang menjalankan perniagaan di Tanah Rata," katanya yang berasal dari Gua Musang, Kelantan.

Tinjauan Jurnal mendapati pelbagai juadah dijual di bazar Ramadan itu, yang kebanyakannya terdiri daripada hidangan dari Negeri Pantai Timur. Bagaimanapun, tiada peniaga makanan Orang Asli yang berniaga di bazar itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: