Sunday, August 28, 2011

Langkah perlu lindungi harta

pix_middle

SETIAP kali Aidilfitri, suasana di bandar, apatah lagi ibu negara, pasti lengang kerana kebanyakan warga kota pulang ke kampung halaman meraikan kehadiran Syawal dengan keluarga tersayang.

Mereka membawa pulang baju raya, kuih muih dan perhiasan diri, tetapi sebahagian wang tunai dan barangan kemas mungkin disimpan di rumah.

  • Foto

    BERSEDIA...anggota polis melakukan rondaan di tempat awam.

  • Foto

    WASPADA...orang ramai dinasihatkan menjaga keselamatan barangan berharga sendiri ketika di kawasan tumpuan ramai sekalipun ketika kehadiran pihak berkuasa.

  • Foto

    KAWAL...anggota polis unit K9 mengawal kawasan kediaman sekitar Sea Park, Petaling Jaya.

Namun, meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung di musim perayaan tidak boleh dianggap semudah itu.

Soal keselamatan rumah perlu diambil kira selain diri sendiri tidak terdedah dengan kepada sebarang perlakuan jenayah, terutama ragut.


Bagi yang ingin pulang ke kampung, kegembiraan yang terpancar di wajah ketika menghidupkan enjin kenderaan masing-masing tidak harus menjadi penyebab untuk kita leka dalam memastikan semua barangan berharga serta sistem keselamatan rumah dipertingkatkan.


Seelok-eloknya, barangan berharga seperti wang tunai dan barangan kemas yang tidak dibawa bersama ke kampung tidak disimpan di dalam rumah, sebaliknya dihantar ke institusi yang menyediakan perkhidmatan menyimpannya.

Seperti yang kita ketahui, lazimnya penjenayah ‘tersenyum lebar’ jika mereka merasakan ada ruang untuk memecah masuk dan bermaharajalela dalam rumah yang ditinggalkan dan biasanya kawasan elit menjadi lokasi sasaran.

Walaupun sesetengah taman perumahan dikawal pengawal keselamatan di jalan masuk dan keluar, pemilik rumah tidak harus mengetepikan soal keselamatan harta benda.

Harus diingatkan, ada antara kita kurang mengambil berat aspek keselamatan dalam rumah, terutama membabitkan pintu, tingkap dan siling, sedangkan ketiga-tiganya menjadi tumpuan penjenayah.

Betapa tidak, itulah sebenarnya laluan masuk penjenayah setiap kali memecah masuk rumah mangsa dan musim perayaan biasanya menjadi masa sesuai bagi mereka menjalankan aktiviti jahat berkenaan.

Tidak dinafikan, polis sentiasa melakukan rondaan di kawasan kediaman tetapi tidak harus dijadikan alasan untuk kita mengabaikan keselamatan harta benda kerana ia sebenarnya tanggungjawab pemiliknya. Pihak berkuasa hanya boleh melakukan rondaan di luar rumah.

Yang penting, sebelum meninggalkan rumah, kita perlu memastikan beberapa perkara antaranya, tidak menggunakan gril tanpa mangga, tidak menggunakan gril berkualiti rendah kerana mudah dipotong dan tidak menggunakan mangga berkualiti rendah.

Pemilik rumah yang memiliki tingkap rumah berbentuk ‘sliding’ juga harus menitik beratkan soal gril berkualiti selain memastikan bahagian tingkap yang rosak dibaiki segera.

Bagi pemilik rumah teres pula, ruang untuk penjenayah agak besar kerana mereka gemar memecah masuk melalui siling dan cara ini lebih mudah berbanding kaedah mengumpil tingkap atau pintu.

Kecuali kes pecah bank atau kedai barangan kemas, jarang kita mendengar penjenayah korek lubang atau memecah dinding semata-mata untuk pecah masuk rumah, jadi keselamatan ketiga-tiga elemen berkenaan harus diambil berat dan jangan mencipta ruang kepada penjenayah.

Peringatan juga harus diberi kepada kaum Hawa yang ghairah membeli-belah atau bertandang ke rumah saudara mara, maklumlah mungkin ada antara mereka yang akan bergaya sakan dan memperagakan barangan kemas.

Tidak salah jika hendak berhias tetapi harus berpada dan berwaspada dan jangan terlalu mendedahkan diri kepada perlakuan jenayah, khususnya ragut yang lazimnya berlaku menjelang musim perayaan.

Betapa tidak, ketika inilah barangan kemas berkilauan di leher mereka selain beg galas yang biasanya berisi barangan berharga diletakkan merata-rata dan dibawa sambil lewa.

Memang tidak salah untuk berhias atau kelihatan anggun pada musim perayaan, tetapi harus dibekalkan bersama dengan sikap waspada bagi mengelak mengundang peluang kepada penjenayah demi keselamatan diri dan keluarga.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: