Tuesday, August 23, 2011

Cawangan baru UiTM bernilai RM300j di Raub


Shahiruddin Ab. Moin (lima dari kanan) menyerahkan bonus hari raya kepada para peneroka Felda Krau 1 di Raub, semalam.


RAUB 22 Ogos - Kerajaan akan membina cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini dengan membabitkan peruntukan sebanyak RM300 juta tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, lokasi pembinaan kampus cawangan itu telah dikenal pasti iaitu berhampiran bandar ini membabitkan kawasan seluas 100 hektar.

Menurutnya, kampus itu nanti dijangka boleh menempatkan 3,000 pelajar dari seluruh negara bagi pengajian kejuruteraan.

"Kewujudan kampus baru itu akan memberi manfaat kepada penduduk daerah ini kerana ia mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi serta memberi banyak peluang perniagaan bagi memenuhi keperluan 3,000 pelajar berkenaan," katanya pada majlis penyerahan bonus hari raya kepada para peneroka.

Mereka adalah dari Felda Krau, Sungai Klau dan Felda Gugusan Tersang di pekarangan masjid Felda Krau 1 dekat sini semalam.

Beliau berkata, cawangan baru itu di sini akan memberi keutamaan pelajar dari Pahang Barat, Kelantan dan Terengganu serta peluang pelajar asing bagi jurusan Kejuruteraan Mekanikal, Elektrikal, Awam dan sebagainya.

Dalam perkembangan lain, Shahiruddin yang juga Pengerusi GiatMara memberitahu, pelatih GiatMara dalam kemahiran kimpalan mempunyai peluang cerah untuk bekerja di 6,000 syarikat kimpalan di seluruh dunia.

Katanya, pada 1 Ogos lalu, GiatMara menandatangani perjanjian bersama (MoA) dengan Institut Teknikal Kimpalan (TWI) London, Universiti Cambridge, United Kingdom.

"Melalui perjanjian itu, TWI akan melatih tenaga pengajar GiatMara dalam bidang kimpalan menerusi kursus jangka pendek antara 30 hingga 90 hari,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: