Thursday, August 25, 2011

Sinaran bintang Elfira Loy


WALAUPUN teruja menyambut Aidilfitri, namun Elfira tetap fokus kepada pelajarannya.


BIARPUN baru berusia 17 tahun, bakat yang dimiliki aktres muda ini membuktikan dia tidak seharusnya dipandang enteng.

Memulakan karier seninya seawal usia 12 tahun, Elfira Loy tidak lagi menoleh ke belakang. Sebaliknya, dia terus berjalan tanpa henti dalam melebarkan sayap seninya.

Bukan hanya bakatnya menjadi perhatian, tetapi Elfira juga seorang yang bertuah kerana memiliki paras rupa yang boleh dikategorikan sebagai klasik.

Sekali pandang, wajahnya tidak ubah seperti aktres hebat, Datin Umie Aida sewaktu di zaman remajanya.

Apa yang membuatkan saya tertarik dengan Elfira adalah kening tebalnya itu yang jarang dimiliki oleh wanita Melayu hari ini.

“Pernah tak awak membenarkan mana-mana jurusolek mengusik atau mencantas kening awak itu?” tanya saya kepada Elfira usai sesi fotografi yang berlangsung di Studio Utusan Melayu, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dengan pantas anak jati Kuala Lumpur ini menggelengkan kepalanya seraya berkata dalam nada yang sedikit tegas: “Tidak sesekali saya akan membenarkan kening saya diusik oleh sesiapa pun.

“Saya sendiri sudah memberitahu kepada mana-mana jurusolek yang menata rias wajah saya. Ternyata permintaan saya itu dihormati oleh mereka.”

Daripada jawapan yang diberikan itu sahaja sudah dapat disimpulkan bahawa Elfira bukan sembarangan gadis.

Sebagai seorang bakat baru yang diibarat putik yang hendak bercambah menjadi bunga yang mekar di taman puspawarna, Elfira tidak mahu dunia glamor membawanya hanyut dan seterusnya lari daripada landasan yang telah ditetapkan.

Dia juga memiliki pendirian tegas sekali gus membuktikan bahawa usia mudanya itu tidak bermakna dia boleh digula-gulakan mahupun diperkotak-katikkan oleh sesiapa pun.

“Terjunnya saya dalam bidang seni bukanlah untuk mengejar glamor dan populariti semata-mata. Jujurnya, saya sendiri tidak mahu menjadi seorang pelakon tetapi disebabkan ibu, saya mencuba nasib.

“Tidak sangka pula saya diterima dengan baik di dalam industri sehinggakan tawaran berlakon juga terus mencurah-curah untuk saya.

“Saya sendiri tidak mahu menjadi seorang pelakon untuk selama-lamanya kerana saya tahu dunia glamor tidak akan menjanjikan kemasyhuran mahupun kemewahan yang berpanjangan.

“Oleh yang demikian, saya mahu menyiapkan diri saya dengan ilmu pengetahuan selengkap yang mungkin dalam mengejar cita-cita saya menjadi seorang juruterbang,” katanya yang ditemani ibunya, Filzah Yusoff pada sesi fotografi itu.

Sesekali Filzah mencelah perbualan kami sambil memberitahu memang dia mahukan anak-anaknya mencuba nasib dalam bidang lakonan.

Bukan kerana mahu mengejar kemewahan dan kemasyhuran tetapi Filzah mahu anak-anaknya belajar berdikari dan merasai sendiri kepayahan mencari duit sendiri.

“Saya juga mahu mereka membuka minda dan mata mereka kepada dunia luar. Biar berkawan dengan ramai orang dan merasai pengalaman hidup sendiri.

“Jika tidak, mereka akan menjadi kera sumbang dan hanya duduk di rumah mereka dalam dunia mereka sendiri,” jelas Filzah tanpa selindung sambil memberitahu dua lagi anaknya juga mengikut jejak langkah Elfira sebagai seorang pelakon.

Bermula dengan teater

MENYINGKAP kembali pembabitannya dalam bidang seni, Elfira memberitahu dia dan adik-beradiknya mendapat pendedahan awal daripada program terbitan Astro seperti Macam-Macam Aznil dan Tom Tom Bak.

Daripada situ, dia kemudiannya mencuba nasib dengan menghadiri uji bakat teater muzikal kanak-kanak, Ali Baba yang turut dibintangi Aznil Nawawi.

Tuah menyebelahi Elfira apabila dia terpilih membintangi teater tersebut yang pernah dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada tahun 2006.

Apa yang membanggakan apabila teater tersebut berjaya membawa Elfira mengembara ke negara luar seperti Iran dan India.

“Teater sebenarnya adalah universiti di mana saya memperolehi banyak pengalaman dan pendedahan yang tidak pernah saya bayangkan sebelum ini.

“Nama-nama seperti Zaifri Husin, Aris Kadir dan Hafiz Askiak merupakan mereka yang bertanggungjawab memberikan bimbingan dan tunjuk ajar dalam dunia lakonan kepada saya.

“Daripada situ, perlahan-lahan saya membentuk diri saya dengan mempelajari segala ilmu yang ada sebelum saya menceburkan diri sebagai seorang pelakon drama pula,” katanya yang mula dikenali menerusi Tentang Bulan The Series yang merupakan drama pertama lakonannya.

Filem Jepun

MUNGKIN ramai yang tidak tahu bahawa bakat lakonan Elfira telah diintai oleh negara luar yang sekali gus memberinya peluang membintangi sebuah filem antarabangsa.

Diberi judul Second Virgin, filem berbahasa Jepun itu telah memberikan pengalaman baru kepada Elfira.

Perlu menjalani uji bakat bersama pelakon popular Malaysia yang lain untuk watak tersebut, berada di Tokyo, Jepun selama tiga minggu sudah cukup membuka matanya kepada dunia luar.

“Dialog saya semuanya di dalam bahasa Inggeris dan filem itu mengisahkan tentang perhubungan cinta di antara seorang lelaki dan wanita.

“Watak saya lebih kurang sebagai orang tengah kepada hubungan mereka itu. Saya difahamkan ia akan ditayangkan di Jepun pada 23 September ini,” ceritanya dalam nada penuh teruja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: