RAMADAN tahun ini melakarkan sejarah yang tersendiri apabila umat Islam di Malaysia menyambutnya serentak bersama dengan bulan kemerdekaan negara.
Walaupun jarang berlaku, ia sangat signifikan kepada umat Islam di Malaysia dalam menilai dan menghayati erti kemerdekaan negara dalam semangat ibadah Ramadan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)
Nilai ketakwaan yang ditawarkan oleh Allah SWT adalah manifestasi daripada kehambaan yang jitu kepada-Nya dalam melaksanakan ibadah puasa Ramadan.
Namun apakah kaitannya dengan nilai dan erti kemerdekaan negara Malaysia? Apakah semangat Ramadan itu mampu diterjemahkan seiring dengan semangat kemerdekaan negara kali ini?
Pastinya Ramadan mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan kemerdekaan dalam pelbagai konteks. Ia bermula dengan bagaimana kita sebagai manusia membebaskan diri daripada belenggu penjajahan nafsu dan keinginan diri selama 11 bulan sebelum datangnya bulan Ramadan.
Kemerdekaan dicapai sebaik melangkah ke bulan Ramadan apabila nafsu tersebut dapat ditahan dan dijinakkan dengan amalan dan ibadah yang berterusan.
Segala runtunan nafsu yang selama ini dituruti berjaya dikawal sepanjang Ramadan. Bahkan ditambah dengan amalan-amalan sunat yang berlipat ganda dilakukan demi meraih ganjaran hebat sepanjang bulan berkat ini.
Segalanya dilakukan bagi meraih darjat takwa yang disebutkan oleh Allah SWT.
Kemerdekaan juga diraih dengan kejayaan mengekang sifat bakhil yang ada dalam diri dengan pensyariatan ibadah zakat dan juga galakan bersedekah di sepanjang bulan Ramadan.
Zakat fitrah yang diwajibkan kepada setiap umat Islam tanpa mengira usia menunjukkan betapa perlunya kita sebagai umat Islam menginfaqkan harta yang dimiliki bagi membantu golongan yang memerlukan.
Ini kerana harta adalah milik Allah SWT yang dipinjamkan kepada kita dan sebahagiannya merupakan hak golongan yang memerlukan.
Kewajipan zakat fitrah yang disyariatkan tersebut secara tidak langsung menghapuskan sifat cintakan harta dan mementingkan diri sendiri yang selama ini membelenggu hati manusia.
Sifat bakhil dan kikir di kalangan orang kaya ditundukkan oleh Allah SWT di samping jaminan bantuan kepada golongan yang memerlukan melalui pensyariatan zakat fitrah ini.
Ganjaran yang berlipat ganda juga dijanjikan oleh Allah SWT secara khusus di dalam Ramadan bagi sesiapa yang bersedekah. Ia diterjemahkan sendiri oleh baginda SAW apabila para sahabat mendapati bahawa baginda menjadi seorang yang sangat pemurah di bulan Ramadan berbanding bulan selainnya.
Kemerdekaan yang hakiki sebenarnya tercapai melalui keimanan yang jitu kepada Allah SWT. Keimanan tersebut diterjemahkan dengan pegangan akidah yang mantap yang meyakini bahawa tiada perhambaan sesama manusia.
Perhambaan hanya layak kepada Allah SWT, tuhan yang menciptakan manusia dan Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi manusia.
Bertitik tolak dari keyakinan dan keimanan inilah yang menjadi pemangkin kepada gerakan kemerdekaan negara dan akhirnya berjaya mendaulatkan kembali bangsa yang telah dijajah.
Sejarah membuktikan bahawa gerakan awal menentang penjajahan dipelopori oleh golongan agamawan yang meniupkan semangat membebaskan diri dari penjajah.
Tokoh-tokoh pejuang menentang penjajah seperti Datuk Bahaman, Tok Janggut, Dol Said, Mat Kilau dan lain-lain merupakan tokoh agamawan tempatan yang berani menyatakan kebenaran dan berjuang menentang penjajahan berpaksikan ajaran Islam.
Mereka berpegang kepada paksi agama yang tegas menentang penghambaan dan penjajahan sesama manusia kerana jelas menzalimi golongan yang dijajah.
Intipati ayat kelima surah al-Fatihah difahami dengan sebaiknya oleh para pejuang kemerdekaan. Ayat tersebut menegaskan bahawa: Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan, dan bukan selain-Nya.
Pastinya Ramadan yang dilalui sepanjang proses menentang penjajahan tersebut menjadi pemangkin kepada penambahan kekuatan dan semangat mereka.
Ia dijadikan bulan mempersiapkan kekuatan dengan bermunajat kepada Allah, merintih dan memohon pertolongan daripada-Nya serta menjadi medan latihan bagi menghadapi dugaan dan cabaran sepanjang menempuhi perjuangan menentang penjajahan.
Lantaran daripada kesedaran agama tersebut, gerakan menentang penjajah diatur agar keadilan yang diwajibkan oleh Islam dapat dilaksanakan serta ditegakkan.
Rentetan daripada siri-siri penentangan penjajahan yang dimulakan oleh golongan agamawan ini diteruskan sehingga akhirnya negara kita berjaya memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Kini, setelah hampir 54 tahun kita mencapai kemerdekaan, ia seolah-olah tidak dihargai lagi. Kemerdekaan yang dikecapi suatu ketika dahulu hasil pembebasan daripada penjajahan nafsu yang membelenggu diri, pembebasan diri dari semangat pentingkan diri kepada rela berkorban dan akhirnya memangkin kepada penentangan penjajahan sesama manusia, dilihat tidak wujud lagi.
Pengorbanan, kesusahan dan penat lelah para pejuang kemerdekaan seakan tidak dihargai apabila kita gagal menyelami dan memahami perjuangan mereka. Ucapan kemerdekaan hanya meniti di bibir namun gagal dihayati hikmah dan pengajaran di sebaliknya.
Ramadan kali ini seharusnya menjadi pemangkin kepada umat Islam di Malaysia menghayati kembali semangat kemerdekaan negara dalam konteks ibadah Ramadan.
Ini bermaksud, umat Islam di Malaysia harus bersemangat menghargai dan menyambut kemerdekaan negara di dalam suasana keghairahan melaksanakan ibadah kepada Allah SWT di bulan yang penuh berkat ini.
Ia seiring dengan arahan Allah SWT supaya membebaskan diri daripada segala bentuk penjajahan sama ada secara fizikal mahupun spiritual yang negatif. Malahan sangat bertepatan dengan perjalanan sirah baginda SAW.
Baginda dan para sahabat sentiasa cuba membebaskan diri daripada belenggu penjajahan sama ada secara fizikal iaitu melalui peperangan dan juga spiritual iaitu melalui solat, puasa dan juga pelbagai amal ibadah yang lain yang dilaksanakan dengan berterusan dan bersungguh-sungguh.
Marilah kita bersama menghargai kemerdekaan yang dikecapi dengan mengambil pengajaran dan iktibar di sebalik perjuangan menentang penjajahan tersebut.
Ditambah dengan semangat ibadah Ramadan yang penuh berkat, mudah-mudahan seluruh umat Islam di Malaysia sentiasa istiqamah dalam perjuangan membebaskan diri daripada penjajahan nafsu dan syaitan serta memahami serta mendalami makna dan hikmah di sebalik kemerdekaan negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: