|
|
BERCERITA mengenai sambutan lebaran di kampung halaman, pasti ramai yang bersetuju bahawa kemeriahan Syawal dirasakan amat berlainan suasananya jika mahu dibandingkan di kota raya besar.
Meraikan Aidilfitri dengan dikelilingi hutan batu di kota metropolitan Kuala Lumpur mungkin memberi impak berbeza kerana suasana hutan hijau di kampung lebih nyaman dan segar.
Apatah lagi dengan hiruk pikuk kebingitan suara sanak saudara yang tidak pernah diam berkongsi cerita menambahkan lagi keseronokan beraya di kampung.
Namun, bagi dua selebriti popular, Jehan Miskin, 31 dan Ezlynn, 30, masing-masing mengakui, kegirangan pulang ke desa tidak lagi dirasai memandangkan ramai kenalan ketika kecil dahulu termasuk jiran tetangga sudah berhijrah ke lokasi lain, sekaligus memudarkan keceriaan berhari raya di desa tercinta.
Jehan beraya sambil bercuti
BAGI jejaka bermata redup, Mohd. Jehan Miskin atau Jehan yang bakal muncul dengan filem dwibahasa, Prince of The City arahan Roslan Hussein pada 20 September ini memberitahu, zaman kanak-kanak meninggalkan nostalgia terindah buat setiap individu.
Katanya, semakin usianya meningkat dewasa, ditambah pula dengan penghijrahan saudara mara sebayanya ke bandar-bandar lain, suasana kemeriahan Syawal di kampung halamannya di Alor Setar, Kedah sudah tidak dirasainya.
Justeru, Jehan awal-awal lagi sudah merancang untuk melancong sama ada di dalam mahupun ke luar negara pada Aidilfitri.
"Ini adalah perancangan sahaja. Dan diharap semuanya berjalan lancar.
"Saya akan pergi bercuti selepas hari raya keempat atau kelima bersama beberapa rakan saya.
"Bagaimanapun, destinasi percutian masih belum diputuskan dan sedang membuat pemilihan," ujar Jehan yang merindukan suasana beraya zaman kanak-kanak.
Aktor itu menjelaskan, dia tetap akan pulang ke kampung untuk menziarahi sanak saudaranya yang sudah lama tidak bersapa mesra.
"Walaupun agak sukar untuk berjumpa dengan saudara dan rakan kerana sudah berpindah, saya tetap pulang ke kampung agar tali persaudaraan di kalangan kami berkekalan.
"Mungkin agak sukar untuk berkumpul ramai-ramai macam dulu-dulu, tetapi apa yang ada sekarang perlu dihargai," katanya yang bakal muncul dengan filem arahan Mamat Khalid, berjudul Apokalips.
Dalam pada itu, Jehan memberitahu, sebuah telefilem bertajuk Mak Okay Je arahan Michael Ang akan disiarkan pada bulan Syawal ini di samping pelakon-pelakon hebat seperti Umie Aida, Erra Fazira, Rashidi Ishak, Abby Abadi dan Gambit Saifullah.
Ezlynn hanya sehari di kampung
LAMA sungguh kelibat penyanyi yang popular dengan lagu Hai Hai Bye Bye, Azline Ariffin atau Ezlynn ini menyepikan daripada sebarang publisiti.
Justeru, bertemu dengannya pada majlis berbuka anjuran Great Eastern Mall, Jalan Ampang, baru-baru ini, Ezlynn memberitahu, dia tiada apa-apa kisah menarik yang mahu dikongsikan untuk tatapan peminat.
Menyentuh perihal beraya di kampung, sama seperti Jehan, penyanyi dan pelakon ini menjelaskan, dia juga merindui masa lampau era kanak-kanak bersama rakan taulannya.
Kegigihannya bersama rakan seusia sama ada berbasikal mahupun berjalan kaki bertandang dari satu rumah ke satu rumah sememangnya seronok apabila diimbas kembali.
"Bila teringat semua itu memang kelakar sebab tujuan kami singgah di rumah jiran semata-mata untuk mendapatkan duit raya.
"Kadang-kadang itu, kami tidak langsung minum air ataupun menjamah kuih-muih," katanya sambil disusuli ketawa kecil.
Namun dewasa ini, Ezlynn mengakui, dia hanya pulang sehari sahaja ke kampung halamannya yang terletak di Ulu Kinta, Perak.
Tambahan pula, ujar si cantik manis ini, kedua-dua ibu bapanya telah pun duduk bersamanya di ibu kota.
"Jadi, sudah tidak ramai saudara di kampung memandangkan datuk dan nenek di kedua-dua belah emak serta abah sudah meninggal dunia.
"Hanya tinggal pakcik dan makcik saya serta sepupu dan juga anak-anak buah.
"Saya akan menyambut pagi Syawal di sini bersama ibu bapa saya.
"Selepas itu barulah kami sekeluarga berangkat ke kampung dan pulang semula ke Kuala Lumpur pada hari yang sama," ujar Ezlynn yang membintangi filem terbaru Mamat Khalid, Husin, Mun & Jin Pakai Toncet.
Sedikit mengenai perkembangan seninya, Ezlynn menambah, single baru berjudul Dusta akan dilancarkan terlebih dahulu pada September atau Oktober sebelum menyusul album ketiganya.
Tepis dakwaan kahwin November
WALAUPUN agak sepi daripada sebarang publisiti, Ezlynn tidak dapat menutup mulut sesetengah pihak yang mendakwa kononnya dia akan berkahwin pada 11 November 2011 (11.11.11).
Menepis dakwaan tersebut, Ezlynn berkata bahawa semua cerita itu hanyalah khabar angin.
Bagaimanapun, Ezlynn tidak menafikan bahawa dalam masa terdekat, dia akan disunting oleh seorang jejaka yang lebih tua daripadanya.
Terang wanita yang manis dengan senyumannya itu lagi, lelaki berkenaan bukanlah dari kalangan orang seni.
"Dia hanyalah lelaki biasa. Mengenai tarikh perkahwinan kami itu, diharap media dan peminat dapat bersabar.
"Apabila sampainya waktu yang sesuai, saya akan umumkan dan mengundang rakan media ke majlis perkahwinan kami.
"Bukan niat mahu berahsia, tetapi sekadar menghormati permintaan keluarga sebelah lelaki yang mahukan ia menjadi hak eksklusif keluarga kami," jelasnya yang ternyata gembira menceritakan serba sedikit mengenai hari bahagia yang akan ditempoh tidak lama lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: