|
|
PENYANYI pujaan wanita ini kelihatan cukup segak apabila menyarungkan baju Melayu rekaan terbaru pereka fesyen terkenal, Salikin Sidek untuk sesi fotografi khas sempena Aidilfitri ini.
Sehinggakan jurufoto senior, Fatah Sulaiman yang begitu ralit mengambil gambar-gambar Anuar Zain juga mengeluarkan komen yang sama.
"Apa yang ada pada Anuar sampai semua wanita tergila-gilakannya ya?," tanya Fatah kepada Anuar sehingga penyanyi itu hanya mampu mengukir senyuman.
"Entahlah. Saya sendiri tidak tahu. Barangkali mereka 'jatuh cinta' kepada saya lagu-lagu nyanyian saya agaknya. Masing-masing ada pendapat tersendiri," balas Anuar penuh rendah diri sambil disulami ketawa kecil.
Ternyata profesionalisme Anuar telah memudahkan perjalanan sesi fotografi ini yang berakhir dalam masa yang cukup singkat.
Usai semuanya, tanpa membuang masa, kami meneruskan perbualan dan bicara kami pada petang itu lebih terarah kepada sambutan Syawal.
Barangkali kedengaran agak klise apabila bertanyakan tentang soal persiapan raya dan seumpamanya tetapi untuk seorang artis yang bernilai tinggi seperti Anuar, segala-galanya mahu diambil tahu oleh peminat setianya.
Tidak lokek untuk bercerita, penyanyi lelaki tersohor negara ini menjelaskan, sambutan Syawal tahun ini tidak banyak bezanya seperti tahun-tahun sebelumnya.
"Kami sekeluarga lebih selesa untuk bersederhana dalam menyambut Hari Raya. Setiap daripada kami ada tugas masing-masing. Sebagai contoh, Ziana akan sibuk di dapur menolong ibu menyediakan juadah Raya.
"Begitu juga dengan adik-beradik saya yang lain di mana mereka sudah tahu skop tugas masing-masing apabila menjelangnya Hari Raya.
"Tugas saya pula adalah untuk memastikan bekalan kuih raya sentiasa mencukupi kerana orang yang akan berkunjung ke rumah tidak pernah putus.
"Untuk itu, saya akan membeli beberapa kuih raya yang sudah menjadi hidangan wajib di atas meja seperti tat nanas dan lain-lain lagi. Dalam soal kuih raya juga, saya amat mementingkan kualiti dan rasanya. Bukan sekadar membeli tetapi biarlah tetamu yang datang dapat menikmatinya dengan rasa puas," ujar pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain ini membuka bicaranya.
Sudah menjadi tradisi keluarganya, Anuar menjelaskan semua adik-beradik akan berkumpul di rumah ibu bapa mereka, Zain Abdullah dan Robiah Abdul di Shah Alam, Selangor.
Selepas selesai menunaikan sembahyang sunat, barulah mereka sekeluarga menikmati juadah istimewa hasil air tangan ibu mereka seperti sambal sotong kering, kuah kacang daging dan kuah lodeh.
Kemudiannya, barulah mereka saling bermaaf-maafan serta pemberian duit raya dilakukan sebelum mereka semua bersedia menerima kunjungan tetamu.
"Kalau diikutkan, bapa saya memang seorang yang cukup gigih memasak dan setiap kali menjelangnya Aidilfitri, dia akan ligat di dapur bersama ibu.
"Tetapi sekarang ini dengan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan, kami mahu dia berehat sahaja dan tidak melakukan kerja-kerja berat," jelas jejaka yang berusia 41 tahun ini tersenyum.
Kenangan raya Anuar
BERBICARA tentang Aidilfitri, banyak kenangan yang sudah dilalui oleh Anuar sejak zaman kanak-kanak sehinggalah dewasa.
Masih segar dalam ingatannya bagaimana kemeriahan menyambut Aidilfitri di kampung halamannya di Merlimau, Melaka sewaktu kanak-kanak terutama mengelilingi kampung untuk mengumpul duit raya.
Seiring dengan peredaran semasa, sedikit demi sedikit senario itu mula berubah lebih-lebih lagi selepas Anuar menjadi artis rakaman EMI pada awal tahun 80-an.
"Ketika itu juga kenangan juga tidak kurang manisnya apabila saya berpeluang mengadakan persembahan istimewa untuk televisyen sempena Raya.
"Bayangkan ketika itu, nama-nama besar industri hiburan seperti Datuk Sharifah Aini, Datuk D.J. Dave, Noorkumalasari, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Sheila Majid dan Jamal Abdillah semuanya terlibat dalam persembahan yang sama.
"Apabila dapat bertemu dengan mereka, saya begitu seronok dan teruja sekali. Mana tidaknya. Sebelum itu saya hanya mendengar lagu-lagu nyanyian mereka. Tetapi, apabila berada di satu pentas, timbul sedikit rasa kejutan budaya (ketawa).
"Lagipun, dulu, stesen televisyen tidak banyak. Jadi, semuanya berkumpul dan kemeriahan itu memang cukup dirasai," kata Anuar yang cukup masyhur dengan lagu raya, Suasana Hari Raya bersama teman duetnya, Ellina Razak.
Namun, dalam banyak kenangan Syawal yang sudah diselusuri Anuar sepanjang hidupnya, pengalaman sewaktu bertugas sebagai pramugara merupakan antara yang tidak mungkin dilupakan.
Bertugas dengan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) selama hampir 11 tahun bermula tahun 1990, kata Anuar, dia sudah merasai pengalaman beraya di luar negara hampir setiap tahun.
Semuanya demi tuntutan tugas dan bayangkan kata Anuar, kerinduan terhadap keluarga ketika itu tidak mampu dibendung lagi.
Ketika itu jugalah bayangan juadah enak mula bermain di depan mata dan jika tidak dikuatkan semangat, air mata mampu mengalir laju tanpa perlu dipaksa.
"Tetapi, semua itu tidak begitu dirasai kerana saya dikelilingi oleh teman-teman yang senasib. Jadi, segala kerinduan itu terubat sedikit demi sedikit.
"Selepas berhenti, fokus saya adalah kepada keluarga dan saya mahu membalas segala kehilangan itu dengan beraya bersama keluarga setiap tahun tanpa mahu meninggalkan sedetik pun," ujar pemilik gelaran Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik sebanyak dua kali ini penuh makna.
Hayati pengertian Syawal
SEMPAT juga Hits meminta pandangan Anuar tentang semangat Raya yang dilihat mula luntur di kalangan masyarakat terutama generasi muda.
Bagi pelantun lagu I'm The Lucky One dan Keabadian Cinta ini lagi, apa yang diperhatikannya masyarakat kini lebih menjurus kepada soal materialistik.
"Saya sendiri tidak mengerti mengapa setiap kali hendak menyambut Raya, semuanya perlu diganti baru. Seolah-olah mereka mahu bersaing sesama sendiri dan menunjukkan mereka mampu menukar serba-serbi dengan kelengkapan baru.
"Tidak menuding jari kepada sesiapa, tetapi saya percaya perkara ini sering kali menjadi perbualan ramai. Lebih menyedihkan, ada yang sanggup berhutang kerana mahu memastikan tetamu kagum dengan inisiatif mereka itu.
"Bukankah lebih baik seandainya mereka menghayati pengertian Syawal itu sendiri. Aidilfitri adalah hari kemenangan kita selepas sebulan berpuasa menahan lapar dahaga dan nafsu daripada segala-galanya.
"Jujurnya, saya sendiri lebih teruja menyambut Ramadan berbanding Syawal. Disebabkan itu, saya akan mengambil peluang sebaik mungkin untuk memanfaatkan bulan Ramadan," ujar Anuar penuh jujur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: