SYAWAL kali ini menyaksikan perubahan yang begitu besar dalam hidup pasangan dua sejoli, Sazzy Falak, 30 dan suaminya Nazril Idrus, 37.
Masakan tidak, tahun ini, kedua-dua mereka akan merayakan lebaran dengan gelaran ibu bapa kepada dua cahayamata kembar yang selamat dilahirkan pada 28 April lalu, Iman Lilly dan Tiara Rose.
Malah, diam tak diam, usia mereka juga sudah menginjak ke angka empat bulan.
Tentu sekali bahagia Sazzy dan Nash semakin bahagia apatah lagi, kembar mereka sudah semakin pandai mempamerkan keletah mereka yang comel dan mencuit hati.
Iyalah, sebelum ini cuma berdua, kini bukan sahaja seorang, tetapi dua anak sekali gus dalam satu masa.
Sebagaimana pasangan ibu bapa lain, pertama kali berpeluang menyambut hari raya bersama anak sulung tentunya merupakan sesuatu yang sukar dirungkai dengan kata-kata.
“Saya sudah lama dapat rasakan, tahun ini Aidilfitri kami lebih meriah dengan kehadiran Iman dan Tiara.
“Teruja? Sudah tentulah. Lebih-lebih lagi bila tengok Iman dan Tiara berpakaian cantik-cantik di hari raya.
“Suasana di dalam rumah juga lebih ceria sebab semua sanak saudara kami akan berkumpul sama di rumah ayah di Kemensah, Ulu Klang.
“Iyalah, semasa saya melahirkan Iman dan Tiara, tak semua kaum keluarga saya sempat melihat mereka dari dekat.
“Jadi, inilah masanya untuk mereka melihat kembar kami selain menyambut hari raya bersama-sama,” katanya kepada Pancaindera ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Bercerita lanjut mengenai sambutan hari raya, kata pelakon utama filem Tolong Awek Aku Pontianak! (TAAP) ini, kesederhanaan adalah apa yang diinginkan olehnya di lebaran ini.
Menurut Sazzy, meski teruja menyambut raya bersama anak-anak, dia dan keluarga bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan kesedihan selepas kehilangan arwah datuknya di minggu kedua umat Islam menjalani ibadah puasa.
“Saya akui, suasana sedikit hambar tanpa kehadiran dia. Tapi saya lebih suka fikir secara positif sebab Allah S.W.T telah menggantikan kesedihan itu dengan kehadiran Iman dan Tiara.
“Sebab itu, kami mahu berhari raya dalam suasana sederhana tetapi tetap meriah dengan kunjungan sanak saudara yang lain,” ujarnya.
Karakter berbeza
Sengaja melanjutkan bicara mengenai keletah anak kembarnya, pengacara ini juga memberitahu, tidak sukar untuk membezakan karakter di antara kedua-dua mereka.
Menurut Sazzy, sebagai ibu yang mengendong anak selama sembilan bulan di dalam rahim, naluri keibuannya cukup kuat.
Meski Iman dan Tiara punya karakter yang tersendiri, namun itu tidak menyukarkan dirinya dan Nash untuk mengenali si kembar tersebut.
“Kalau nak tahu, Iman ni badannya sedikit kecil berbanding adiknya Tiara yang kita boleh tengok lebih bulat.
“Selain itu, Iman ni jenis yang tenang sahaja. Tapi bila menangis, suara dia boleh dengar satu rumah!
“Tiara pula jenis suka memerhati dan sukakan perhatian. Dia juga sangat manja orangnya. Kalau menangis pun bunyi budak manja,” ujarnya sambil tersenyum.
Dalam pada itu, memandangkan tahun ini tahun pertama dia dan Nash beraya dengan anak, kata Sazzy, persiapan raya banyak tertumpu pada Iman dan Tiara.
Menurutnya, baik dia mahupun Nash, kedua-duanya terlalu teruja untuk membeli pakaian hari raya buat kembar mereka.
“Kami ni memang pantang kalau tengok baju budak yang comel-comel, pasti akan beli buat Iman dan Tiara.
“Kalau tanya berapa pasang baju mereka, saya sendiri sampai tak ingat. Banyak jugalah. Tapi yang penting, di hari raya pertama, kedua-dua mereka akan berbaju kurung,” katanya.
Saat ditanya mengenai juadah hari raya, pantas sahaja bibir kecilnya berbicara, “Oh..saya bukan orang yang tepat untuk berada di dapur!”
Kata Sazzy dalam tawa, dia memang tidak pandai memasak dan jarang sekali berada di dapur untuk tujuan itu.
Namun, akui si manis ini, dia lebih suka mengemas dan menghias rumah berbanding membuat kerja-kerja dapur.
“Bab-bab lain saya boleh uruskan dan boleh buat. Tapi memasak saya tak pandai sangat. Apa yang menariknya, semua di antara kami sudah ada tugasan masing-masing.
“Jadi biasanya kalau hari raya, kami akan serahkan semua itu kepada makcik saya. Lazimnya setiap tahun dia akan masak Ayam Calio dan ayam rendang berkuah untuk disajikan kepada tetamu.
“Tapi ia sangat istimewa sebab masakan ini adalah resipi turun-temurun keluarga kami,” katanya lagi yang turut mengendalikan syarikat DJ Nasty Sinclair Falak Sdn Bhd.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: