MENAMPILKAN tema 'Tradisi & Cita rasa Desa', tahun ini Restoran Duyung yang terletak di Kelab Darul Ehsan (KDE) Ampang Jaya, Selangor, dilihat memberi kelainan dalam menyajikan hidangan untuk berbuka puasa kepada warga kota.
Seperti restoran-restoran lain, KDE menyajikan hidangan secara bufet untuk para pengunjung dan tidak kurang 101 pelbagai pilihan menu Ramadan dapat dinikmati bersama keluarga, sanak saudara mahupun rakan taulan.
Antara menu istimewa yang ditampilkan tahun ini ialah hidangan lauk pauk seperti cencaru masak kerutub, daging beriyani, gulai tempoyak, kambing masak halia dan daging masak kicap perak.
Menurut Penolong Pengurus Besarnya, Siva Kangasu, selain sajian cita rasa kampung, pihaknya turut menyediakan hidangan masakan ala Cina seperti loh hon chai, udang kon poh, udang mentega dan dried chilli cuttle fish.
"Tahun ini kami cuba memberikan kelainan bukan sahaja dari segi pilihan sajian berbuka puasa malah kami turut menampilkan konsep gerai di mana ia untuk memberi pelbagai pilihan kepada para pengunjung.
"Dengan adanya konsep gerai ini, secara tidak langsung makanan yang disajikan lebih banyak.
"Untuk gerai, kami menampilkan masakan bergoreng, bakar, sup dan aneka nasi," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Harga yang ditawarkan juga berpatutan di mana orang dewasa hanya dikenakan RM55 (bersih), kanak-kanak RM33 dan warga emas RM32.50.
Bagi mereka yang ingin membuat tempahan boleh hubungi talian 03-42572333 sambungan 409.
Dalam pada itu, sepanjang bulan Ramadan ini pengunjung juga boleh membeli barangan keperluan hari raya yang disediakan di Bazar Ramadan yang terletak di laluan pintu masuk restoran tersebut.
Pelbagai barangan dapat diperoleh seperti tudung, jubah, baju kurung, kerongsang, beg tangan, telekung, aksesori wanita dan tidak ketinggalan kuih muih hari raya.
Menurut salah seorang peniaga di situ, Duraton Hannani Amir, 29, tahun ini merupakan kali pertama di berniaga di bazar Ramadan KDE.
Dia yang sememangnya merupakan peniaga sepenuh masa menjual pelbagai jenis pakaian kanak-kanak, pakaian dewasa dan juga aksesori wanita.
Bagi Duraton, walaupun pertama kali berniaga di KDE, sambutan yang diterima menggalakkan.
"Alhamdulillah, setakat ini sambutan menggalakkan dan kebanyakan baju kanak-kanak yang dijual dihasilkan sendiri," ujarnya.
Bagi Dona Hashim, 48, pula, dia yang telah empat tahun berniaga di situ sememangnya tidak pernah melepaskan peluang untuk berniaga di situ.
Katanya, setiap tahun sambutan yang diterima daripada pengunjung-pengunjung KDE amat menggalakkan.
Berniaga barangan wanita seperti baju, tudung, aksesori dan juga kuih raya, Dona sentiasa memastikan produk yang dijualnya. berkualiti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: