KUALA LUMPUR: Pelawak, Zizan (Raja Lawak) menafikan dia mula bersikap besar kepala dan berlagak dengan orang di sekelilingnya termasuklah rakan-rakan rapat.
Kata Zizan, dia terkejut apabila sebuah artikel ruangan pojok di sebuah akhbar mingguan melaporkan mengenai kelakuan buruknya dan menganggap hal tersebut tidak benar sama sekali.
"Saya tak faham apabila dikatakan megah diri dengan apa yang saya peroleh dalam kerjaya sekarang, sedangkan sehingga sekarang saya masih berpijak di bumi nyata dan tahu asal usul saya.
"Mungkin ia sekadar tanggapan orang tetapi jujur saya katakan, tiada apa yang perlu saya bangga kerana banyak lagi perkara dalam bidang seni yang perlu saya pelajari," katanya yang ditemui pada tayangan perdana filem Hantu Bonceng di panggung Odeon, di sini, Selasa.
Tambah Zizan, dia juga terkejut apabila dikhabarkan kononnya tidak puas hati kerana gagal bergelar johan dalam pertandingan Maharaja Lawak yang telah pun berlalu pada 25 Jun lalu.
Bagaimanapun, pelawak itu enggan membesarkan isu tersebut dan meminta maaf sekiranya ada perbuatannya yang telah menyinggung perasaan orang lain.
"Saya harap hal ini tidak dikecohkan lagi dan kalau ada kesilapan yang telah saya lakukan, tegurlah. Maklumlah, kita sebagai manusia tidak boleh elak daripada melakukan kesalahan.
"Maafkan saya jika ada hati yang terluka dengan perangai saya," tuturnya.
Sementara itu, dalam filem Hantu Bonceng, Zizan terbitan Excellent Pictures, Zizan bergandingan dengan Juliana Evans, Jue Aziz, Tai dan Dottie.
Ditanya, adakah keakraban Zizan dengan Juliana bermula dengan filem tersebut, pelawak itu mengakui tentang hal berkenaan tetapi menafikan dia bercinta dengan pelakon kacukan Melayu-Inggeris itu.
"Memang kami rapat sejak menjayakan Hantu Bonceng sehinggalah sekarang. Tetapi saya harap peminat faham bahawa kami tidak mempunyai sebarang hubungan," ujarnya tersenyum.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: