|
DUA figura daripada gelanggang berbeza, Remy Ishak dan Khairy Jamaluddin sebenarnya jauh berbeza sejak karier mereka bermula. Seorang pelaku dari gelanggang seni, seorang lagi ahli pencak di gelanggang politik, namun atas satu lintasan persamaan, wajah aktor Melayu jati serta pengemudi pemuda negara itu berjaya diterkam dalam warna dan nada yang bercantum likat.
Larut dan terpisah seketika dari variasi rutin seharian, secara rasminya, mereka bertemu mata dan berjabat salam buat pertama kalinya di sini, di Kampung Budaya 1Malaysia, Menara Kuala Lumpur (KL). Mengambil kira bisik orang, konon-kononnya Remy dan Khairy seakan seiras, sengaja paparan eksklusif ini Sensasi Bintang dihidangkan.
Indahnya, ia bukan sekadar drama tapi silaturahim antara Remy dan Khairy itu cepat terbentuk. Mereka bersembang tentang bola sepak, tentang rutin yang harus ditempuh. Borak-borak kosong orang lelaki.
Spontan kata Khairy, kalau dia bergelar artis, dia bukan jenis yang boleh berdepan bermacam kisah sensasi. Sengaja kami menyatakan bahawa para selebriti hanya dijentik manja dalam sensasi mereka. Terkejut seketika, Khairy menambah dalam jenaka:
"Kalau itu namanya jentik, memang saya tak sanggup jadi artis."
Bersambung cerita tentang iras muka yang bukan kali ini sampai di telinga mereka, Khairy melontar ramah:
"Rasanya sejak setahun lepas lagi, ada orang beritahu kononnya muka saya macam Remy Ishak. Ada juga yang SMS memberitahu perkara yang sama. Kalau kami dikatakan adik-beradik, Remy adalah 'the handsome brother'."
Mengakui ada mengikuti perkembangan dunia hiburan khususnya filem, ujarnya, dia juga salah seorang penonton filem Cun, filem berlatarkan sawah lakonan Remy bersama Maya Karin. Bukan sengaja direka-reka tetapi lelaki berkarisma 35 tahun ini memang mengikuti dunia perfileman. Kali terakhir, dia menonton siri Harry Potter di pawagam bersama isteri tersayang.
Sama juga dengan Remy, jujur ceritanya: "Dua tahun lepas lagi saya dengar ada orang kata muka saya sama dengan Khairy. Saya anggap pertemuan ini satu penghormatan besar sebab beri peluang kepada saya jumpa Khairy. Bagi saya dia mewakili generasi muda dalam politik. Daripada peribadi dan pendiriannya, nampak sifat pejuang dalam dirinya."
Kebetulan pula, jarak daerah kelahiran Khairy di Rembau, Negeri Sembilan dan Remy, Masjid Tanah, Melaka secara tidak langsung memesrakan lagi borak lokasi antara mereka.
Dari satu persepsi yang lain, dua nama itu ibarat dipinjamkan seketika sebuah kerusi bersepuhkan cahaya. Ada letaknya nama mereka di hati umum. Khairy laksana ayam yang tangkas di tengah gelanggang, tuturnya bijak berisi misi terhadap perjuangan yang didepani manakala untuk Remy, si pemain muda itu yang sedang beraja di mata banyak penerbit dan pengarah filem. Nasib dalam percaturan dan walau siapapun mereka, baik artis atau ahli politik, masing-masing dambakan restu dan sokongan ramai. Analoginya begitu, ia sekadar kiasan di sebalik kelibat sosok mereka yang disatukan ini.
Ekspresi Lebaran
Seiring langit Ramadan yang kian melabuhkan tirainya, pengertian 1 Syawal yang kebetulan jatuh dalam nafas negara sehari sebelum sambutan Hari Kemerdekaan juga dipinta.
Kata Khairy, hari raya yang akan disambut pada 30 Ogos (Selasa ini) diharap membawa keistimewaan berganda. Ia bakal menjadi tanggal keramat buat Malaysia kerana menyambut Hari Kemerdekaan dalam suasana kemeriahan Aidilfitri.
"Saya cuma berharap masyarakat akan mengambil kesempatan untuk menikmati apa yang kita ada tanpa mengira agama atau bangsa. Jadi, hari raya nanti diharap akan membawa kegembiraan kepada semua, inilah saat keemasan yang jarang berlaku.
"Jadi, sekiranya ada sikit-sikit perasaan tidak puas hati, sambutlah raya ini dalam suasana aman damai," katanya yang menyifatkan patriotik cara generasi merdeka hari ini tidak sama dengan cara generasi terdahulu.
|
|
Tambah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu, setiap individu mempunyai jiwa patriotik cuma cara menzahirkan semangat itu tidak sama.
"Secara peribadinya, cukuplah saya zahirkannya dengan kesyukuran kepada Allah, agama dan tanah air, bila kesemua itu bercantum, jiwa patriotik itu indah. Ia tidak boleh dipaksa terutamanya terhadap anak muda, jiwa mereka mudah memberontak.
"Orang sekarang ada macam-macam cara patriotik, boleh tonjolkan dalam karya filem, pameran foto atau lukisan. Semuanya terpulang kepada niat," hurai menantu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi penuh mesej.
Menyambut hari raya dalam gaya pemimpin rakyat dan semenjak terpilih sebagai Ahli Parlimen Rembau, tuntutan bertemu rakyat jadi keutamaan.
"Kalau dulu raya hanya untuk diraikan bersama keluarga sendiri sekarang berbeza sedikit. Malam raya biasanya kami ahli keluarga akan berkumpul di Kuala Lumpur untuk sama-sama berbuka puasa pada malam terakhir Ramadan. Esoknya, saya akan berangkat ke salah sebuah masjid di Rembau untuk solat hari raya sebelum ziarah ke mana-mana rumah penghulu terdekat di situ. Menjelang tengah hari, saya akan pulang semula ke rumah mertua di ibu negara.
"Biasanya saya akan bercuti selepas raya, tahun lepas saya sekeluarga bercuti dalam negara, jadi tahun ini akan ke luar negara pula," kata Khairy.
Disentuh sedikit emosi jantannya, lelaki penuh gaya ini mengaku tidak dapat menahan sebak setiap kali menjelang malam raya.
"Perasaan sebak itu hadir malam raya mengenangkan bapa yang sudah tiada. Tetapi pagi raya esoknya, saya lontarkan kegembiraan dan menyambut Aidilfitri dengan famili seperti biasa," akuinya tanpa segan atau selindung malu.
Emosi Remy
Saat menghitung suasana Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan yang berselisih hari, Remy berlainan pegangan berbanding Khairy. Hero filem seram epik Azazil arahan Khabir Bhatia yang masih dalam pembikinan itu ada hemah tersendiri.
"Bagi sesetengah orang, ia memang bagus tapi dua perayaan itu sepatutnya disambut dengan dua emosi berlainan, memanglah hari raya adalah hari kemenangan manakala hari kemerdekaan pula hari pembebasan, tapi definisinya berbeza. Dalam kes raya tahun ini, kita harus sambut ia seadanya," katanya yang boleh diresap semangat patriotik pada bila-bila masa tanpa perlu menunggu Hari Kemerdekaan.
"Jujurnya setiap kali 31 Ogos, secara automatik saya boleh sebak tapi cara nak menzahirkan jiwa patriotik itu bukan dengan tindakan sebaliknya lebih kepada nilai sentimental dan dalam momen-momen tertentu. Kadang-kadang, bila jalan-jalan dan nampak bendera berkibar pun timbul semangat patriotik. Walaupun tidak naik motosikal sambil kibar bendera, tapi nilai itu ada dalam hati," luah Remy yang akan meneruskan tradisi raya di Masjid Tanah, Melaka bersama keluarga.
Hari-hari terakhir Ramadan begini, akui Remy, hatinya mudah tersentuh bahkan tuturnya:
"Momen paling seronok adalah dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum raya. Malam raya sehinggalah menjelang sesi bersalaman pada pagi hari raya. Berkat hari itu terasa lain macam padahal setiap hari kita akan bersalaman."
Penutup cerita, salam mereka 'adik-beradik' bertaut pada petang tiga Ramadan. Bukan hanya di situ, selepas bersua muka, salam bersambung di laman sosial Twitter yang rajin dilawati mereka. Sama kacak rupa dan visi, semoga pengisian pertemuan ini sama-sama dirasai khalayak yang melihat dan membaca.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: