Friday, August 26, 2011

Pesona tudung syifon


Tudung nampak lebih terletak cantik jika bersanggul.


LUMRAH sifat semula jadi wanita ingin nampak cantik daripada hujung rambut hingga ke hujung kaki. Tidak kira sama ada pada hari-hari biasa atau hari perayaan, menghadiri majlis dan sebagainya, penampilan wanita pasti dijaga supaya sentiasa nampak menarik pada pandangan semua orang.

Penampilan yang menarik pastinya memberikan keyakinan diri apabila tampil bertemu seseorang. Namun apa yang lebih penting, diri sendiri berasa selesa dan gembira dengan apa yang digayakan.

Bijak bergaya memberikan kelebihan kepada seseorang untuk tampil cantik dan menawan. Sama ada bertudung atau tidak, anda masih lagi boleh bergaya dengan cara anda sendiri.

Bagi yang bertudung, anda masih boleh nampak anggun dan bergaya dengan pelbagai pilihan tudung lebih-lebih lagi dengan kemunculan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi.

Fesyen dan gaya tudung sentiasa berubah-ubah bagi memenuhi kehendak pengguna. Pereka tudung juga harus kreatif untuk menghasilkan rekaan terkini agar pelanggan tidak beralih kepada yang lain.

Tudung syifon paling laris pada hari ini kerana kelembutan fabrik dan si pemakai nampak ayu dan anggun. Tudung syifon sememangnya sesuai digayakan pada hari istimewa seperti hari raya atau ke majlis.

Tudung syifon yang ditambah dengan perincian seperti sulaman, tampalan bunga sulam dan jahitan manik menambah seri anda pada hari lebaran ini.

Jenis sulaman juga berbeza-beza mengikut bajet dan kehendak pelanggan. Terdapat sulaman setingkat atau dua tingkat, tampalan bunga sulam pada satu bahagian sahaja ataupun pada keliling tudung.

Baju yang bercorak lebih sesuai jika digayakan dengan tudung syifon polos. Pilihan warna-warna lembut dan garang boleh dipadankan dengan baju.

Bagi menambah seri, sematkan dengan kerongsang besar daripada perak bertatah kristal pada depan tudung atau kerongsang berjurai di atas kepala.

Jika anda bertudung penuh, pakai anak tudung di dalam namun pilih anak tudung yang warnanya kontra dengan tudung luar.

Kepada yang tidak bertudung penuh, letakkan sahaja di atas kepala. Tudung nampak lebih terletak cantik jika anda bersanggul.

Justeru jika pada hari-hari biasa atau hari bekerja, anda memakai tudung daripada fabrik jersi, hari raya ini cuba ubah penampilan kepada tudung syifon pula.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: