ANGGUN...wajah terbaru Marion yang kini hamil lima bulan.
MELIHAT susuk tubuhnya dari belakang, tiada siapa menyangka wanita anggun ini sedang berbadan dua. Saat dia menoleh, pandangan mata bagaikan terpaku dan berbisik wajahnya sangat berseri-seri dan kelihatan susuk tubuhnya yang sedang hamil cahaya mata pertama.
Itulah pengacara E! News Asia, Marion Rose Caunter, 31.
Pemilihan Pengacara E! News Asia itu sebagai penghias muka depan RAP, hari ini sememangnya diatur tepat pada masanya. Ini kerana hajat mahu mencoretkan pengalaman pertama Marion menyambut Ramadan dan Aidilfitri sebagai saudara baru akhirnya ditambah dengan berita gembira dia hamil lima bulan dan membuat pengumuman menerusi program E! News.
Ikutkan kemahuan hatinya dan suami, SM Nasarudin SM Nasimuddin, 27, yang dikahwini pada tanggal 17 Disember 2010, berita kehamilannya kalau boleh tidak mahu dihebahkan dulu kepada umum.
Namun, statusnya sebagai selebriti menghalang Marion daripada berbuat demikian apatah lagi kandungan yang sedang membesar itu tidak boleh lagi dilindungi.Merahsiakan perkhabaran baik itu juga seolah-olah tidak mensyukuri kurniaan Yang Maha Esa malah pengacara yang membina nama menerusi program TV Quickie sebelum kemampuannya diuji mengendalikan Malaysian Idol 2 itu, akui teramat terharu dan sebak apabila menyedari dirinya sudah hamil.
Kata Marion yang sering melemparkan senyuman, naluri keibuan mula mengetuk pintu hatinya sejak dua tahun lalu.
“Saya berasa seronok setiap kali melihat wanita mengandung melintas di depan saya. Disebabkan itu, sebaik saja berkahwin saya terus mahukan zuriat. Saat ini sememangnya saya idamkan sebagai seorang wanita.
“Saya dan Nasa (suami) sudah lama bercinta. Bertuah dirasakan kerana dalam tempoh lima tahun kenal dan bercinta, kami berpeluang mengenali antara satu sama lain.
“Apabila berkahwin, kami terus buat keputusan untuk segera timang anak,” katanya ketika memenuhi fotografi khas yang diadakan di penthouse dua tingkat Hotel Hilton, KL Sentral, Selasa lalu.
Mendapati dirinya berbadan dua pada Mac lalu, tiga bulan pertama mengandung Marion mengalami alahan yang sa�ngat teruk sehingga tidak boleh makan dan minum.
“Kalau minum pun, saya selalu ambil minuman isotonik saja kerana ia ada sedikit garam. Biasanya orang mengandung akan ‘morning sickness’, sebaliknya saya kena pagi, siang, petang dan malam. Asyik muntah-muntah saja. Sampaikan satu ketika saya menjadi sangat lemah dan tidak bermaya sehingga disarankan berehat oleh doktor.
“Tiga bulan pertama me�ngandung saya jarang muncul di E! News kerana keadaan kesihatan membuatkan saya tidak berkemampuan untuk berjalan jauh. Sebagaimana diketahui umum rakaman program E! News berpangkalan di Singapura.
“Mujurlah pihak E! News memahami dan sewaktu berbincang masalah saya, mereka terus memberikan cuti. Disebabkan itu kebelakangan ini saya jarang muncul di E! News buat sementara.
“Bagi seorang yang aktif seperti saya, duduk di rumah tanpa bekerja atau keluar bercuti mula membuatkan saya rasa tertekan. Namun sebaik saja kandungan masuk usia empat bulan keadaan kembali normal.
“Selera juga bertukar daripada tidak boleh makan sekarang semua benda saya teringin nak makan! Pagi tadi tiba-tiba tekak saya terasa seperti mahu makan Blueberry Waffle,” katanya disusuli tawa.
Memilih untuk mengikut saranan doktor, Marion tidak mengetepikan pesanan ibu kandung dan ibu mentuanya dalam memilih makanan berkhasiat.
Malah, dia menolak tertekan dengan perubahan bentuk badan yang sering kali dibimbangi kaum wanita kerana percaya dengan usaha serta amalan diet yang betul sesiapapun mampu kembali ke bentuk asal kelak.
Kegembiraan untuk menimang anak mengatasi segala-galanya kata personaliti kelahiran Pulau Pinang itu.
Mengimbas kembali saat memaklumkan berita baik itu kepada suaminya, tidak seperti pasangan romantis yang lain tampil dengan pelbagai inisiatif termasuk kejutan, Marion pula sekadar menghubungi Nasa.
“Saya berada di Singapura ketika itu bagi menjalani rakaman program E! News. Saya rasa aneh sebab lewat datang bulan lalu ke farmasi membeli alat ujian kehamilan.
“Ujian pertama positif mengandung bagaimanapun saya sengaja membuat ujian itu sebanyak empat kali untuk memastikan keputusan itu benar-benar tepat. Keempat-empatnya menunjukkan tanda positif.
“Saya kemudian menghubungi Nasa dan dia menyambut perkhabaran itu dengan rasa cukup gembira. Sebelah malam dia menghubungi saya semula dan meluahkan lagi rasa gembira yang tidak terkata,” ujarnya.
Membuatkan dirinya tambah terharu dan bertuah, apabila Nasa yang sentiasa cukup sibuk dengan tugasnya sebagai Pengerusi Eksekutif Bersama di Kumpulan Naza, mula meluangkan lebih masa buat dirinya.
“Nasa mula mengehadkan urusan perniagaannya di luar negara untuk menemani saya selalu dan ia satu perkara cukup manis daripada seorang suami. Maklumlah, dalam keadaan begini wanita selalunya mahukan perhatian yang lebih daripada suami. Saya tidak pernah memaksa Nasa berbuat demikian kerana memahami kesibukannya dengan urusan perniagaan. Inilah detik bahagia buat kami berdua,” katanya.
Tidak begitu selesa diajak membicarakan soal jantina anak kerana sama ada lelaki mahupun perempuan, mereka tetap menerima dengan rasa gembira serta syukur.
Cuma harapan wanita kacukan Portugis-Inggeris dan suaminya itu hanyalah satu - semoga proses kelahiran dipermudahkan menjelang Disember ini.
Lucunya, jangankan persiapan bayi, nama bayi juga belum diputuskan malah Marion dan suaminya belum ada idea untuk nama bayi mereka kelak. Yang pasti, Marion dan Nasa mahukan nama yang ringkas serta moden.
Melalui Ramadan dengan tenang, Marion akui sekali-sekala terpaksa tinggal puasa kerana disebabkan keadaan diri yang mudah letih. Apatah lagi, dia masih dalam proses membiasakan diri dengan ibadah puasa memandangkan statusnya sebagai saudara baru.
Apa yang menarik, temubual eksklusif Marion berhubung kisah kehamilan dan persi�apannya bergelar ibu akan ditayangkan menerusi episod khas E! News pada Ahad (28 Ogos) ini, jam 9.40 malam di E! Entertainment (Astro Channel 712).
Beralih pada persiapan hari raya, akui wanita cantik tinggi lampai itu, dia amat teruja untuk menempuh pengalaman pertama menyambut Aidilfitri.
Jelas Marion, Aidilfitri yang pertama dia merancang untuk beraya bersama ibu mentuanya. Mereka juga akan menziarahi pusara ayah mentuanya, Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
“Adik-beradik Nasa sendiri ramai yang sudah berkahwin, jadi tentu saja ada yang akan beraya di rumah mentua masing-masing. Justeru, pada raya kedua kami memutuskan untuk mengunjungi rumah sahabat kami,” katanya.
Rumah tangga yang berusia hampir sembilan bulan juga dilalui dengan penuh rasa cinta. Bahkan, Marion mengakui dia berasa lebih tenang sekarang.
“Sebelum berkahwin dulu, saya selalu fikir bagaimanakah keadaannya apabila kita berkahwin dan perlu tinggal sebumbung malah hari-hari akan melihat wajah yang sama. Dulu saya memang bebas hidup seorang namun sekarang, saya mulai rasa tidak dapat lagi berjauhan lama-lama dengan suami,” katanya.
Topik perbualan pada petang itu turut menyentuh skop kerjayanya yang kini menembusi pasaran Asia.
Akui Marion, lebih setahun bersama E! News Asia dia rasa sangat selesa dan seronok mengendalikan program itu.
“Saya sukakan kerjaya saya sebagai pengacara E! News. Ketika menuntut di Amerika Syarikat lagi saya memang suka menonton saluran ini malah pernah terdetik mahu menjadi pengacaranya. Boleh dikatakan, impian saya menjadi kenyataan. Saya bersyukur ada pasukan yang cukup profesional dan sedia bertolak ansur,” katanya.
LOKASI: Hilton Kuala Lumpur Penthouse, Hotel Hilton, KL Sentral
(Sebarang tempahan, hubungi +60 2264 2299 atau e-mel reservation.kl@hilton.com)
JURUSOLEK: Khir Khalid
BUSANA: Rizalman Ibrahim
PROFIL
NAMA: Marion Rose Caunter Abdullah
PANGGILAN: Marion
TARIKH LAHIR: 5 November 1980
USIA: 31 tahun
ASAL: Pulau Pinang
ZODIAK: Scorpio
SUAMI: SM Nasarudin SM Nasimuddin
PENDIDIKAN: Ijazah Komunikasi & Penyiaran dari Marquette University, Milwaukee, Wisconsin, Amerika Syarikat
PENGALAMAN MENGACARA: TV Quickie, Latte at 8, Flava, One in a Million, Channel [V] Paparazzi, E! News Asia, The Biggest Loser Asia 2
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: