Thursday, August 25, 2011

Generasi ketiga PEN E-P3


OLYMPUS PEN E-P3 dikeluarkan tiga tahun selepas generasi pertama kamera PEN diperkenalkan.


SETIAP kali kita memetik butang kamera bagi merakam sekeping foto sebagai kenangan pernahkah terlintas di fikiran kita bagaimana sesebuah kamera itu direka setiap kali?

Bermula dari peringkat mengeluarkan idea sehingga produk siap untuk dipasarkan, ia memerlukan satu kumpulan yang profesional dan berdedikasi dalam bidang masing-masing.

Berpeluang menemui Pengurus Besar Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Olympus Jepun, Yasuo Asakura pada majlis memperkenalkan model terbaru kamera keluaran syarikatnya, PEN E-P3 di Kelab Golf Kuala Lumpur (KLGCC), lelaki itu berkongsi sedikit rahsia dan prinsip Olympus dalam penghasilan produk.

Kamera Olympus PEN E-P3 merupakan generasi ketiga dalam kategori Olympus PEN yang dikeluarkan dalam tempoh tiga tahun sahaja.

Pada tahun 2009, Olympus telah memperkenalkan siri PEN generasi pertama dengan reka bentuk tradisional tetapi mempunyai semua kecanggihan teknologi terbaharu yang terdapat waktu itu.

Generasi kedua pula, PEN E-P2 yang dikeluarkan pada tahun 2010 membaiki segala kelemahan generasi sebelumnya iaitu viewfinder dan kepayahan mengambil gambar dalam cahaya terang.

Menurut Asakura, Olympus mempunyai sebuah pasukan yang terdiri daripada jurutera reka bentuk dan teknikal yang hanya fokus dalam mereka bentuk siri model kamera PEN.

Pasukan itu akan sentiasa berdedikasi mengkaji kekurangan dan teknologi terbaharu kamera dan atas faktor tersebut menyebabkan Olympus PEN mampu mengeluarkan siri model terbaharu setiap tahun dengan penambahbaikan ciri-cirinya.


ASAKURA (dua dari kiri) menunjukkan model terbaharu Olympus PEN E-P3 yang kini boleh dimiliki pada harga RM3,199.


Sebuah lagi kumpulan yang terdiri daripada jabatan pemasaran pula bertindak dengan membuat kajian berkenaan kehendak pengguna.

Selain itu, setiap masalah dan maklum balas terhadap siri model PEN terdahulu diambil kira oleh mereka. Pasukan itu akan bekerjasama dengan jabatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk siri PEN seterusnya.

Tambah Asakura, senarai yang dibuat itu akan dibincangkan oleh kedua-dua pasukan untuk diteliti.

“Senarai tersebut terlalu panjang melibatkan spesifikasi, keperluan pelanggan dan reka bentuk. Kedua-dua pasukan kami akan memilih senarai mana yang perlu diutamakan.

“Antara yang dipertimbangkan adalah kehendak utama pelanggan dan teknologi yang ada ketika itu,” kata Asakura yang tidak mahu mendedahkan bilangan pekerja yang terlibat dalam mereka Olympus PEN.

Proses mengintegrasi teknologi yang dipilih dan reka bentuk produk dilakukan dalam masa yang sama dengan menggunakan perisian tiga dimensi.

Bahagian terpenting dalam reka bentuk Olympus PEN E-P3 yang dikekalkan dan menjadi unsur terpenting adalah garisan melengkung di bahagian atas kamera tersebut.

“Ketika sesi mengeluarkan idea pada peringkat awal dahulu, kami menerima banyak rekaan yang boleh dikatakan amat moden tetapi pihak R&D mengambil keputusan untuk mengambil rekaan lama (garisan melengkung) itu.


SAIZNYA yang kecil membuatkan PEN E-P3 juga sesuai dimiliki oleh wanita.


“Kami percaya dengan tidak menukar rekaan tersebut, nilai sesebuah produk itu akan meningkat seiring dengan berlalunya masa,” ujar Asakura yang berada di Malaysia bagi memperkenalkan PEN3.

Teknologi

Penolong Pengurus Besar Olympus (Malaysia) Sdn. Bhd., Yong Kee Nyap berkata, barisan model kamera terbaharu Olympus PEN E-P3 mempunyai beberapa kriteria yang jenama lain tidak miliki.

“PEN E-P3 mempunyai sistem auto fokus yang paling laju dalam kategorinya dengan kelajuan dua kali ganda menjadikan ia sistem AF terlaju dalam kategorinya,” ujarnya dalam sesi penerangan produk.

Ciri-ciri lain yang jelas adalah paparan skrin sentuh yang menggunakan teknologi kapasitan elektrostatik yang membolehkan pengguna hanya menyentuh sahaja.

“Peranti keluaran Apple sahaja yang mempunyai teknologi ini berbanding produk lain yang rata-rata menggunakan titik tekanan.

“Sudah terbukti teknologi kapasitan elektrostatik lebih menyenangkan jika dibandingkan dengan titik tekanan selain paparan LCD hiper-kristal bersaiz tiga inci,” jelas Kee Nyap lagi.

Selain itu, fungsi terbaharu, ART Bracket, membolehkan pengguna kamera mengambil foto yang mempunyai 17 efek berbeza dengan hanya satu klik dalam masa kurang 10 saat.

“Dengan fungsi baru ini membolehkan anda mengambil foto dengan beberapa efek khas dan kini tidak perlu membuang lebih banyak masa di hadapan komputer untuk mengedit gambar,” katanya.

Dalam majlis yang memperkenal Olympus PEN E-P3 itu, dua buah model kamera turut sama diperkenalkan iaitu PEN E-P3 dan PEN E-PM1 dan kedua-duanya akan berada di pasaran dalam tempoh terdekat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: