Sunday, August 28, 2011
Datuk Siti Nurhaliza sambut raya di Kedah
Setiap kali kedatangan Syawal, pasti ada cerita dipahat sebagai kenangan terindah dalam lembaran Aidilfitri. Perkara itu turut diakui oleh diva nombor satu negara Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.
Penghibur nombor satu negara ini, sebenarnya mengakui terlalu banyak kenangan terpahat di hatinya, bertambah meriah apabila tahun ini, penyanyi lagu Nazam Lebaran dan Sesuci Lebaran ini, dapat menyambut bersama anak-anak suaminya Datuk Seri Khalid Jiwa atau lebih dikenali dengan Datuk K.
Bertemu dengan diva popular ini, Datuk Siti atau lebih mesra dengan panggilan Siti, amat teruja untuk menyambutnya di kediaman suami tercinta di Permatang Pasir, Kedah.
“Saya sangat terharu dan bersyukur dengan segala nikmat tuhan. Tahun ini, saya menyambut lebaran bersama keluarga yang besar. Kami menyambutnya di kediaman suami.
“Saya seronok dan begitu teruja untuk meraikan lebaran kali ini. Tambahan, semua anak-anak ada sekali. Detik yang saya tunggu selama ini dan macam-macam yang kami mahu lakukan pada malam raya nanti.
“Inilah momen paling indah dalam hidup saya. Beraya bersama suami dan anak-anak adalah perkara paling membahagiakan. Merekalah penyeri hidup saya,” katanya manis dengan busana warna ungu violet.
Dua minggu berada di tanah suci mengerjakan ibadah umrah, Siti merindui suasana berpuasa di sana dan berhasrat untuk menyambut lebaran di tanah suci pula.
”Alhamdulillah, kami dapat mengerjakan ibadah dengan sempurna sekali. InsyaAllah, jika diizinkan pasti akan ke tanah suci lagi pada tahun-tahun akan datang.
”Bukan hanya berpuasa, malah menyambut lebaran di sana. Saya berdoa agar kami terus dilimpahkan rezeki dan terus dijemput ke sana lagi,” katanya.
Pulang ke tanah air dua hari sebelum menjelang Aidilfitri, bukan halangan untuk Siti menyediakan juadah dan persiapan hari raya untuk dijamu di pagi raya.
“Alhamdulillah, saya sudah siapkan pakaian dan biskut raya sebelum berangkat lagi. Saya tidak mahu kelam kabut masa pulang nanti.
“Mengenai pakaian pula, saya hanya sediakan dua pasang baju baru dan selebihnya baju sedia ada yang saya pakai sewaktu buat persembahan. Sayang pula, pakai hanya sekali sahaja. Jadi lebih baik saya pakai waktu lebaran ini, taklah membazir.
“Macam juadah tu pula, pulang baru saya buat, Menu utama kami sudah semestinya rendang dan ketupat palas.
”Ini sudah menjadi tradisi kami kalau beraya di Kedah. Saya beruntung kerana ibu mertua tinggal bersama, Jadi segala persiapan raya lebih mudah dan teratur. Kami boleh berbincang mengenai menu-menu yang akan disediakan.
“Suami saya tidak cerewet memilih juadah hari raya. Jadi kami rasa tak ada masalah. Apa sahaja boleh dan yang penting suasana dan kemeriahannya. Apatah kami dapat berkumpul beramai-ramai tahun ini.
”Saya akan membantu ibu mertua saya memasak. Suasana riuh di dapur itulah yang membuatkan raya lebgih seronok dan meriah,” katanya.
Tradisi rumah terbuka
Berada di Kedah selama dua hari. Siti manfaatkan waktu itu bersama keluarga. Tidak pernah melupakan peminat yang banyak menyokong perjuangan seninya, Siti seperti biasa akan meraikan peminatnya dengan mengadakan rumah terbuka.
Tradisi rumah terbuka itu akan di adakan di kediaman mereka selepas mengerjakakan solat Aidilfitri di Masjid Al-Khalidiah.
“Insya-Allah, rumah terbuka itu sudah pasti kami adakan jika tidak ada aral melintang. Ia akan di adakan pada hari raya pertama. Inilah masa saya bertemu dengan peminat yang selama ini begitu setia menyokong kerjaya seni saya.
”Cara ini juga sebagai menghargai mereka. Tanpa sokongan mereka, tidak mungkin saya masih kekal seperti hari ini.
“Jadi rumah terbuka adalah masa saya bersuai kenal dengan mereka. Kerana itu, saya katakan beruntung kerana ibu mertua bersama saya.
“Bukan sahaja menu untuk kami sekeluarga malah ibu turut memberi idea untuk menjamu tetamu-tetamu yang hadir pada majlis itu nanti,” katanya yang akan pulang ke Kuala Lipis pada hari ketiga.
Tidak menghampakan peminat di kampung halamannya Siti turut meraikan peminat yang hadir ke rumah mereka di Kuala Lipis nanti.
”Bukan hanya di Kedah, malah ia akan di adakan di Kuala Lipis juga. Cuma masanya masih tidak dapat saya tentukan.
”InsyaAllah saya pulang ke sana pada hari raya ketiga dan mungkin meraikan peminat pada hari berikutnya. Tapi, semua itu masih dalam perbincangan. Jika tiada apa masalah, ia pasti akan di adakan,” katanya lagi.
Terkenang kumpul duit raya
Mengimbau kenangan zaman kecilnya menyambut lebaran, Siti tersenyum apabila kenangan mengumpul duit di hari raya bersama adik beradik dan kawan-kawan seusianya. Katanya kenangan itu antara paling indah tersemat di hatinya.
“Bila raya saja, terpacul kenangan-kenangan masa kecil-kecil dulu. Saya tak ingat umur berapa ketika itu. Tapi masing-masing cantik dengan pakaian raya masing-masing. Ada juga yang sedondon, dah tahu kalau sama tu adik beradiklah.
”Seronok bila dapat mengenang kembali zaman itu. Biasanya aktiviti kumpul duit raya bermula selepas solat Aidilfitri.
”Tapi, mula-mula kumpul duit raya daripada abah dan emak kemudian daripada abang dan kakak dan juga saudara mara. Bila dah kenyang perut, baru seronok nak jalan.
”Kami adik-beradik dan kawan-kawan mula jalan pusing satu kampung. Dari sebuah rumah ke rumah lain mengumpul duit raya.
“Bila penat berhenti, cari rumah dan bagi salam. Minum air, makan biskut raya sikit dan minta diri nak balik. Penat memanglah sangat penat, tapi bila balik rumah dan tengok koleksi duit raya, hilang rasa penat.
”Perut rasa sakit sebab makan dari pagi hingga pentang. Macam-macam jenis biskut raya yang masuk perut. Air pula, sirap atau oren. Tak sah kalau tak hidang dua jenis air ni. Kembung perut saya dan kawan-kawan.
“Berjalan ramai-ramai tak terasa penat pun. Sambil berjalan sambil tengok rumah mana yang ada potensi dapat duit raya banyak. Itulah antara kenangan kanak-kanak yang saya simpan sampai bila-bila,” katanya.
Ikrar cinta Syawal
Selain kenangan masa kecilnya, umum mengetahui Datuk K pernah meluahkan rasa cinta dan kasihnya terhadap Siti sewaktu pasangan ini, menyambutnya di tanah suci beberapa tahun lalu.
“Saat itu tiada apa yang lebih membahagiakan saya ketika menyambut Syawal. Orang yang saya sayang mengungkapkan kata kasih kepada saya di depan Kaabah.
“Tidak akan saya lupakan detik itu. Biarpun sambutan Syawal di tanah suci sederhana sahaja, tetapi saya dapat melaksanakan solat sunat Aidilfitri suami dan bersama jutaan orang Islam dari pelbagai negara.
“Dengan macam-macam gaya, ia bertambah indah, apabila suami tercinta ada bersama dan sentiasa di sisi. Kasih sayangnya tidak pernah berkurang, malah menjadi pendorong utama kepada kerjayanya saya. Bukan sahaja sebagai penyanyi malah sebagai usahawan produk SimplySiti.
“Semoga lebaran tahun ini juga memberikan cahaya kepada kami sekeluarga,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: