MEMILIKI bentuk tubuh fizikal kerdil bukan satu penghalang untuk Peter Dinklage mencipta nama sebagai seorang aktor popular.
Antara filem-filem lakonannya termasuklah Elf, Underdog, Death at a Funeral dan The Chronicles of Narnia: Prince Caspian.
Tetapi, filem The Station Agent yang ditayangkan pada tahun 2003, sebenarnya telah melonjakkan namanya sehinggakan lakonannya dalam filem itu berjaya dicalonkan untuk Anugerah Screen Actors Guild bagi kategori Pelakon Filem Lelaki Terbaik.
Dalam usianya yang sudah mencecah 42 tahun itu, Dinklage masih terus mengharapkan watak-watak yang dapat mencabar kredibilitinya sebagai seorang pelakon.
Lalu, apabila ditawarkan untuk membintangi siri drama televisyen, Game of Thrones, tiada alasan kukuh untuk Dinklage menolaknya.
"Saya telah dihubungi oleh David Benioff yang merupakan kenalan lama saya yang memberitahu dia mahu menerbitkan sebuah siri televisyen terbaru.
"Pada mulanya, saya menyangkakan ia hanyalah sebuah siri biasa tetapi apabila Benioff memberitahu dia mahu mengadaptasi siri novel terlaris, A Song of Ice and Fire hasil tulisan George R. R. Martin, bagi saya ia adalah sesuatu yang menakjubkan.
"Saya sendiri sudah membaca novelnya dan begitu menyukainya. Lebih-lebih lagi, apabila siri ini diterbitkan oleh HBO, keterujaan saya berganda kerana kredibiliti saluran itu dalam menerbitkan siri televisyen terbaik," katanya yang pantas menyatakan persetujuannya selepas 'dilamar' oleh Benioff dan seorang lagi penerbit eksekutif, D.B. Weiss.
Membawakan watak Tyrion Lannister dalam siri yang mula meraih perhatian itu, Dinklage menyifatkan watak tersebut mempunyai pelbagai dimensi.
Mempercayai bahawa dalam kehidupan tiada watak hitam atau putih, sebaliknya Dinklage memberitahu watak Tyrion lebih terarah kepada bersifat kelabu.
"Bagi saya, kehidupan bukan seperti itu. Tiada siapa yang hero dan tiada siapa juga yang jahat. Ada kalanya orang baik juga melakukan perkara yang tidak elok dan begitulah sebaliknya.
"Atas alasan itulah saya merasakan watak Tyrion cukup menarik untuk dibawakan. Dalam masa yang sama, apa yang boleh saya katakan watak ini cukup kompleks dan rumit.
"Saya tidak mahu mengulas lanjut tetapi saya berharap penonton yang menonton Game of Thrones kelak, dapat menilai dan memahami apa yang saya katakan ini," katanya yang cukup menggemari watak Tyrion itu.
Keberkesanan lakonannya dalam siri itu telah mendapat pujian penonton dan pengkritik. Hasilnya, Dinklage berjaya dicalonkan untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki Drama Terbaik dalam Anugerah Emmy yang bakal berlangsung pada 18 September ini.
Malah, Game of Thrones sendiri mendapat 12 pencalonan lain termasuk Siri Drama Terbaik yang akan bersaing hebat dengan Boardwalk Empire, Dexter, Friday Night Lights, The Good Wife dan Mad Men.
Tayangan perdana Game of Thrones bermula 28 Ogos ini dengan dua episod berturut-turut mulai 10 malam di HBO (saluran 411, Astro) manakala tayangan di HBO HD (saluran 431, Astro B.yond) pula pukul 11 malam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: