INDAH...keadaan Masjid Sultan Hassan atau masjid empat mazhab yang masih menyimpan kitab keempat-empat mazhab berkenaan.
DETIK hati, hanya tiga perkara ingin saya lakukan jika melawat Mesir iaitu melawat makam Imam Shafie, menyentuh tapak kaki Nabi Muhammad SAW dan menggenggam debu bumi Palestin. Ia hampir direalisasi ketika membuat tinjauan pasca kejatuhan kerajaan Husni Mubarak di Mesir selama 13 hari pada 5 Jun lalu.
Bagaimanapun, sebaik menjejak kaki di bumi ambia itu, hanya dua daripada keinginan saya dapat dipenuhi kerana usahkan memegang debu bumi Palestin, hendak menjeling ke negara berkenaan pun tidak berkesempatan.
Namun saya bersyukur kerana sempat mengimarahkan beberapa rumah Allah seperti Masjid Ahmad bin Hulun, Masjid al-Azhar, Masjid Amru bin Ash, Masjis Hussein (masjid negara), Masjid Annur (masjid baru kegemaran Mubarak), Masjid Sultan Hassan yang menempatkan pengikut empat mazhab serta syiah dan beberapa masjid tempatan lain.
Kebanyakan masjid ini mempunyai makam tokoh Islam dan di Masjid Hussein, beberapa kelengkapan milik Rasulullah SAW disimpan bersebelahan makam yang mempunyai kepala cucunya, Hussein yang dipenggal.
Seperkara menarik mengenai Mesir ialah setibanya waktu solat, azan berkumandang sahut-menyahut, menyebabkan hati berdetik (mungkin malu dengan diri sendiri) mengerjakan solat, tambahan pula peluang menunaikan solat begitu mudah.
Setiap langkah atau ceruk pasti ada masjid atau surau, namun ada satu benda yang harus anda praktikkan untuk membolehkan anda tidak kelihatan seperti pelancong di negara bergolak seperti ini, iaitu jangan memakai atau membuka kasut di tangga masjid selepas solat, sebaliknya gunakan tempat disediakan mereka.
Oleh kerana matlamat asal ingin menjejaki bekas pemimpin negara berkenaan, saya terpaksa ke Sham el Sheikh kerana Husni Mubarak dirawat di hospital di sana dan dari Kaherah, kami melalui terusan Suez sebelum ‘tersangkut’ beberapa jam kerana melanggar perintah berkurung.
Sebaik dibebaskan, saya bergerak ke Dahab dan singgah sekejap di Taba, kawasan bersempadan dengan Israel bagi melihat bumi yang dirampas puak tidak berhati perut berkenaan dan lensa kamera langsung tidak dibenarkan untuk menghala keluar dari kereta.
Sebenarnya saya kagum dengan teknologi ketika melalui terowong AS-Shahid Sheikh Ahmad Hamidi di bawah terusan Suez yang dibina pada 1981 yang dibiayai sepenuhnya oleh Barat melalui Perjanjian Kem David.
Walaupun tidak dibenar menaikkan lensa kamera menghala ke Israel, kami sempat bergambar di Monumen Mubarak yang dibina khas untuknya kerana beliau pemimpin yang mengembalikan bumi Sinai kepada Mesir dan itulah satu-satunya bahan bersejarah yang masih disimpan.
Selepas ini mungkin tiada lagi peninggalan pemimpin itu kerana bukan saja gambarnya dibuang, malah plak tertera namanya kerana merasmikan majlis tertentu turut dipadam sebagai tanda marah rakyat kepada pemimpin berkenaan.
Selepas bermalam di Dahab, menikmati hidangan makanan laut lazat dan menyaksikan keindahan batu karang di Laut Merah, kami bergerak ke Kaherah melalui Sinai, namun saya sedikit kecewa kerana tidak dapat meluangkan masa memanjat Gunung Sinai yang menjadi lokasi Nabi Musa AS bermunajat dengan Allah.
Dek mengejar masa, kami juga tidak dapat melihat beberapa telaga yang dipercayai ada kaitan dengan Nabi Musa AS yang dulunya mempunyai 12 telaga mewakili 12 kaum yang mengikut ajarannya selain Hammam (tandas) Firaun yang dikatakan mengeluarkan haba panas.
Dalam perjalanan, kami singgah di satu kawasan yang hanya terletak di tepi jalan dan tempat berkenaan dikenali sebagai ‘Matlakh Yahudi’ yang dikatakan sering dikunjungi masyarakat Yahudi jika masuk ke Mesir atau melalui kawasan berkenaan.
Rupa-rupanya di situ terletak makam jurutera tentera Yahudi dikenali sebagai Mohandis yang terbunuh ketika membuat kajian untuk pembinaan jalan di tanah diceroboh negaranya selepas melalui laluan berkenaan yang dipenuhi periuk api ditanam tentera Zionis.
Untuk rekod, Yahudi menakluki Sinai hampir enam tahun sebelum menyerahkannya kepada Mesir sejurus tewas dalam perang pada 1967.
Sekembalinya di Kaherah, saya tidak melepaskan peluang menyusuri Sungai Nil yang menjadi kebanggaan masyarakat Mesir selain meninjau makam imam kita, Imam Shafie dan sebuah lagi makam yang dikatakan milik gurunya, Imam Waqi’.
Turut dikunjungi ialah lokasi bekas Presiden Mesir, Anwar Sadat ditembak mati dan makamnya turut dibina berhampiran kawasan berkenaan.
Kata orang, kunjungan ke Mesir tidak sempurna jika tidak ke piramid, jadi saya meluangkan masa dua jam untuk melihat keunikan piramid berkenaan yang terletak di tengah padang pasir, turut kelihatan beberapa piramid kecil yang tidak dikorek.
Selain piramid, saya mengunjungi Tasik Qarun yang menjadi lokasi masyarakat setempat khususnya penduduk kampung sekitar Fayyoum beriadah.
Nyata sekali masyarakat Arab teruja dengan kawasan berair, jadi tidak hairan mereka sanggup berkelah walaupun airnya kotor dan kehitaman.
Kira-kira lima kilometer dari tasik berkenaan, ada satu lagi tasik kecil dan di antara tasik berkenaan ada dua air terjun yang menjadi tempat anak muda tempatan meluangkan masa menunjukkan aksi terjun ‘anjal’ walaupun ia bukan terlalu tinggi.
Destinasi terakhir saya di Mesir ialah Bazaar Khan Khalili dan di sinilah tempat pelancong membeli-belah, malah kebanyakan peniaga di situ mampu berbahasa Melayu tetapi kasar ketika berurusan dengan pelancong.
Seperkara yang harus diingat ketika berurusan dengan peniaga di sana ialah, kita juga harus berkasar dan jangan mempedulikan mereka jika merasakan harga ditawarkan tidak munasabah kerana ketika perang, harga barang ditawarkan jauh lebih mahal.
Apapun selepas sekian lama meninggalkan Mesir, saya masih terbayangkan nasi mandy berlaukkan ayam atau kambing panggang, kufta (campuran daging unta), kebab arab dan muse (jus pisang) yang sememangnya menjadi menu harian saya di sana.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: