Sunday, August 28, 2011

RTM Siar Lebih 100 Program Bertemakan Merdeka Raya

Pengarah Penyiaran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Norhyati Ismail (tengah) pada sidang akhbar Rayakan Merdeka di Auditorium Perdana, Angkasapuri, di sini, baru-baru ini. Turut hadir, Pengarah Program TV RTM, Suhaimi Jamalim (kiri) dan Pengarah Program Radio RTM, Siti Mohani Saad.

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Ismail berkata stesen penyiar itu mengambil inisiatif dengan menampilkan kelainan pada program-programnya bersempena sambutan tiga perayaan iaitu Aidilfitri, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Menurut Norhyati, program yang bertemakan Rayakan Merdeka itu bakal menghimpunkan lebih 100 rancangan hiburan termasuk drama, nyanyian dan muzikal bermula esok hingga 16 September depan.

"Tahun ini adalah tahun yang istimewa buat RTM kerana kita cuba menawarkan kelainan dalam program-program yang disiarkan bersempena sambutan tiga perayaan iaitu Hari Raya, Hari Merdeka dan Hari Malaysia.

"Kita cuba imbangi dan terapkan ketiga-tiga tema itu menerusi lebih 100 rancangan yang merangkumi drama televisyen, muzikal dan nyanyian di tiga saluran iaitu TV1, TV2 dan TVi," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran program itu di Auditorium Perdana, Angkasapuri, di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, kelainan yang cuba diketengahkan pada tahun ini bukan saja terletak pada variasi program yang baru dan segar malah stesen tersebut juga mengutamakan program nyanyian dan muzikal terbitan dalaman.

"Selain drama, kita juga memberikan keutamaan pada pelbagai program nyanyian dan muzikal yang diterbitkan oleh unit dalaman RTM sendiri.

"Program-program ini diimbangi dan diadun dengan ketiga-tiga elemen perayaan itu," katanya.

Bagi program Hari Raya, TV1 bakal menawarkan 58 program, TV2 (30) dan TVi (12), manakala program Merdeka pula menjanjikan lima program di TV1, tujuh program di TV2 dan sebuah program di TVi.

Sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan pula bakal dimeriahkan dengan tiga program istimewa.

Antara program menarik bersempena musim perayaan ini termasuk drama Puasa Terakhir pukul 12.30 tengah hari 29 Ogos di TV2, drama Hero Desa (2 petang, 30 Ogos, TV1), Bagus Ba Khas Raya (9 pagi, 30 Ogos, TVi), program Aktif 5 Raya (4.30 petang, 31 Ogos, TV2), telefilem Ratu Hati Di Aidilfitri (5.05 petang, 1 Sep, TVi) dan program Gegar Raya Kg. Pening Lalat (9 malam, 2 Sep, TV1).

Barisan filem yang bakal disiarkan secara berselang-seli pula termasuk Setem (10.30 malam, 30 Ogos, TV2), Papadom (9 malam, 31 Ogos, TV1) dan V3: Samseng Jalanan (10.30 malam, 1 Sep, TV2).

Layari laman web rasmi www.rtm.gov.my untuk maklumat lanjut dan intisari program di televisyen dan radio RTM sepanjang musim perayaan ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: