KUALA LUMPUR: Penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman, 52, yang dibebaskan daripada pertuduhan berkhalwat dengan bekas jaguh badminton negara Roslin Hashim, 35, pada 19 Ogos lalu menegaskan untuk menyaman tiga individu yang disyaki melakukan komplot untuk memfitnah dan menjatuhkan maruahnya sekeluarga.
Menurut Raja Azmi, konspirasi itu didalangi oleh tiga individu yang terdiri daripada bekas isteri Roslin Hashim, Norhayati Othman, 39, seorang ahli keluarga terdekat Raja Azmi sendiri dan seorang tokoh sukan berpengaruh bergelar Datuk.
"Selepas dibebaskan daripada pertuduhan itu dan sudah berbincang dengan peguam dan keluarga, saya rasa tindakan untuk menyaman tiga individu berkenaan adalah keputusan paling wajar.
"Saya akan heret mereka ke mahkamah untuk mendedahkan kebenaran dan memulihkan nama dan reputasi saya. Bukan saya mahu mengaibkan mereka atau memanjangkan kes ini tetapi untuk menyedarkan mereka atas fitnah dan penganiayaan yang dikenakan," katanya yang ditemui pada sidang media tergempar itu di Hotel Concorde, di sini, Rabu.
Tambah produser dan penulis filem ...Dalam Botol itu, dia sebenarnya sudah berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Norhayati atas tuduhan tersebut pada tahun lalu lagi tetapi terpaksa dilupakan selepas dihalang oleh suaminya, Jailani Sidek atas alasan untuk tidak memanjangkan hal berkenaan.
"Kalau diikutkan, pada tahun lepas lagi saya sudah hendak saman dia (Norhayati) atas tuduhan khalwat itu tetapi dihalang oleh suami, Jailani yang tidak mahu hal ini dipanjangkan.
"Namun, kenapa dia sendiri yang mahu memanjangkan kes ini sehingga memaksa saya mengambil keputusan ini (saman)," katanya.
Apabila ditanya adakah dia benar-benar bersedia untuk meneruskan saman berkenaan memandangkan ia turut melibatkan tokoh sukan berpengaruh Raja Azmi berkata dia tetap mahu meneruskan hasrat itu.
"Saya sudah bersedia dan tidak takut untuk menghadapinya (saman). Pada saya, tiada kuasa yang lebih besar daripada kuasa Allah.
"Fitnah yang dilemparkan itu sangat besar dosanya. Hanya Allah yang dapat menentukan hukumannya dan akan melindungi orang yang teraniaya. Baru saya sedar betapa sakitnya apabila difitnah," katanya dengan linangan air mata.
Bagaimanapun, Raja Azmi tidak menolak kebarangkalian untuk memaafkan individu terbabit di atas fitnah dan tindakan mereka sekiranya mereka bersedia untuk berbuat demikian secara terbuka.
"Kalau dia (Norhayati) mengakui (kesilapan), meminta maaf dan berbaik semula, pasti urusan ini akan menjadi lebih mudah dan tidak perlu turun naik mahkamah untuk membuktikan dia bersalah. Sebagai manusia, saya bersedia menerima maafnya.
"Namun, demi maruah dan reputasi, saman itu akan diteruskan bagi mendapatkan perintah mahkamah agar semua artikel dan laporan sepanjang kes khalwat saya dan Roslin yang diterbitkan di Internet dipadamkan sepenuhnya," katanya.
Pada 7 Ogos 2010, Raja Azmi dituduh berkhalwat dengan Roslin sewaktu serbuan dilakukan ke atasnya oleh Norhayati bersama dua adiknya serta Jailani di bilik bernombor 533, Hotel Corus, Jalan Ampang, di sini kira-kira pada pukul 8.30 malam.
Norhayati membuat laporan kepada pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berhubung perkara itu untuk membolehkan Raja Azmi dan Roslin dikenakan tindakan khalwat.
Dakwaan khalwat itu juga dinyatakan oleh Norhayati pada prosiding pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini pada 18 Ogos 2010.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: