|
|
MENJELANG hari lebaran, kebanyakan rumah akan dipasang dengan langsir baharu. Biarpun tidak menukar set langsir setiap tahun, tingkap dan pintu pasti dihias dengan tabir istimewa yang hanya digunakan untuk hari-hari tertentu.
Fungsi langsir bukan sahaja dilihat sebagai penghadang cahaya atau sebagai pelindung terbaik bagi melindungi privasi pemilik kediaman.
Tanggungjawab gantungan kain itu turut diangkat sebagai penyeri kepada pintu dan tingkap yang menjadi elemen utama sesebuah bangunan.
Secara tidak langsung, kemasan langsir menjadi penting dalam kerja-kerja menghias rumah.
"Corak atau gaya langsir yang dipasang mencerminkan personaliti dan gaya hidup pemilik kediaman tersebut.
Bergelap
|
|
"Contoh paling mudah, sekiranya langsir yang dipilih daripada corak polos daripada fabrik rona lembut, ia menunjukkan pemilik gemarkan gaya ringkas dan santai," ujar Christy Wong, Pengarah Urusan Baagus Curtain Sdn. Bhd.
Sudah lebih 12 tahun bertapak dalam industri langsir, Christy turut berpendapat gantungan langsir boleh memberi impak besar dalam penataan gaya keseluruhan kediaman.
"Langsir, walaupun memiliki potongan ringkas, ia dapat mengubah bentuk tingkap.
"Warna dan corak fabrik langsir pula bagaikan suatu unsur yang membangkitan suasana berbeza kepada ruang atau bahagian tertentu di dalam kediaman," terangnya.
Selain menjadi penyeri kediaman, langsir bercorak juga boleh menyembunyikan bentuk asal tingkap yang kurang menarik.
Tingkap yang sempit misalnya boleh dihias dengan langsir lebar bagi mendapatkan ilusi luas pada ruang tersebut.
Selari dengan fungsinya yang pelbagai dan perkembangan dalam dunia fabrik, tidak hairanlah langsir masa kini direka selepas mengambil kira gaya hidup serta cita rasa penghuni yang gemarkan kelainan.
Meletakkan kemasan tingkap berfesyen sebagai tanda dagang jenama Baagus Curtain, Christy tidak menolak corak langsir dapat membantu menyuntik ketenangan, khususnya ketika berehat di kediaman.
"Tidak kira sama ada di bandar atau desa, rumah adalah tempat untuk mencari kedamaian apatah lagi selepas seharian penat bekerja.
"Ia juga lokasi penting untuk ahli keluarga berkumpul.
|
|
"Justeru, selain pilihan corak dan warna, ada juga langsir yang didatangkan dengan fungsi bergelap.
"Apabila dipasang, ia akan menghalang cahaya memasuki kediaman dan mengekalkan keadaan rumah dalam suhu bilik.
"Langsir yang datang dengan corak klasik dalam warna pastel ini pasti memberi nilai tambah kepada masa berehat dan bersantai bersama keluarga di rumah," kata Christy.
Sempat berkongsi tip pemilihan langsir, ibu kepada dua anak ini meletakkan personaliti pelanggan, gaya hidup dan konsep hiasan sebagai perkara yang perlu dipertimbangkan.
"Apabila pelanggan mahu membeli langsir, kami akan bertanya tentang gaya hidup mereka.
"Jika mereka jenis sibuk bekerja, kami akan mencadangkan pilihan langsir yang boleh menghadirkan ketenangan.
Seimbang
"Selain itu, kedudukan dan keluasan ruang diambil kira sebelum memilih paten serta warna langsir.
"Langkah ini penting untuk memastikan langsir yang bakal dipasang seimbang dan sesuai dengan susun atur perabot dan aksesori dalam rumah," katanya yang memiliki sembilan cawangan kedai langsir di seluruh negara.
|
|
Meletakkan kepentingan kemasan langsir di ruang tamu dan bilik tidur, ia perlu diberi perhatian khusus memandangkan ia adalah sudut santai keluarga dan tempat meraikan tetamu.
Bagi bilik tidur pula, Christy mengganggap ia bahagian yang memiliki daya emosi paling mendalam.
"Tidur dalam suasana warna lembut dapat membangkitkan aura segar dan tenang," ujarnya.
Selain langsir, bidai juga merupakan alternatif terbaik pelanggan Baagus Curtain.
Terdapat beberapa jenis bidai yang boleh dipilih. Antara yang popular ialah bidai gulung dan bidai roman.
"Ramai pelanggan memilih kemasan tingkap jenis bidai kerana penjagaannya yang lebih mudah dan tahan lama.
"Jika memilih bidai dengan rekaan berunsur Jepun misalnya, ia boleh digunakan selama bertahun-tahun kerana rekaannya yang bermotifkan ranting sakura adalah rekaan malar segar," kata Christy yang juga seorang pereka fesyen.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: