|
|
NORMA biasa bagi masyarakat Melayu, kampung halamanlah yang menjadi bayangan pertama dalam fikiran apabila bercakap tentang hari raya.
Bagi pasangan suami isteri, waktu inilah masing-masing akan bermain teka-teki sama ada mahu pulang ke kampung mertua atau sebaliknya.
Malah, jangan terkejut, kalau ada yang muncung sedepa kalau terpaksa pulang ke kampung mertua lantaran mengikut sistem giliran. Pun begitu, suasana begitu tak akan dapat dilihat dalam seputar hidup pelakon jelita dan popular tanah air, Rozita Che Wan sekurang-kurangnya buat masa ini.
Mengapa? Iyalah, selepas lapan tahun hidup dengan sebagai ibu tunggal, wanita yang mesra disapa Cik Ta ini lebih senang membuat sebarang keputusan sendiri.
Destinasi pilihan yang sentiasa ada di hatinya untuk berhari raya tentulah kampung halaman yang terletak di Alor Setar, Kedah.
Kata Cik Ta, saban tahun apabila menjelang hari raya, rumah ibunya itulah yang akan dijejakinya demi menyambut dan merasai kemeriahan Aidilfitri bersama keluarga.
“Masa jadi isteri orang dulu, saya dan bekas suami memang mengamalkan sistem giliran untuk pulang ke kampung.
“Senang, tak payah nak bergaduh nak balik kampung siapa. Sekarang, tiap-tiap tahun pun balik Kedah, ke mana lagi nak beraya kalau tak balik kampung,” katanya dalam tawa.
Bercerita lanjut, kata Cik Ta, bagaimanapun tahun ini menyaksikan sedikit kehampaan dalam hatinya apabila niatnya untuk menyambut hari raya di tanah suci Mekah tidak kesampaian.
Menurut Cik Ta, hasrat yang sudah dipasang sejak tahun lalu itu terpaksa dilupakan demi memberi ruang buat dua anaknya, Ammar Effendy, 15, dan Aniq Ezzra, 13, berhari raya di Kedah.
“Kalau ikutkan memang nak beraya di Mekah sebab nak menikmati kemeriahan Aidilfitri di sana. Saya selalu dengar orang kata sambutan hari raya di sana meriah.
“Ingat dapatlah merasa tahun ini. Nampaknya terpaksalah dilupakan sebab tahun ini giliran saya berhari raya dengan anak-anak.
“Tapi Insyaallah, ada rezeki saya akan pastikan hasrat ini akan tertunai,” katanya yang baru sahaja pulang menunaikan umrah di Tanah Suci pada 14 Ogos lalu.
Sepi di hati
Duta produk Safi Rania ini juga turut berkongsi rasa mengenai kesunyian apabila mengenang nasib diri yang masih solo meski usia hampir menginjak angka 40.
Luah Cik Ta, perasaan itu sering singgah tatkala melihat kesemua adik-beradik perempuannya sudah pun mendirikan rumah tangga. Namun dirinya masih sendiri.
“Tak boleh nak sembunyikan perasaan sunyi tu, lebih-lebih lagi bila tengok adik-adik perempuan saya semua sibuk dengan keluarga sendiri sekarang.
“Bila semua dah kahwin dan ada pasangan masing-masing, terasa kecewa juga di hati. Iyalah, kita ni tak ada suami. Kalau tidak, pagi raya mesti sibuk menguruskan suami dan anak-anak. Sekarang ni pun anak-anak dah besar dan keadaan dah tak sama macam dulu.
“Nak buat macam mana, jodoh belum sampai. Saya percaya Allah S.W.T ada jodoh terbaik untuk saya satu hati nanti,” ujarnya positif.
Tugas menjelang raya
Mengajak pelakon drama Manjalara dan Kiah Pekasam ini berbicara soal kenangan lamanya tatkala menjelang raya ternyata banyak yang ingin dikongsikan.
Apalagi apabila berbual mengenai gelagat adik-beradiknya dan cerita suasana di kampung yang baginya punya keseronokan dan keistimewaan sendiri.
Wajahnya yang putih polos bak porselin itu tiba-tiba sahaja bertukar kemerah-merahan dek kerana terlalu banyak menumpahkan tawa.
Dilahirkan dalam sebuah keluarga besar dengan tujuh beradik kesemuanya, kata Cik Ta, peluang berkumpul bersama adalah yang paling dinanti-nanti.
“Kumpul ramai-ramailah baru seronok. Saya masih ingat, dulu masa kami adik-beradik belum kahwin, menjelang raya saja mesti riuh dalam rumah mak sebab masing-masing dah dapat bahagian tugasan.
“Ada yang bahagian buat kuih, ada yang tukang kemas rumah, ada yang kena jahit manik pada baju, macam-macamlah!
“Memang kena buat macam tu, kalau tak ada yang nak mengelak daripada buat kerja,” candanya lagi. Lanjut bercerita mengenai sambutan hari raya, kalau hendak tahu, wanita ini memang pakar memasak juadah rendang ayam.
Juadah ini menurutnya adalah antara yang wajib disediakan untuk para tetamu yang bertandang selain laksa kedah dan nasi tomato.
Selain itu, tanpa segan silu cerita Cik Ta, dia juga pandai menganyam ketupat dan memasaknya dengan cara tradisional, idea yang diperturunkan oleh neneknya sejak dari dahulu.
Dia yang tidak pernah lokek mengeluarkan belanja untuk menjamu tetamu yang datang memberitahu, saban tahun rumahnya pasti meriah dengan kunjungan peminat yang datang dari segala pelosok negeri.
“Memang ramai dan gamat rumah mak saya dibuatnya. Ada yang datang dari pagi sampai malam tak balik-balik lagi sebab seronok sangat agaknya beraya dengan saya.
“Kadang-kadang mereka bukan datang nak makan sangat pun, tapi nak bergambar dengan saya. Apa pun, demi peminat saya layankan sahaja. Sekurang-kurangnya tak adalah suram sambutan raya di kampung saya,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: