Allah SWT telah menjelaskan keajaiban qudrah-Nya kepada orang musyrik dalam bentuk burung yang mereka saksikan. Allah SWT turut mencela mereka kerana tidak mahu memikirkannya.
Lalu Allah SWT menambah celaan-Nya kepada mereka lantaran menyembah selain Allah SWT untuk mencari pertolongan dan rezeki. Allah SWT mengingkari kepercayaan mereka dan menjelaskan mereka tidak akan sampai kepada apa yang mereka inginkan.
Justeru, mereka hendaklah memerhatikan pembela, penolong dan pemberi rezeki ini ketika Dia menahan air hujan (daripada turun ke bumi). Kebenaran telah tampak jelas bagi orang yang mempunyai mata meskipun mereka tetap berdegil dan ingkar setelah segala hujah dijelaskan.
Kemudian Allah SWT memberi contoh yang menjelaskan perihal orang musyrik dan orang yang bertauhid. Keadaan orang musyrik diumpamakan seperti keadaan orang yang berjalan ke hadapan dengan mendongak sehingga dia tidak mengetahui arah perjalanan sehingga menimbulkan kesesatan.
Keadaan orang yang bertauhid pula diumpamakan seperti keadaan orang yang berjalan dengan tegak di jalan yang jelas sehingga dia dapat melihat apa yang ada di hadapannya dan sampai kepada apa yang diingininya. Kemudian Dia mengakhirkan penjelasan ini dengan menyebut pula bukti-bukti tentang keunikan uluhiah-Nya.
Dia menyebut perihal penciptaan manusia di bumi dan pengurniaan-Nya dalam bentuk nikmat pendengaran dan penglihatan kepada manusia. Dia menunjukkan hanya sedikit sahaja manusia yang mensyukuri nikmat-Nya ini.
Seterusnya ia diikuti dengan menyebutkan pertanyaan orang musyrik kepada Rasulullah SAW tentang bilakah waktu kebangkitan itu. Ini sebagai penghinaan terhadap Baginda SAW dan jawapannya kepada mereka iaitu ilmu tentang kebangkitan ada di sisi Allah SWT.
Baginda SAW tidak mengetahuinya sedikit pun kerana baginda hanya pemberi peringatan dan memberi penjelasan. Disebutkan pula ketika kiamat berlaku, dan setelah orang musyrik mengetahui dekatnya kejadian yang mereka ingkari itu lalu wajah mereka segera ditutupi debu dan dilapisi kegelapan.
Dikatakan kepada mereka: Apa yang dahulu kamu minta supaya disegerakan kini telah berlaku dan tidak dapat dielak lagi. Jadi apakah yang ingin kamu lakukan?
Firman Allah SWT: Atau siapakah dia yang menjadi tentera bagimu yang akan menolongmu selain daripada Allah yang Maha Pemurah? Orang-orang kafir itu tidak lain hanyalah dalam (keadaan) tertipu. Atau siapakah dia yang memberi kamu rezeki jika Allah menahan rezeki-Nya? Sebenarnya mereka terus menerus dalam kesombongan dan menjauhkan diri? Maka apakah orang yang berjalan terjungkal di atas mukanya itu lebih banyak mendapatkan petunjuk ataukah orang yang berjalan tegap di atas jalan yang lurus?
Ibn Kathir berkata: Orang musyrik telah syirik kepada Allah sehingga menyembah tuhan yang lain. Mereka mohon dengan sekutu mereka kemenangan dan rezeki sedangkan Allah mengingkari perbuatan mereka yang bahawa tiada penolong hakiki kecuali Allah.
Sayid Qutub berkata: Gambaran yang pertama adalah gambaran manusia celaka, malang dan sesat dari jalan Allah dan diharamkan daripada hidayah-Nya.
Itulah gambaran manusia yang bercanggah dengan undang-undang Allah dan bercanggah dengan semua makhluk-Nya. Dia bertentangan dengan mereka dalam perjalanannya. Dia mengambil jalan yang berlainan dari jalan mereka.
Dia sentiasa rebah, tergelincir, penat dan sesat. Gambaran yang kedua ialah gambaran manusia yang bahagia, bernasib baik, yang mendapat hidayah ke jalan Allah dan menikmatinya. Dia berjalan mengikut undang-undang Allah di lebuh raya yang lapang dan luas yang dilalui orang-orang mukmin yang menjunjung keimanan, tahmid dan tamjid.
Ciri-ciri kehidupan itu adalah mudah, lurus dan bermatlamat sedangkan ciri kehidupan kekufuran itu sukar, gelincir dan sesat.
Manakah di antara kedua manusia ini yang lebih mendapat hidayah? Pertanyaan ini tidak memerlukan jawapan. Ia merupakan pertanyaan untuk menegakkan kebenaran dan mengakuinya.
Persoalan dan kemusykilan itu menghilang dan yang kelihatan di hati adalah pemandangan manusia yang berjalan di atas muka mereka atau manusia yang tersembam di tengah jalan.
Mereka berjalan tanpa hala tuju dan manusia yang berjalan dengan kepala yang tegak ke atas dan dengan hayunan langkah yang lurus menuju matlamat yang telah ditentukan. Itulah cara al-Quran mendedahkan hakikat dan menjelaskan kehidupan dalam bentuk gambaran.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: