Thursday, August 25, 2011

Lupakan kisah silam

pix_gal0
Bertandang ke rumah bekas mentua

HANYA dia yang mengetahui rasa yang sering menggamit hatinya setelah kematian bekas suami yang juga bapa kepada buah hatinya, Muhammad Rayyan Nakhaie berusia empat tahun yang masih tidak mengerti erti kehilangan.

Ambang Ramadan yang bakal ditutup dan digantikan dengan kehadiran Syawal semakin menghimpit sebak di dada, namun semua itu terus disembunyikan kerana wanita berusia 27 bernama Siti Nordiana Alias ini perlu kelihatan tabah di hadapan anaknya.
Bertemu dengan penyanyi ini, Nana ternyata tidak mahu menonjolkan kesayuan, sebaliknya terus mempamerkan kegigihannya dalam meneruskan kelangsungan hidup janda dalam usia yang muda dan kehadiran anaknya yang mirip benar dengan wajah bekas suaminya, Allahyarham Faizal Yusof.
“Saya sudah tidak beraya dengan Allahyarham selama dua tahun kerana sudah bercerai dan ini masuk kali ketiga setelah dia pergi meninggalkan semuanya.

“Melayan perasaan sedih menjadikan saya lemah dan saya tidak boleh melayan kesayuan ini kerana tidak mahu anak melihat saya dalam keadaan yang tidak bersemangat,” katanya yang hiba setiap kali waris yang ditinggalkan bekas suami itu bertanyakan mengenai bapanya.

Nana berkata, perasaannya kini lebih sayu memikirkan soal anaknya berbanding dirinya kerana dalam usia yang masih kecil, si comel itu sudah tiada bapa di sisi.

“Rayyan selalu memanggil ayahnya dan kadang kala dia ada bertanyakan saya kenapa dia tidak mempunyai abah seperti orang lain. Saat itu hanya Tuhan yang mengerti perasaan saya dan bagaimana mahu menjelaskannya membuatkan saya bingung,” kata wanita berkulit hitam manis ini yang mula kelihatan sebak sebaik menceritakan kisah anaknya.
Diminta mengimbas kembali nostalgia sepanjang meraikan keindahan Syawal bersama, Nana memberitahu Allahyarham yang berasal dari Bagan Datoh, Perak itu mempunyai keluarga yang besar berbanding dirinya yang cuma ada dua beradik saja.

“Keluarga Allahyarham besar dan tentunya sambutan raya lebih meriah dan seronok. Setiap kali pulang ke sana, arwah tidak pernah melepaskan peluang merasa makanan kegemarannya, rendang kicap yang saya sendiri amat menyukainya,” katanya yang memberitahu mempunyai kemahiran memasak hidangan kesukaan bekas suaminya itu setelah meminta resipi daripada bekas mentuanya.

Wanita yang popular dengan lagu Bukan Mengungkit Tapi Membangkit ini memberitahu kisah rendang kicap itu semuanya bermula pada awal usia perkahwinan mereka ketika menziarahi saudara mara bekas suaminya.

Katanya lagi, arwah Faizal tidak menggemari kuih raya dan lebih suka kepada hidangan yang berat seperti rendang, ketupat dan nasi.

Ditanya tidakkah pada Syawal ini dia akan memasak hidangan rendang kicap, Nana memberitahu dia tidak akan memasak hidangan itu dan mungkin akan tumpang merasa hidangan itu sekiranya ada kesempatan untuk bertandang ke rumah bekas mentuanya.

“Saya tidak akan masak. Tidak mahu mengingati kisah sedih dan memori memasak masakan ini. Jika makan pun nanti mungkin di rumah bekas mentua kerana saya akan pulang ke Perak membawa Rayyan berjumpa keluarga Allahyarham di sana.

“Keluarga bekas mentua juga melayan saya dengan baik walaupun sudah berpisah, hubungan kami akrab sehingga kini,” katanya sambil memberitahu seperti kebiasaannya akan membawa pulang Rayyan ke rumah keluarganya di Sendayan, Negeri Sembilan.

Gigih berdikari, bukan tagih simpati

“Selama ini saya berdiri di atas kaki sendiri dan tidak pernah meminta bantuan sesiapa pun. Jika tiada persembahan sekalipun saya akan usaha cara lain untuk mendapat rezeki halal,” luah Nana yang sudah biasa mendengar kata-kata pahit orang di luar sana setelah bergelar janda walaupun mengakui sesekali bisa itu menyengat juga dirinya.

Katanya, dia bersyukur walaupun tawaran menyanyi tidaklah sehebat ketika usia remajanya, dia masih mampu menyara Rayyan dan tidak pernah sesekali meminta bantuan sesiapa pun mahupun keluarganya sendiri.

“Jika tiada persembahan, saya ada kerja sampingan lain seperti menjadi pengedar jenama penapis air dan beberapa perniagaan lain yang sedikit sebanyak membantu saya membesarkan anak.

“Memang ada kata-kata yang kurang sedap didengar disebabkan status saya kini, tetapi biarlah kerana saya hanya mahu meneruskan hidup,” katanya yang kini sudah mencuba pula perniagaan minyak wangi sebagai pengedar.

Katanya, dia kini menjadi duta kecil untuk satu produk minyak wangi berjenama Teacher’s Perfume.

“Istimewanya produk ini apabila wangian yang ditawarkan tahan lama walaupun disembur sekali dan diusahakan oleh Bumiputera,” katanya yang mula terbabit setelah dipelawa kakak iparnya.

Nana memberitahu, tidak lama lagi, dia bakal terbabit dengan satu program yang dianjurkan syarikat minyak wangi ini yang menjemput golongan ibu tunggal untuk menyertai perniagaan ini supaya mampu menjana pendapatan bersama.

“Saya yang mengalami situasi yang sama merasai keperluan untuk bekerja bagi menambah pendapatan dan berharap peluang yang ada diambil mereka sebaik mungkin,” katanya.

Mungkin kesabaran dan ketabahan yang ada dalam diri wanita ini membuatkan rezeki sentiasa mengekorinya sehingga dia kini sudah berjaya membuka syarikat sendiri diberi nama Siti Nordiana Management.

“Syarikat ini adalah milik keluarga. Saya menjalankannya di Sendayan kerana saya amat sukakan FELDA yang melahirkan diri saya. Banyak nostalgia di Sendayan dan perkahwinan saya juga di sana. Buat masa ini syarikat saya masih baru bernyawa dan kami menjalankan perniagaan menyewa alat audio dan berkenaan dengan alatan seni,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: