Thursday, August 25, 2011

Signifikannya Hari Wanita


Keperluan wanita hari ini semakin diutamakan. - Gambar hiasan


Sebagai salah seorang tokoh wanita negara yang menyaksikan perjuangan wanita dahulu, mungkin Tan Sri boleh ceritakan apa signifikannya kita wujudkan sambutan Hari Wanita

ZALEHA: Sebenarnya sambutan Hari Wanita pertama berlangsung pada 25 Ogos 1962 iaitu diinisiatifkan oleh Allahyarhamah Tun Fatimah Hashim dan dengan persetujuan Perdana Menteri yang pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Pada saya, satu-satu sambutan hari yang berkaitan dengan kumpulan-kumpulan tertentu seperti Hari Wanita, Hari Kanak-Kanak, Hari Buruh dan sebagainya masing-masing ada relevan dan signifikan tersendiri.

Selain untuk meraikan ia juga bagi mengingatkan setiap orang terhadap kumpulan-kumpulan terbabit.

Apabila kita ada satu-satu sambutan maka orang akan ingat. Sedangkan sekarang ini pun kita adakan sambutan masih ada golongan muda yang tidak tahu adanya Hari Wanita, apatah lagi jika tidak ada sambutan.

Hari Wanita biasanya kita sambut dengan ada tema atau fokus pada satu-satu bidang atau aspek tertentu yang kita rasakan kita masih lemah. Dengan adanya tema ini, sepatutnya selepas itu ada usaha-usaha untuk mencipta pencapaian yang lebih baik.

Pada hemat saya, Hari Wanita wajib diteruskan meskipun ada golongan muda merasakan ia tidak perlu. Waktu inilah kita berpeluang merenung perjuangan dan pencapaian kita.

Kalau kita lihat pencapaian wanita hari ini belum pada tahap 100 peratus kerana begitu banyak aspek dalam kehidupan kita dari segi keluarga, kedudukan wanita, keganasan rumah tangga masih belum ditahap yang kita mahukan.

Kalau boleh kita ingin hapuskan semua yang tidak elok dan yang positif kita tingkatkan. Usaha ini mesti berterusan dan salah satu caranya melalui sambutan Hari Wanita di mana adakan seminar, persidangan, lawatan ke luar negara dan sebagainya. Apa akan jadi pada kita kalau kita duduk diam saja?

MAZNAH: Memang diakui generasi muda hari ini kurang menghayati perjuangan orang dulu. Namun dengan adanya sambutan Hari Wanita ini kita dapat mengimbau kembali melihat sejarah siapakah ikon-ikon yang terdahulu.

Apabila ada sambutan sebegini atau wawancara seperti ini kita boleh mengimbau balik sejarah masa lampau dan juga sekarang.

Untuk memupuk penghayatan orang muda terhadap perjuangan wanita mungkin kerajaan boleh melakukan program seperti road tour membawa ikon-ikon negara mendekati masyarakat.

Dengan cara ini kita dapat mendengar atau berbual sendiri dengan tokoh-tokoh ini, sekali gus memberi satu aura yang berbeza dan inspirasi untuk bergerak ke hadapan.

Mungkin tak semua orang tahu siapa itu Tan Seri Zety Akhtar Aziz (Gabenor Bank Negara), ada juga yang nak jumpa Tun Siti Hasmah (Mohd. Ali).

Pada satu ketika saya sendiri teringin berjumpa Tun Siti Hasmah. Alhamdulillah kerana dapat anugerah Duta Belia Negara dapat juga berjumpa dengan ikon negara ini dan kata-kata beliau menjadi perangsang untuk saya hingga ke hari ini.

AZLIN: Memang Hari Wanita amat relevan, hari ini kalau tidak kerana Hari Wanita saya pun tidak dijemput di sini. Kita perlukan hari-hari seperti ini supaya kesedaran itu ada sebagai hari yang perlu untuk mengingat apa yang kita telah capai dan apa lagi yang kita perlu buat.

Pada 2007 kami di Peniagawati telah memperkenalkan anugerah untuk usahawan wanita mengikut dekad sejak merdeka.

Daripada anugerah seperti itu kita dapat belajar tentang ramai wanita kita sudah berjaya. Sebab itulah kita perlukan hari seperti ini sebagai peringatan kepada generasi muda.

Setiap tahun kita menyambut Hari Wanita dengan menghitung pencapaian demi pencapaian. Namun apakah ukuran sebenar kepada kejayaan ini?

Zaleha: Sebenarnya rasa saya pencapaian kita begitu banyak. Kalau dibandingkan dengan zaman saya, ketika mula sekolah dulu wanita Melayu cuma ada berapa kerat sahaja tetapi pada hari ini di universiti, wanita dah melebihi kaum lelaki.

Pada pendapat saya itu menunjukkan pencapaian dari segi pendidikan. Kalau memegang jawatan-jawatan penting dan tertinggi itu boleh dijadikan ukuran, bandingkan dengan zaman sebelum merdeka dengan hari ini rasa saya satu pencapaian yang besar.

Bagi saya satu ukuran yang penting ialah peningkatan taraf hidup. Meningkat taraf hidup dari segi keadaan ekonomi, tidak semesti orang bandar sahaja kaya, kadang-kadang orang di desa juga kaya dengan tanah berpuluh-puluh ekar.

Berbanding negara luar, saya rasa kita perlu berbangga sebab saya lihat bahawa negara kita telah mencapai lebih daripada negara-negara yang saya pernah lawati itu.

Jadi kalau ada pihak mengecil-ngecilkan usaha kita dan kerajaan serta NGO (badan bukan kerajaan), rasa saya tidak patut sebab kita sudah capai banyak. Namun keadaan ini boleh berubah, dari merdeka mungkin jadi tidak merdeka, negara yang maju boleh jadi muflis. jadi kita perlu berusaha dalam segala aspek supaya kita terus meningkat dan terus meningkat, paling tidak pun kita boleh kekalkan keadaan ini.

Masihkah ada jurang yang luas antara wanita bandar dan luar bandar khususnya dari segi ekonomi.

AZLIN: Memang ada persepsi bahawa masyarakat di bandar lebih kaya dan senang berbanding luar bandar. Tetapi kalau kita lihat orang di bandar kadang kala lebih miskin atau dipanggil urban poor atas faktor kos sara hidup sampai kadang kala untuk hantar anak ke sekolah pun tidak mampu.

Program kerajaan sebenarnya sangat adil, ada program untuk di bandar dan ada juga program di luar bandar.

Bermacam-macam program yang telah diadakan bukan setakat di Kuala Lumpur, sebaliknya semua ada untuk meningkatkan kemajuan wanita.

MAZNAH: Pengalaman konvoi bermotosikal memang banyak membawa saya ke merata tempat melihat kehidupan, kemajuan ataupun kekurangan di luar bandar dan juga di bandar

Di bandar memang kita tahu semuanya maju dan mewah, tapi tidak bermakna luar bandar tidak maju, kalau ada yang kurang pun mungkin dari segi pemikiran, kemudahan, infrastruktur dan sebagainya.

Program ekonomi yang memfokus kepada wanita memang banyak contohnya kerja-kerja kraf tangan, tapi sebagai orang muda ini kita lihat balik-balik kerja yang sama.

Mungkin ada langkah atau program lain yang boleh kita tarik minat mereka untuk mereka melakukan perkara yang baru atau memberi pendedahan yang baru. Kita perlu lihat apakah peluang-peluang lain yang boleh mereka bawa dari bandar dan mulakan di kampung.

Keganasan domestik dan keganasan ke atas wanita masih membelenggu seolah-olah satu tamparan kepada segala bentuk kejayaan yang wanita telah capai.

AZLIN: Bab keganasan rumah tangga, saya sebagai peguam berpendapat ia sebagai satu isu yang tidak mudah untuk ditangani.

Kita tidak tahu siapa yang hendak disalahkan. Kadang-kadang kita nasihatkan isteri tapi dia pergi balik ke suami, selepas itu dia cakap peguam pula yang suruh cerai, kita pula yang jadi orang salah.

Kadang-kadang wanita sendiri yang benarkan semua ini berlaku.

Saya rasa apa yang patut yang kita patut buat ialah dengan tingkatkan keyakinan diri wanita tersebut supaya kalau dia dah yakin dia tidak akan kena tipu, dianiaya mahupun dipukul.

Wanita perlu tingkatkan pengetahuan, jangan terlalu takut sebaliknya kena berani. Sebenarnya dengan pengetahuan keyakinan diri kita bertambah. Keyakinan diri perlu ada.

MAZNAH: Kesedaran untuk menghargai dan menghormati wanita harus bermula daripada ibu bapa dan turunkan kepada adik beradik yang paling muda.

Dalam pada itu wanita juga haruslah lebih berkeyakinan. Bagaimana kita hendak membina keyakinan itu. Ia haruslah membina sikap yang positif, minda yang sihat dan banyak kali kita dengar anjakan paradigma

Bila lagi hendak mulakan semua ini kalau tidak dari rumah dan diri kita sendiri. Jangan harapkan orang keliling.

Bagaimana caranya? Rajin-rajinlah dengar syarahan, motivasi, membaca, membuat latihan sendiri serta letakkan harapan kepada diri sendiri untuk membina keyakinan dan kemajuan diri.

Dan balik kepada keganasan tadi, maaf sekali lagi saya katakan hari ini saya tengok senang sangat orang berkahwin dan senang sangat orang bercerai.

Mungkin kita sentuh sedikit isu sensitif, mungkin tentang penggunaan dadah di kalangan belia-belia yang banyak mengambil syabu dan sebagainya.

Kahwin sekejap terus bergaduh kerana dadah tersebut merangsang tindakan-tindakan ganas.

Balik pada wanita, kita haruslah berhati-hati, bina keyakinan, menjaga diri, keselamatan bermula daripada rumah, pakaian kita, itu semua faktor yang perlu ambil berat supaya benda ini tidak datang pada diri kita.

Jangan kita mengganas dengan tak tentu hala, kita boleh buat sukan lasak tapi jangan jadi ganas.

Zaleha: Saya tidak pasti statistik yang tepat, cuma pada hemat saya ada sedikit kekurangan. Tetapi apa yang penting bukan kita nak yang pengganas itu sahaja dihukum, sebaliknya kesedaran di kalangan masyarakat.

Sebab itu setiap kali saya berucap saya kata kepada lelaki, wanita adalah ibu, wanita itu adalah isteri dia, wanita itu adalah adik dia dan wanita juga adalah kakak dia , wanita itu anak dia. Adakah mereka tidak sayang wanita itu, itukan semua itu ahli keluarga kita, kalau semua itu kita sayang dan saling menyayangi.

Untuk membina keyakinan diri , mesti ada ilmu pengetahuan dan kemahiran. Kalau kita tidak ada duit sekali pun tetapi ada kemahiran kita boleh bercakap.

Yang kedua kuasa ekonomi, bila dah ada duit kita boleh buat apa sahaja. Di dalam rumah mesti ada petua-petua sikit dari ibu bapa, seterusnya kita sendiri kena cari dan usaha dan menambahkan keyakinan dan selain itu kita boleh tambah melalui ceramah motivasi , keadaan itu menambahkan lagi keyakinan diri kita.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: