ALOR SETAR - Seorang penoreh getah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membunuh bapanya yang berusia 60 tahun dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Pasir Puteh, Tualak, Kuala Nerang dekat sini pada 11 Ogos lalu.
Mohd. Adli Saman, 33, hanya mengangguk kepala tanda faham atas pertuduhan yang dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Zuhair Rosli.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Adli didakwa membunuh Saman Sirun di rumah mangsa yang tidak bernombor di Kampung Pasir Puteh, Tualak, Kuala Nerang antara pukul 7 petang hingga pukul 7.30 petang pada 11 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd. Adli.
Kes akan disebut semula pada 26 September ini di Mahkamah Majistret Kuala Nerang.
Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Suzanne Tiyon Bimen manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 13 Ogos lalu, Kosmo! melaporkan tindakan seorang penoreh getah yang menetak bapanya sehingga warga emas itu maut dengan sebelah kaki kanannya putus dari atas buku lali dalam kejadian kira-kira pukul 7 petang di Kampung Pasir Puteh, Tualak, Kuala Nerang.
Turut menjadi mangsa, ibunya, Hasnah Abdul Majid, 58, yang ditetak di kepala dan menerima rawatan di Hospital Kuala Nerang.
Suspek dikatakan bertindak demikian selepas naik angin hanya kerana marahkan seekor kucing.
Sejurus selepas kejadian, suspek melarikan diri di kawasan hutan berdekatan rumahnya dan dia diberkas tiga hari kemudian ketika sedang menonton televisyen di rumahnya.
Suspek dikatakan tidak mempunyai rekod penyakit mental namun dia pernah beberapa kali mendapatkan rawatan secara tradisional kerana didakwa mengalami masalah tekanan jiwa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: