Thursday, August 25, 2011

Kediaman Gaddafi digeledah

SEORANG lelaki (kiri) berjabat tangan dengan seorang pemberontak.


TRIPOLI - Para pemberontak menggeledah kediaman pemimpin Libya, Muammar Gaddafi di sini selepas mereka berjaya memasukinya kelmarin.

Para pemberontak itu merampas topi yang menjadi kebanggaan Gaddafi yang kerap dipakainya selain sejumlah senjata api.

Namun, kemaraan pemberontak yang berjaya menawan kediaman itu gagal menangkap Gaddafi kerana kelibatnya tidak kelihatan.


SEORANG wanita memberikan isyarat kemenangan semasa dia meraikan kejayaan para
pemberontak di Tripoli semalam.


Selepas kejayaan para pemberontak menawan kediaman itu, Gaddafi menyampaikan mesejnya semalam dengan menyatakan pengundurannya dari kediaman tersebut merupakan satu muslihat taktikal.

Dia yang sudah memerintah selama 42 tahun juga mendedahkan telah menyamar di Tripoli tanpa dilihat oleh orang ramai.

"Saya tidak berasakan bahawa Tripoli berada dalam bahaya," katanya.

Gaddafi bercakap kepada media yang menyokongnya selepas lokasi persembunyikannya masih kekal menjadi misteri.

Beliau yang memerintah selepas melakukan rampasan kuasa pada 1969 ketika pemerintah Libya masa itu, Raja Idris berada di luar negara untuk mendapatkan rawatan perubatan, berikrar sanggup mati syahid semasa tentera yang setia kepadanya masih bertempur dengan para pemberontak.


SEJUMLAH pemberontak meraikan kemenangan menawan kediaman pemimpin Muammar Gaddafi di Tripoli.


Pergolakan di Libya berlaku sejak Februari lalu selepas para penunjuk perasaan berhimpun di bandar Benghazi bagi menuntut demokrasi dan peletakan jawatan Gaddafi.

Sementara itu, selepas kediaman Gaddafi ditawan pemberontak, para penyokong setia Gaddafi semalam menyambung semula serangan dengan pemberontak.

Sebahagian pemberontak itu berlari-lari bagi menyelamatkan diri semasa para penyokong Gaddafi melepaskan tembakan di kediaman pemimpin tersebut yang dikenali sebagai Bab al-Aziziya.

Semasa para pemberontak itu memburu Gaddafi, para pemimpin mereka mula bergerak ke Tripoli untuk menubuhkan sebuah kerajaan baharu.

Semasa enam bulan peperangan saudara berlaku di Libya, para pemimpin pemberontak telah mewujudkan pentadbiran sementara yang dikenali sebagai Majlis Peralihan Kebangsaan di bandar Benghazi yang dikuasai mereka.


BEBERAPA pemberontak yang cedera dalam pertempuran dengan tentera Muammar Gaddafi terbaring di atas sebuah trak di pekarangan Bab Al-Aziziya, Tripoli.


"Anggota-anggota majlis itu kini bergerak seorang demi seorang dari Benghazi ke Tripoli," kata Duta baharu Libya ke Perancis, Mansour Seyf al-Nasr.

Beliau berkata, Tripoli adalah selamat dan para pemberontak memeriksa semua kawasan.

Timbalan ketua pemberontak, Mahmoud Jibril menemui Presiden Perancis, Nicholas Sarkozy semalam.

Sarkozy merupakan penyokong kuat pemberontak bersama Perdana Menteri Britain, David Cameron.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: