|
|
ANAK kepada pasangan Noraini dan Zainal, Farah Najwa, 20, mewarisi kemahiran menjahit daripada ibunya walaupun sedang mengikuti pengajian Diploma Perniagaan Antarabangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Melaka.
Menurut Farah, dia belajar menjahit dengan ibunya sejak menuntut di sekolah menengah dan minat tersebut terus bercambah sehingga kini.
"Pada mulanya, saya hanya menolong ibu menjahit yang ringkas-ringkas seperti menjahit butang baju, jahit tepi dan menolong menjahit baju kurung di bahagian-bahagian tertentu.
Teknik jahitan
"Saya tidaklah begitu mahir menjahit tetapi disebabkan ibu tidak ada pembantu, saya satu-satunya anak yang mempunyai minat menjahit akan menolong ibu terutama ketika ada kelapangan," katanya yang sedang bercuti semester.
Farah yang sibuk memotong kain langsir ketika ditemui memberitahu, selepas ibunya terlibat secara serius menjahit langsir, dia turut mempelajari teknik jahitan langsir secara perlahan-lahan.
"Kalau untuk langsir yang ringkas, saya akan tolong ibu jahit kerana saya masih belum mahir menjahit rekaan-rekaan langsir yang lebih rumit.
"Kini saya boleh menjahit dua tiga jenis rekaan langsir yang mudah selain gemar menjahit sarung bantal untuk kegunaan keluarga," katanya.
Sempena Ramadan, ibunya begitu sibuk menyiapkan tempahan yang lebih banyak berbanding hari-hari biasa. Justeru, tugasnya adalah untuk memotong kain-kain langsir tersebut mengikut ukuran yang sudah diambil.
"Sebenarnya sebelum bulan puasa lagi ibu sudah sibuk menyiapkan tempahan sebab ramai pelanggan hantar awal supaya dapat siap sebelum raya.
"Kebetulan saya sedang cuti semester jadi dapatlah bantu ibu. Itu pun saya cuma tolong jahit yang ringkas-ringkas sahaja," katanya.
Tambah Farah, dia tidak mempunyai perancangan untuk mewarisi perniagaan ibunya tetapi mungkin menggunakan kemahiran menjahit untuk diri sendiri.
"Saya masih belajar jadi saya tidak terfikir untuk mewarisi bisnes ini secara serius. Tetapi ilmu yang diturunkan kepada saya amat berguna kerana saya tidak perlu mengikuti kursus khas untuk belajar menjahit.
"Lebih-lebih lagi, sambil menolong ibu, saya seronok menjahit kerana diberikan upah," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: