KALAU berbicara mengenai cinta, pastinya setiap insan di dunia ini yang telah menempuh alam percintaan mempunyai pengalaman yang tersendiri.
Ada yang sedih, gembira, ada juga yang unik atau pelik, tetapi yang pentingnya ia tetap meninggalkan seribu kenangan dalam diri.
Memahami fitrah manusia sebegini, tidak hairanlah jika novel Karipap-Karipap Cinta gah di pasaran. Penulisnya, Nazri M. Annuar bijak memberi apa yang pembaca mahukan. Ia seolah-olah pengalaman membaca sambil meneroka ke dunia cinta sendiri. Patutlah pembaca-pembaca novel ini asyik tersenyum simpul, bahkan sudah selesai membaca pun, masih tersenyum.
Menyedari novel ini mempunyai satu kisah cinta menarik yang perlu dikongsi, kini menjadi tugas Othman Hafsham untuk mengadaptasi ke filem sekaligus menjadikan filem cinta romantik yang menarik.
Filem terbitan Cinematic Pictures yang mengangkat novel popular itu akan di pawagam mulai Hari Raya pertama. Persoalan pertama yang akan bermain-main di fikiran sudah tentu karipap, apalah agaknya peranan karipap di dalam kisah cinta yang dipaparkan dalam filem ini? Inilah satu keistimewaan cerita cinta yang akan disampaikan kepada penonton.
Selama ini mungkin semua orang menganggap karipap cuma sejenis makanan, tapi siapa sangka ia sebenarnya pengikat kasih sayang antara dua hati yang berlainan karakter. Memang pelik tetapi itulah hakikatnya. Mungkin ini satu cerita cinta paling lucu pernah anda saksikan nanti.
Dua hati yang berbeza
Karipap-Karipap Cinta yang mengisahkan dua perihal hati yang jauh berbeza. Ali yang bekerja di syarikat penerbitan majalah merupakan seorang lelaki yang serba ringkas, gemar melepak bersama rakan-rakannya dan sering dimarahi bos tempat kerjanya kerana kualiti kerjanya. Sarah pula graduan dari Universiti Al-Azhar, berasal dari keluarga berada dan seorang wanita bercita-cita tinggi.
Ali mula jatuh hati pada Sarah selepas terpandang wajah ayu Sarah yang sedang berjalan keluar dari tempat kerjanya.
Hubungan mereka kemudiannya makin erat selepas cubaan Ali menyelamatkan beg tangan Sarah yang telah diragut walaupun pada akhirnya Sarah sendiri yang berjaya menewaskan peragut tersebut.
Keadaan menjadi semakin lucu, apabila Ali mengaku pada Sarah dan keluarganya bahawa dia juga merupakan bekas graduan universiti Al Azhar kerana tidak mahu kalah kepada seorang ustaz yang ingin dijodohkan dengan Sarah.
Pelbagai kejadian telah berlaku akibat pembohongan Ali ini sehingga huru-hara jadinya. Namun untuk mententeramkan perasaan serba salahnya itu, Ali bertekad mahu mencuri dokumen penting yang disimpan bosnya bagi menyelamatkan maruah keluarga Sarah.
Tetapi Sarah tetap kecewa dengan penipuan Ali. Harapan terakhir Ali adalah untuk menghasilkan karipap yang paling sedap di dunia untuk Sarah yang sememangnya pakar dalam membuat karipap. Namun adakah cinta mereka dapat bertaut kembali?
Hafsham positif
Menurut pengarah Karipap-Karipap Cinta, kisah cinta yang dipaparkan di dalam filem ini memang banyak yang telah dihidangkan kepada penggemar filem di Malaysia sama ada hasil tempatan atau luar negara. Tetapi kisah cinta manakah yang akan paling diingati penonton, sudah pastinya yang unik dan menarik.
Inilah kelebihan yang dimiliki filem ini selain sajian komedi yang menjanjikan kepuasan kepada penonton. Tambahan pula ia merupakan adaptasi sebuah novel cinta yang laris di pasaran sehingga diulang cetak sebanyak tiga kali. “Mungkin ramai yang beranggapan cerita cinta pasti membosankan kerana kurang aksi tetapi Karipap-Karipap Cinta tampil dengan kelainan yang pasti membuatkan penonton suka dengan jalan ceritanya,” kata Hafsham.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: