Wednesday, August 24, 2011

UMS, Tumau Gayo majukan industri sawit


Henrynus Amin (kanan) bertukar dokumen dengan Kamaruzaman Ampon pada majlis menandatangani MoU antara kedua-dua pihak di Kota Kinabalu, semalam.


KOTA KINABALU 23 Ogos - Memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan Tumau Gayo Energy Sdn. Bhd. (Tumau Gayo) bakal memberi manfaat besar industri minyak kelapa sawit negara.

Pengerusi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tumau Gayo, Datuk Henrynus Amin berkata, kerjasama itu bakal memberi peluang kepada penyelidik dan pelajar UMS untuk mempelajari teknologi baru daripada syarikat tersebut.

"Menerusi kerjasama dengan UMS ini, ia membolehkan pelajar untuk lebih memahami teknologi hijau baru yang digunakan Tumau Gayo iaitu teknologi terkini dari Amerika Syarikat dan ia satu kelebihan kepada pelajar," katanya selepas majlis menandatangani MoU antara kedua-dua pihak di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Seri Dr. Kamaruzaman Ampon dan Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu Sdn. Bhd., Datuk Johnny Goh.

Mengulas lanjut, Henrynus berkata, pemilihan UMS sebagai rakan perkongsian adalah sangat tepat memandangkan ia merupakan sebuah universiti terkemuka negara yang terlibat dalam penyelidikan minyak kelapa sawit, malah, terletak di Sabah yang terkenal dengan pengeluaran bahan komoditi itu.

Jelasnya, ia memberi kelebihan kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan, selain melaksanakan lebih banyak kajian berhubung teknologi hijau.

Selain itu, katanya, kerjasama tersebut akan menggalakkan lebih ramai pelajar untuk meminati dan menguasai bidang yang sedang pesat berkembang di seluruh dunia.

Katanya, ia juga membuka peluang pekerjaan lebih meluas kepada pelajar yang terlibat dalam kursus tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: