Wednesday, August 24, 2011

Fast and Furious juara kereta solar


ANGGOTA kumpulan Fast and Furious beraksi dalam pertandingan kereta solar berskala kecil anjuran Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) di Kuantan, baru-baru ini.


KUANTAN 23 Ogos – Kumpulan Fast and Furious menjuarai kesemua kategori dalam pertandingan Kereta Solar Berskala Kecil anjuran Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas), di sini baru-baru ini.

Kumpulan yang disertai lima pelajar itu terdiri daripada Esa Lewis Anthony Jery, 21, Muhamad Saiful Azis, 21, Mohamad Akmar Roslan, 22, Muhamad Farhan Mohd. Akhir, 21, dan Mohamad Fazrin Mohd. Noor, 21, memenangi kategori reka bentuk dan kategori perlumbaan.

Menurut Esa yang juga ketua kumpulan tersebut, mereka tidak menyangka hasil ciptaan kumpulannya diangkat sebagai juara memandangkan terdapat saingan yang diberikan oleh kumpulan lain dalam pertandingan itu.

‘‘Saya dan ahli kumpulan terlebih dahulu berbincang dan bersepakat untuk memilih kereta mainan sebagai model kereta solar kami dan ternyata hasil kerjasama semua, pengorbanan dari segi masa dan tenaga amat berbaloi,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Katanya, kereta yang dihasilkan bergantung kepada tenaga solar sepenuhnya yang memerlukan tenaga cahaya yang banyak untuk menggerakkan kenderaan itu.

Jelasnya, rekaan itu tepat dan selari dengan tenaga voltan yang dihasilkan oleh panel solar turut memainkan peranan penting.

Dalam pada itu, Pegawai Perhubungan Awam Polisas, Siti Saleha Dahlan berkata, setiap kumpulan dibekalkan wang tunai RM30 bersama kadbod, 12 sel solar dan enjin motor bagi menyiapkan rekaan masing-masing.

Menurutnya, seramai 25 peserta terdiri pelajar semester satu Diploma Kejuruteraan Elektrik anjuran Jabatan Kejuruteraan Elektrik institut itu mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.

Katanya, terdapat dua kategori yang dipertandingkan iaitu reka bentuk dan gaya persembahan serta penampilan setiap ahli kumpulan.

Katanya, program itu diadakan bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai teknologi solar di samping meningkatkan kreativiti mereka dalam mereka bentuk kenderaan elektrik yang mesra alam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: