|
|
PANTAINYA yang landai dengan pasir yang berwarna kuning keemasan pasti menggamit kunjungan pelancong untuk menikmati keindahan alam semula jadi di Tunjuk Laut Resort, Tanjung Leman di Johor.
Walaupun terpaksa merentasi perjalanan yang agak jauh dan memenatkan iaitu kira-kira dua jam memandu dari bandar raya Johor Bahru, namun sebaik sahaja tiba, mata pasti terpaku menyaksikan keindahan pantai yang ‘dibaluti’ warna jingga senja, sekali gus terus memadamkan rasa penat yang bersarang.
Malah, sebaik sahaja mendaftar masuk, ramai pengunjung yang tidak sabar-sabar mahu menikmati kejernihan air laut yang membiru.
Pengakuan jurugambar Utusan Malaysia, Raja Jaafar Ali bahawa kunjungan ke Tunjuk Laut Resort pasti berbaloi dan memberi kenangan indah ternyata benar.
Bagi peminat fotografi, peluang merakamkan panorama indah semasa senja dan terbitnya matahari tidak akan dilupakan.
Terdetik di dalam hati, rugi kalau pengunjung yang datang menginap di sini tidak menyaksikan saat matahari terbit yang sememangnya bukan mudah untuk dilihat jika berada di bandar-bandar besar.
Itulah kelebihan pantai Tunjuk Laut Resort yang terletak di Tanjung Leman berhadapan dengan Laut Cina Selatan.
Selain menyaksikan keindahan matahari terbit, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti riadah yang bersifat kekeluargaan.
Di sini, pengunjung boleh merasai aktiviti lasak dengan mendaki bukit setinggi kira-kira 100 meter bersama keluarga yang dijamin selamat.
Dengan menggunakan tali yang disediakan untuk mendaki, kanak-kanak seawal usia tiga tahun pun boleh merasai keseronokannya sambil menguji stamina dengan dibantu oleh ibu bapa.
Apa yang menariknya semasa mendaki, pengunjung dapat melihat pelbagai spesies tumbuhan hutan antaranya Tongkat Ali dan periuk kera.
Setibanya di puncak bukit, sambil menghirup udara pagi yang nyaman, para pengunjung dapat melihat panorama indah dari puncak bukit termasuk beberapa buah pulau berhampiran.
Antara pulau-pulau yang jelas kelihatan adalah Pulau Sibu, Pulau Sibu Tengah, Pulau Sibu Kukus dan Pulau Tinggi.
Orang ramai yang ingin menginap di sini boleh memilih beberapa calet yang disediakan iaitu enam bilik standard, 14 deluxe dan sebuah bilik eksekutif serta empat calet keluarga berdasarkan kemampuan masing-masing.
Bayaran satu malam bagi bilik standard hanya RM110 pada hari biasa dan RM130 bagi bilik deluxe dan RM200 bagi bilik eksekutif serta RM300 bagi calet keluarga.
Kawasan perkhemahan turut disediakan oleh pihak pengurusan bagi memenuhi keperluan mereka yang gemarkan aktiviti perkhemahan dan santai. Bayaran RM10 dikenakan bagi setiap orang untuk menyewa tapak khemah.
Kaki pancing pula boleh melepaskan ‘gian’ sepuas-puasnya sama ada dengan menyewa bot atau mencuba nasib di jeti yang terletak tidak jauh dari tempat penginapan.
Bagi mereka yang gemar bersukan, padang permainan seperti bola tampar pantai dan bola sepak pantai disediakan untuk para pengunjung.
Jadi, jika anda mencari lokasi sesuai untuk berehat, Tunjuk Laut Resort mungkin salah satu destinasi yang sesuai untuk dikunjungi.
sya nk ke sana ..mcmane nk contact resort ni?
ReplyDeleteliza