Saturday, August 20, 2011

Tarikan i-City memikat hati


KAWASAN persekitaran yang dilimpahi cahaya berwarna warni daripada lampu pokok-pokok hiasan mewujudkan suasana santai yang sesuai untuk seisi keluarga di taman tema i-City Shah Alam.


"MELUANGKAN masa bersama keluarga tidak semestinya mengikut waktu-waktu tertentu". Itulah pandangan salah seorang pengunjung taman tema i-City di Shah Alam, Selangor, Maizan Raihan, 32, meskipun kehadirannya sudah melewati lewat malam.

Baginya, waktu untuk bersama keluarga tidak seharusnya dibazirkan kerana ia waktu yang amat bermakna, lebih-lebih lagi pada malam minggu setelah sibuk bekerja pada hari-hari sebelumnya.

Menetap di Taman Medan, Petaling Jaya, beliau menyatakan, ini kali pertama beliau menjejakkan kakinya di taman tema berkenaan. Sebelum ini, beliau hanya mendengar cerita tentangnya daripada rakan-rakan.

"Jadi, saya fikir kenapa tidak saya datang ke sini untuk meluangkan masa bersama keluarga pada waktu malam. Lagipun, di sini ada tarikan tersendiri," katanya.

Apa yang dinyatakan Maizan adalah satu pandangan yang mungkin mewakili majoriti pengunjung di taman tema berkenaan pada waktu malam yang rata-ratanya datang bersama keluarga untuk meluangkan masa bersama.

Mengambil kira keadaan persekitaran dan aktiviti yang ditawarkan di taman tema itu, tidak hairan ia menjadi lokasi pilihan bagi orang ramai untuk menghabiskan masa serta berhibur bersama keluarga sehingga awal pagi.

Ini kerana, i-City dilihat menawarkan pelbagai aktiviti permainan serta hiburan yang meliputi pelbagai peringkat umur antaranya taman salji atau Snowalk yang memberi pengalaman musim sejuk seperti di negara-negara empat musim kepada pengunjung.

Dengan keluasan 1,393.5 meter persegi (15,000 kaki persegi) itu, Snowalk menjadi pilihan utama pengunjung bersama seisi keluarga kerana ia menyediakan pemandangan indah, selain beberapa jenis permainan menarik.

i-City yang dibuka setiap hari sehingga pukul 1 pagi pada hari bekerja dan pukul 2 pagi pada hujung minggu turut menawarkan aktiviti permainan yang berkonsepkan taman ria (fun fair) seperti permainan memancing itik getah, membaling gelang dan sebagainya.

Malah, waktu malam di taman tema i-City tidak begitu terasa apabila pengunjung ditawarkan pertunjukan lampu LED yang direka khas dengan teknologi lampu digital terkini yang ditingkatkan dengan elemen kristal untuk memberi kesan berkilau dan kesan tiga dimensi (3D).

Seorang pelancong dari Arab Saudi, Fahad Talal, 27, memberitahu kehadirannya lewat malam ke taman tema itu merupakan satu pengalaman baharu buatnya yang berada di negara ini.

Ketika ditemu bual, beliau baharu berada di Malaysia selama lima hari daripada 14 hari tempoh percutiannya di sini.

Katanya, beliau bersama keluarganya berkunjung ke Malaysia setelah mendapat maklumat mengenai tempat-tempat menarik termasuk untuk aktiviti malam menerusi ejen pelancongan di negaranya.

"Sebab itulah, saya datang ke sini (i-City). Saya nak keluarga merasai sendiri tarikan dan keseronokan aktiviti yang diadakan pada waktu malam di Malaysia.

"Kami gembira dengan suasana yang dinikmati di negara ini. Saya boleh mencari pelbagai aktiviti yang saya suka, tidak kira waktu di sini.

"Pada mulanya, saya ingat Malaysia tidak banyak menyediakan aktiviti malam dan kalau ada pun hanya di kawasan tertentu sahaja.

"Namun jangkaan saya meleset, sebenarnya Malaysia banyak tempat menarik untuk beriadah bersama keluarga," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: