|
|
MEMANG agak sukar untuk memenuhi selera orang ramai apatah lagi mencari kelainan untuk berbuka puasa secara beramai-ramai mahu pun seisi keluarga.
Kadang kala ada yang merungut, hidangan yang disajikan tidak memenuhi selera. Ia akan dianggap tidak setimpal dengan bayaran mahal yang dikenakan seperti di hotel-hotel.
Sekiranya itu menjadi persoalan yang sering membelenggu diri anda, Restoran Rakyat di Jalan Medan Rahang, Seremban, Negeri Sembilan adalah jawapan terbaik buat anda kerana ia menyajikan pelbagai hidangan lazat.
Dengan tema masakan kampung selera Negeri Sembilan, ia bukan sahaja menyelerakan malah berbaloi dengan nilai wang poket anda.
Semua makanan yang terdapat di dalam menu pasti memikat selera anda, lebih-lebih lagi buat penggemar masakan kampung.
Sebut sahaja apa yang anda inginkan mengenai lauk-pauk kampung seperti masakan tradisi Negeri Sembilan iaitu daging salai masak lemak cili padi, ayam masak lemak cili padi dan aneka jenis masakan asam pedas.
Semua itu terhidang di hadapan anda dengan bayaran hanya RM23 untuk dewasa dan RM16 bagi kanak-kanak.
Sempena Ramadan kali ini, sebanyak 100 jenis juadah menanti pelanggan yang singgah berbuka di restoran ini yang memulakan operasinya sejak tahun lalu.
Pemilik Restoran Rakyat, Aslam Nawabdin berkata, selain masakan tradisional Negeri Sembilan, masakan lain seperti gulai perut dan ikan sembilang berlada juga disajikan untuk memenuhi selera pengunjung.
“Tidak ketinggalan, kami juga menyediakan makanan Barat seperti lamb chop dan chicken chop bagi memenuhi cita rasa pelanggan yang mahukan sajian sedemikian.
“Di restoran ini, kami lebih menitikberatkan soal kualiti demi menjaga mutu dan rasa setiap jenis masakan,” katanya ketika ditemui S2.
Mengetengahkan konsep restoran harga patut, lokasi ini boleh memuatkan sehingga 500 pelanggan pada satu-satu masa dengan beberapa khemah turut disediakan.
“Kami juga menyediakan kemudahan ruang solat bagi pengunjung untuk menunaikan solat Maghrib secara berjemaah,” ujarnya.
Mengenai sambutan terhadap restoran yang terletak di Pt 3102, Wisma Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) ini, Aslam berkata, sambutan diterimanya cukup menggalakkan.
Aslam yang telah berkecimpung dalam dunia masakan selama 15 tahun memberitahu, restoran ini juga dibuka pada bulan-bulan lain dengan menawarkan pelbagai hidangan sarapan termasuk roti canai, nasi lemak, capati dan sebagainya.
“Pada hari baisa, ia dibuka dari pukul 7 pagi hingga 7 malam, Isnin hingga Khamis manakala Sabtu dan Ahad, ia dibuka pada pukul 7 pagi hingga 5 petang. Restoran ini tutup pada hari Jumaat,” tambahnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: