SESEKALI terdengar bunyi burung berkicauan yang turut bersama menyambut kedatangan pagi pastinya mengusik kalbu. Walaupun adegan tersebut hanya rekaan semata-mata, namun perwatakan manusia dan burung boleh dikatakan banyak persamaan di antara satu sama lain.
Contohnya boleh dilihat dari segi kedua-duanya ingin terbang bebas ke mana sahaja yang dikehendaki secara solo atau berkumpulan.
Melihatkan persamaan tersebut, Ahmad Effendi Zahari mencalitkannya dalam siri karya bertajuk Togok yang menjadikan burung sebagai subjek utama luahan jiwa beliau.
Togok juga digabungkan dengan keindahan seni abstrak dan prinsip-prinsip kemodenan bagi menghasilkan luahan yang sedang bergolak di dalam diri anak muda itu.
Bercirikan falsafah dan erti kebebasan sejagat seperti mana yang dilaung-laungkan oleh mereka yang mahukan kedamaian dan kebebasan, Effendi berharap agar karyanya ini diterima ramai.
Malah beliau secara tidak langsung berjaya mencipta satu siri kerja berdasarkan metafora kiasan atau sindiran yang amat berbeza dengan karya-karya sebelumnya seperti siri Landskap Alam Semula Jadi, Phenommistikal, Fobia, Sekilas, Status dan Tandus.
Dalam siri kerjanya yang ketujuh itu, Effendi menggambarkan burung-burung yang sedang menari di atas dahan dan terbang bebas di kawasan sekelilingnya.
Keringkasan yang tersirat dalam kandungan karyanya itu membawa maksud yang tersendiri, bergantung kepada gaya pemikiran bebas.
Selain itu, Effendi juga berani mendalami subjek baharu yang menekankan kepada penggunaan elemen kisah dongeng dan kisah zaman Nabi yang dikaitkan dengan burung.
Contohnya seperti gambaran burung Undan yang membawa maksud kedatangan pendatang asing ke Malaysia dan burung-burung pemangsa seperti burung helang atau hering yang membawa maksud simbolik sebagai orang yang tamak dalam mengejar cita-cita tanpa mengira batasan.
Effendi Zahari berkata, dalam kehidupan ini, manusia juga diibaratkan seperti burung.
“Manusia dan burung, masing-masing berhijrah dan mencari rezeki pada waktu pagi dan pulang ke rumah atau sarang pada waktu senja,” katanya ketika ditemui S3 di Studio Bimasakti, 27, Jalan Platinum 7/53, Seksyen 7, Shah Alam.
Beliau berkata, kisah mengenai burung banyak diceritakan dalam cerita-cerita dongeng Melayu lama seperti Si Bangau, Si Gagak Dengan Merak, Burung Pipit Dengan Enggang dan juga kisah kecerdikan Si Gagak Dengan Jug Air.
Katanya, dalam kontek Islam juga, kisah-kisah burung juga dikaitkan dengan cerita-cerita pengalaman hidup Nabi-Nabi zaman dahulu antaranya seperti kisah kematian anak Nabi Adam.
Dalam kisah tersebut, seekor burung gagak telah menunjukkan cara-cara untuk menanam mayat dan juga kisah Burung Hud-Hud dan Ababil.
“Sebab itu, saya rakamkan kisah-kisah mengenai burung di atas kanvas dengan gaya ciptaan yang berbeza dari segi pemilihan warna yang disesuaikan mengikut maksud yang tersendiri.
“Tema dan mesej yang ingin disampaikan juga dilukiskan dalam bentuk harmoni mengikut kehendak alam sejagat.
“Ini kerana, bagi saya manusia mempunyai banyak persamaan dengan watak burung yang mahukan ketenangan dan kedamaian tanpa gangguan dan ancaman,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: