Saturday, August 20, 2011

Chef Azhar pernah bertugas di 38 hotel


Pengalaman Chef Azhar selama 27 tahun dalam bidang masakan dan perhotelan memberikan peluang kepadanya untuk bertugas di 38 buah hotel yang berlainan.


JIKA bercerita mengenai tempat kerja, ada di antara kita pernah bertugas di beberapa buah syarikat. Tetapi Chef yang ditemui S3 minggu ini pernah bertugas di 38 buah hotel sejak menceburi bidang masakan dan perhotelan.

Berkongsi pengalaman dengan pembaca setia, minggu ini Gaya Chef membawa pembaca bertemu dengan Chef Eksekutif, Azharuddin Md. Isa dari Hotel De Palma Inn, Shah Alam.

Azharuddin atau lebih mudah dipanggil sebagai Chef Azhar berkata, kesemua hotel itu meninggalkan kenangan dan pengalaman yang tersendiri.

“Saya masuk ke bidang ini kerana nampak kerjaya sebagai chef cerah masa depannya. Banyak keistimewaannya kerana seseorang itu boleh mempelajari teknik pemakanan, memperbaiki diri sendiri dan mampu bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Chef Azhar mula menceburi bidang tersebut sejak tahun 1984 sebagai pembantu tukang masak.

Setelah hampir 27 tahun bertugas, beliau kini berpengalaman luas, tidak kira dari segi masakan mahu pun operasi harian.

Sebagai Chef Eksekutif, cabaran beliau kini lebih kepada bidang pengurusan dan menentukan menu masakan yang bakal disajikan kepada pelanggan.

Ketika ditujukan soalan mengenai mengapa beliau suka lompat ke sana dan ke mari dalam bidang ini, jawapan yang diberikan amat mudah iaitu ingin mencari pengalaman di pelbagai tempat.

“Jika kita hanya bekerja di satu tempat sahaja, mungkin kita akan mudah berasa bosan.

“Sebab itu, saya selalu lompat tempat kerja apabila menerima tawaran yang lebih baik dan situasi ini biasa untuk chef yang ingin mencari pengalaman yang lebih mencabar kemampuan diri sendiri,” jelas Chef Azhar.

Beliau berkata, dalam 38 hotel yang pernah beliau bertugas itu, ia turut termasuk hotel-hotel dalam dan luar negara di Hong Kong, Vietnam, Jepun, Taiwan, New Zealand dan Timur Tengah.

“Bagi saya, bila kita bekerja di banyak tempat sudah tentu kita mempunyai ramai kenalan. Malah kata orang-orang tua, biar kita cari kawan jangan kita cari lawan, sebab nanti kita sendiri yang rugi.

“Saya juga suka bekerja dengan bangsa asing sebab secara tidak langsung kita boleh pelajari cara kehidupan mereka, masakan dan disiplin mereka.

“Secara tidak langsung juga, kita boleh memperbaiki kelemahan diri dan belajar resipi-resipi yang sudah tentu tidak pernah kita cuba sebelum ini,” ujar Chef Azhar.

Menurutnya, ketika berada di bahagian dapur, kebolehan memasak atau kemahiran amat penting.

“Bidang masakan ini juga berkait rapat dengan seni kulinari. Sebab itu, bukan mudah untuk menjadi seorang chef yang berkemahiran tinggi.

“Sebagai chef yang baik, mereka perlu mengetahui semua jenis masakan bukan hanya khusus kepada satu jenis masakan sahaja.

“Macam saya, saya bermula dari pembantu tukang masak sehingga kepada Kitchen Artis dan saya banyak hasilkan kerja-kerja mengukir bongkah ais,” kata Chef Azhar.

Tambahnya, beliau pernah mengalami kemalangan ketika sedang mengukir bongkah ais tersebut.

“Pada 1998, saya diberikan tanggungjawab untuk menyiapkan 44 blok bongkah ais dalam masa seminggu. Oleh kerana masa yang diberikan agak suntuk, kami cuba sedaya upaya untuk menyiapkan kerja tersebut dengan mengukir pelbagai bentuk seperti rama-rama, bunga, burung helang dan pelbagai lagi secepat yang mungkin.

“Sedang leka mengukir, sebuah bongkah ais terjatuh ke atas tangan saya. Nasib saya baik kerana tangan saya hanya bengkak dan cedera ringan sahaja,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: