Thursday, August 18, 2011

Tidak mahu berjauhan



Nama Linda Rafar, tidak pernah sunyi dalam industri seni hiburan tempatan. Biarpun ada kalanya dia menyepi, namun itu bukanlah petanda karier seninya berakhir. Mungkin sudah menapak begitu lama sejak kecil lagi, jadi nama Linda Rafar sering menjadi sebutan ramai peminatnya.

Berkahwin dengan aktor Syed Aiman, pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki berusia tiga tahun iaitu Syed Rezzaqiib. Kini keluarga bahagia ini, lengkap apabila Linda kini sarat hamil anak keempat.

Linda atau nama sebenarnya Azlinda Rafar masih tetap ayu. Bersama suami tersayang yang sentiasa di sisi serta anak-anak yang begitu memahami, Linda akui bahagia sentiasa bersama dirinya.

Sudah jarang muncul di kaca TV, Linda sebenarnya kini sibuk dengan perniagaan Gold yang sudah hampir dua tahun diusahakannya.

“Saya sudah kembangkan perniagaan saya. Selain berlakon dan menjaga anak, saya juga sibuk dengan perniagaan ini. Cuma, waktunya agak terhad memandangkan saya sudah lapan bulan mengandung.

“Saya bersyukur kerana dikurniakan suami dan anak-anak yang begitu dekat dengan saya. Biarpun ada kalanya saya terpaksa meninggalkan mereka kerana penggambaran drama, namun mereka begitu memahami,” katanya kepada Zass.

Memulakan karier sejak kecil lagi, ia seakan sudah sebati dengan dirinya. Payah untuk ditinggalkan, Linda bagaimanapun kini lebih selektif dalam memilih watak.

“Tanggungjawab saya semakin besar sekarang. Tidak lama lagi akan bersalin, jadi rumah tangga adalah segala-galanya. Tapi minat sukar untuk diluputkan, jadi sebelum sya hamil sempat juga saya berlakon untuk telemovie RTM iaitu Naily Sang Puteri dan sebuah drama online iaitu Rasuk.

“Saya terpaksa meninggalkan anak saya selama 12 hari untuk menjalani penggambaran. Orang kata, fizikal di lokasi tapi fikiran dan hati tetap di rumah,” katanya yang begitu merindui bidang lakonan.



Rahsia awet muda



Biarpun bakal menimang cahaya mata keempat tidak lama lagi, namun terserlah wajah remaja pada Linda. Saat ditanya, petua dia kekal remaja, Linda tidak lokek berkongsi petua.

“Emak saya adalah pakar pemakanan untuk saya dan adik-beradik. Dari dulu lagi, saya diajar minum air suam sahaja. Saya juga akan kurangkan minum air manis dan ais.

“Kalau makan pula, saya sudah biasa makan bersama ulam.

“Percayalah ia akan membantu. Lagi pun, saya akan menjaga badan saya sebaik-baiknya semasa dalam tempoh berpantang.

“Orang kata, waktu itulah kita nak jaga badan. Kalau tak di kawal, susah pula nak turun nanti,” katanya.

Tambahnya, pemakanan baik akan membantu menjaga badan dan muka untuk kekal muda. Katanya lagi, sentiasa mengamalkan sikap memaafkan orang lain antara kunci dia kelihatan tenang.

“Memang saya ni cepat marah. Tapi ia tak lama pun. Saya tak suka marah, dendam atau apa sahaja sikap tidak baik dalam diri saya.

“Jika berlaku sesuatu perkara, saya akan cuba selesaikan dengan secepat mungkin. Kalaupun ada orang yang bersalah pada saya, tetap saya yang akan meminta maaf terlebih dahulu.

“Saya tidak mahu perkara yang berlaku berlarutan dan menyebabkan perselisihan faham,” katanya.



Sokong minat anak



Tidak hanya Linda malah dua anaknya hasil perkahwinan terdahulu, iaitu Rezzaril, 11 tahun dan Rezzaiman, 9 tahun sudah berjinak-jinak dalam dunia lakonan.

“Mereka berdua sudah berlakon bersama saya untuk drama Rasuk. Terkejut juga saya kerana mereka berdua menunjukkan minat seawal usia ini. lebih kurang saya masa kecil-kecil dulu.

“Sebagai ibu, saya tidak menghalang malah memberi sepenuh sokongan terhadap mereka. Selepas daripada drama itu, mereka sudah ada beberapa tawaran Cuma, saya menyekat kerana mahu mereka tumpukan pada pelajaran.

“Bila cuti sekolah nanti, barulah boleh dibenarkan berlakon. Kalau saya ikutkan kehendak anak-anak, mereka memang suka dan tak kisah pun. Tapi sebagai ibu bapa, saya dan suami memantau mereka dan tidak mahu mereka tercicir dalam pelajaran.

Jika tahun-tahun sebelum ini, Linda dan keluarga akan pulang ke kampung suaminya ke Kelantan, namun tahun ini mereka hanya menyambutnya di kediaman mereka di Shah Alam, Selangor sahaja.

“Tahun ini kami beraya di sini sahaja. Nak pergi mana pun tak boleh kerana keadaan saya. sambutan secara sederhana sahaja. Persiapan baju untuk anak-anak sudah saya siapkan sebelum bulan puasa lagi.

“Saya memang sediakan awal kerana tidak mahu bersesak-sesak-sesak pada bulan puasa ni. Apabila semua dah siap, lega hati dan boleh tumpu pada perkara lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: