Thursday, August 18, 2011

Isu berpakaian menjolok mata



Penyiaran iklan raya, Glow & Glamour yang menampilkan penyanyi, Nurul Wahab, sebagai dutanya, mengejutkan ramai pihak. Keadaan Nurul dalam pakaian menjolok mata dengan berlatar belakangkan masjid, mengundang rasa tidak senang di kalangan banyak pihak.

Apatah lagi, ia disiarkan dalam suasana umat Islam menyambut bulan penuh suci ini.

Nurul yang dihubungi Zass, mengharapkan agar perkara itu tidak dibesar-besarkan kerana ia berlaku secara tidak disengajakan.

“Gambar tersebut telah diambil pada tahun 2009, setelah Nurul menandatangani kontrak bersama mereka. Antara terma yang terkandung dalam kontrak tersebut, mereka boleh memakai dan menyiarkan gambar-gambar Nurul pada bila-bila masa untuk tujuan promosi dan pengiklanan.

“Sebenarnya bukan hanya satu gambar diambil tetapi banyak dan ada beberapa pasang baju yang turut Nurul gayakan.

“Sejujurnya Nurul tidak mengetahui tentang gambar mana yang digunakan pihak Glow&Glamour untuk iklan raya, kerana mereka tidak merujuk pada Nurul. Tapi setelah menyedari kesilapan mereka, mereka telah pun menarik balik penyiaran iklan tersebut,” katanya.

Nurul berkata, dia enggan memanjangkan perkara ini, kerana pihak Glow & Glamour telah menyedari kesilapan mereka dan juga memohon maaf secara terbuka melalui laman Facebook serta kepadanya.

“ Mungkin selepas ini, Nurul akan lihat dulu gambar mana yang digunakan sebelum disiarkan,” akhirinya.

Kami mohon maaf: Glow & Glamour

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Glow & Glamour, Claire menjelaskan pihaknya tidak mengetahui tentang etika pemakaian ketika Ramadan.

Claire berkata, ketika pihak Glow & Glamour menghantar penyiaran iklan itu, mereka tidak mendapat apa-apa respons negatif.

“Glow & Glamour adalah dinaungi oleh orang bukan Islam, jadi kami akui kurang arif mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dipakai ketika bulan Ramadan.

“Saya akui pihak kami kurang peka mengenai perkara itu dan kami memohon maaf secara terbuka kerana menimbulkan kontroversi dengan penyiaran iklan tersebut. Kami juga telah membuat keputusan menarik balik penyiaran iklan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: