Monday, August 22, 2011

Teroka keunikan negeri Perak


SALAH satu babak program Discover Perak yang menyaksikan Xandria Ooi dan Julie Song (kiri) mencuba sendiri proses pengilangan kicap.


MENYEDARI keunikan negeri Perak yang memiliki 1001 rahsia tentang khazanah makanannya telah mendorong saluran Asian Food Channel (AFC) untuk menerbitkan sebuah rancangan istimewa, Discover Perak.

Bakal memulakan tayangan perdananya pukul 8 malam di AFC (saluran 703, Astro), Discover Perak bukan sembarangan program pengembaraan yang pernah dihasilkan sebelum ini.

Sebaliknya, program yang dihasilkan sebanyak lima episod ini akan memaparkan keindahan negeri Perak serta rahsia yang belum pernah dibongkar sebelum ini.

Pengarah, penerbit dan hos Discover Perak, Xandria Ooi memberitahu idea untuk menerbitkan program itu timbul selepas diperkenalkan dengan Ketua Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Aminuddin Hashim.

Kata Xandria, dia bagaikan terpaku dan terkesima apabila mendengar cerita Aminuddin tentang negeri Perak terutama makanan yang ditawarkan dari negeri itu.

“Saya fikir adalah satu kerugian yang sangat besar seandainya ia tidak dieksploitasi dengan sebaik mungkin. Inilah juga masanya untuk kita memperkenalkan keunikan makanan yang ada di negara kita kepada khalayak antarabangsa.

“Apa yang boleh saya katakan, Discover Perak tidak hanya menonjolkan budaya dan makanan yang ditawarkan di negeri itu.

“Tetapi ia juga memaparkan keistimewaan serta aktiviti yang barangkali tidak pernah diketahui ramai sebelum ini,” ujarnya sambil dipersetujui Aminuddin yang berada di sebelahnya.

Personaliti tinggi lampai berusia 28 tahun itu berkata demikian sewaktu sidang akhbar program tersebut yang berlangsung di Restoran Ibunda, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambah Xandria lagi, pihaknya menjalani penggambaran di lima buah daerah iaitu Ipoh, Taiping, Gopeng, Pangkor dan Belum selama hampir dua bulan pada tahun lalu.

Bagi menyempurnakan Discover Perak, Xandria tidak mengacarakan rancangan itu seorang diri. Sebaliknya dia ditemani oleh sahabat baiknya yang juga seorang chef terkenal iaitu Julie Song.

Mungkin tidak ramai yang tahu, Julie juga memiliki restorannya sendiri, Indulgence Restaurant & Living yang ditubuhkan sejak tahun 1996 dan terletak di Ipoh.

Sempat berkongsi cerita tentang Discover Perak, Xandria yang kelihatan cukup teruja dalam sidang akhbar itu menjelaskan dia sendiri tidak pernah menyangka mampu mendapat banyak cerita-cerita menarik.

Salah satunya adalah bagaimana seorang pemilik kilang membuat kicap terkenal di Ipoh yang berdepan dengan masalah di mana tiada seorang pun warisnya yang mahu mengambil alih perniagaannya.

“Bukan itu sahaja, saya cukup kagum dan tertarik melihat bagaimana sebuah kopitiam yang diusahakan oleh seorang warga Cina tetapi dikunjungi semua bangsa dan kaum.

“Begitu juga dengan seorang pengusaha cendol di Taiping yang mana cendol hasil air tangannya mendapat sambutan luar biasa setiap hari.

“Disebabkan itu, saya menyifatkan pengalaman sepanjang menjalani penggambaran Discover Perak ini telah membuka mata dan minda saya terhadap negara saya sendiri,” kata Xandria yang menerbitkan Discover Perak menerusi syarikatnya, XO Productions.

Melihatkan kepada kepuasannya menghasilkan Discover Perak, Xandria turut ditanya apakah dia tidak mahu menerbitkan program serupa tetapi menampilkan negeri lain pula.

Katanya, buat masa ini pihaknya tidak mempunyai sebarang perancangan ke arah itu kerana negeri Perak sendiri belum habis diteroka sepenuhnya.

“Jika tiada aral melintang, kami mahu meneruskan Discover Perak untuk musim kedua dengan memaparkan keindahan dan keunikan daerah lain pula,” kata bekas pengacara rancangan Life! Session yang pernah ditayangkan di saluran ntv7 tidak lama dulu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: