Monday, August 22, 2011

Membeli-belah di Jalan TAR


Nur Fathia Abd. Latif


BUAT pertama kalinya, Nur Fathia Abd. Latif, membawa ibu dan dua adik perempuannya membeli-belah persiapan raya di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, selama ini dia tidak tahu peniaga di situ berjualan hingga lewat pagi pada bulan Ramadan dan apabila berada di sana Nur Fathia menjadi rambang mata.

“Meriahnya kat situ. Terus terasa nak beraya sebab suasana di situ happening sangat berbanding kalau di pusat membeli-belah.

“Rasanya nak datang lagi sekali sebab banyak pilihan. Semua barangan ada, daripada biskut sampailah ke baju raya,” ceritanya.

Menurut Nur Fathia yang lebih mesra dipanggil Fathia, dia berbelanja kira-kira RM2,000 untuk ibu dan adik-adiknya.

Katanya, setiap seorang dibelikan dua pasang baju, iaitu jubah dan baju kurung.

“Adik-adik kalau nak membeli baju mesti nak pergi sama Fathia sebab Fathia yang akan pilih baju untuk mereka. Kiranya, Fathia tau fesyen sikit daripada mereka.

“Lagipun saiz kami hampir sama, jadi tidak susah untuk membeli baju. Untuk adik lelaki, dia pergi dengan ayah. Susahlah nak cari baju lelaki,” katanya yang menaja baju raya keluarga dengan hasil lakonan.

Biarpun sewaktu membeli-belah, dia sering ditahan oleh peminat untuk bergambar, pemegang watak Amni Sofina dalam drama bersiri Stanza Cinta, tidak menghampakan permintaan mereka.

Katanya, bukan luak pun kalau bergambar dengan para peminat yang banyak memberi sokongan kepadanya selama ini.

Menurut Fathia, tema warna baju kali ini adalah putih yang bakal dipakai pada raya pertama di Ayer Hitam, Pulau Pinang.

Kali ini katanya, giliran mereka sekeluarga beraya di rumah nenek sebelah ibunya dulu dan raya ketiga barulah ke Perak, keluarga sebelah bapa.

“Kalau beraya di Penang, pagi raya kami sudah dijamu dengan makanan Arab sebab mak Fathia berasal dari Hadramawth, Arab Saudi. Jadi makanan Arab seperti kuah bamia iaitu bendi dicicah roti dan harisa seperti kanji yang di tengahnya ada minyak dan rempah, pasti sajian utama.

“Bila balik Perak, lain pula menunya. Mesti ada ketupat, lemang dan rendang tok sebab bapa adalah Melayu-Indonesia yang berasal dari Padang, Indonesia,” katanya yang bercadang untuk membuat rumah terbuka pada hari raya kedua.

Menurut Fathia di kalangan masyarakat Arab di Pulau Pinang ada satu tradisi, di mana pada hari raya kedua mereka akan berkunjung antara satu sama lain.

“Dulu-dulu Fathia ikutlah, sekarang ini seganlah. Pada hari kedua raya, anak-anak remaja keturunan Arab akan berkumpul kemudian beraya dari satu rumah ke satu rumah dengan menaiki bas, ala-ala rombongan.

“Itu adalah cara untuk mengeratkan silaturrahim sesama keturunan yang menetap di sana. Dulu seronoklah ikut sebab dapat duit raya banyak,” katanya tersenyum.

Nur Fathia minat menyanyi

DI kalangan ahli keluarga, Fathia terkenal sebagai penyanyi.

Sejak dulu anak sulung daripada empat beradik yang bakal menyambut hari lahir ke-24 pada 1 September ini, lebih minat menyanyi daripada berlakon.

Malah sewaktu bertemunya pada satu majlis di Menara Great Eastern, Jalan Ampang baru-baru ini, Fathia turut memperdengarkan vokalnya kepada penulis.

Tidak dapat dinafikan Fathia ada bakat dan boleh pergi jauh sebagai penyanyi.

“Sejak dulu Fathia tidak pernah terfikir nak jadi pelakon, tapi kalau penyanyi memang ada angan-angan.

“Sekarang ini terbalik pula, perkara yang tidak pernah difikir menjadi keutamaan, sedangkan minat yang mendalam itu masih belum direalisasikan.

“Sebenarnya KRU pernah mendengar suara Fathia tapi waktu itu Fathia tidak berani nak cuba. Sekarang ini kalau ada yang tawarkan untuk jadi penyanyi, rasa-rasanya boleh sebab sudah bersedia,” akuinya terus terang.

Menurut Fathia, dia gemar menyanyikan lagu-lagu yang berentak santai seperti lagu dendangan Norah Jones dan Zee Avi.

Bagaimanapun katanya, untuk merakam lagu, dia perlu menyertai kelas bimbingan vokal terlebih dahulu bagi memastikan tahap kualiti nyanyian.

“Setakat ini Fathia belum lagilah menyuarakan hasrat menjadi penyanyi pada mana-mana pihak. Tapi kalau ada yang berani untuk mengetengahkan Fathia sebagai penyanyi dan kena dengan gayanya, pasti Fathia terima,” kata pelajar Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: