Saturday, August 20, 2011

Suzuki Shogun AXELO


SHOGUN AXELO menjadi taruhan terbaharu Suzuki untuk bersaing dalam pasaran kapcai 125cc.


SUZUKI Assemblers Malaysia Sdn. Bhd. (Suzuki Assemblers) baru-baru ini memperkenalkan model motosikal underbone terbaharu iaitu Suzuki Shogun AXELO. Binaan motosikal tersebut dikatakan mengambil inspirasi daripada jentera superbike Suzuki seperti Hayabusa. Apa yang pasti model itu memiliki reka bentuk moden dan dinamik.

Misalnya, garisan reka bentuk badan yang lebih tajam. Sementara rekaan pelindung kaki, lampu depan berkembar dan lampu belakang lebih sporty. Selain itu, Shogun AXELO dilengkapi panel meter baharu yang memudahkan bacaan sewaktu menunggang. Jentera itu dilengkapi sistem brek cakera pada roda hadapan dan belakangnya.

Enjin motosikal empat lejang bersesaran 125cc itu boleh dihidupkan menerusi penghidup enjin elektrik atau penendang kaki. Ia turut dilengkapi dengan sistem kawalan gear yang lebih lancar dan menggunakan sistem Pulsed Secondary Air-injection (PAIR) bagi pembakaran lebih cekap dalam kebuk enjin.

PAIR berfungsi membekalkan udara segar daripada penapis ke dalam ekzos untuk mengurangkan emisi hidrokarbon dan karbon monoksida.

Shogun AXELO didatangkan dalam dua varian iaitu AXELO S yang mengaplikasikan klac basah (wet-shoe) automatik. Satu lagi ialah AXELO R yang menggunakan klac plat basah berganda.

Kedua-dua jentera tersebut dilengkapi dengan unit pengimbang (balancer) pada aci tunggal enjin untuk mengurangkan kesan getaran. Justeru, Shogun AXELO didakwa mampu menawarkan pengendalian yang mudah serta kestabilan tunggangan pada setiap masa.

Shogun AXELO didatangkan dengan ruang simpanan barang berkapasiti tujuh liter di bawah tempat duduknya. Aspek keselamatan Shogun AXELO ditingkatkan dengan pengenaan suis penghidup berpenutup. Malah suis tersebut juga digunakan untuk membuka kunci tempat duduk.

Didatangkan dalam tiga warna iaitu merah, hitam dan biru, varian Shogun AXELO S ditawarkan pada harga RM5,208 seunit. Bagi varian Shogun AXELO R pula, harganya ialah RM5,388 seunit.

Kedua-dua harga itu tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran, insurans dan caj-caj lain. Jaminan yang diberikan ialah satu tahun atau perbatuan sejauh 10,000 kilometer (yang mana tiba dahulu).

Pelanggan yang mendaftar motosikal Shogun AXELO bermula 1 Ogos sehingga 31 Oktober 2011 berpeluang menerima sehelai jaket dan sebuah topi keledar Suzuki secara percuma (selagi stok masih ada). Pandu uji model itu juga boleh dibuat dengan mengunjungi mana-mana pengedar Suzuki.

Maklumat lanjut, sila hubungi Suzuki Assemblers di talian 04-3977453.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: