Saturday, August 20, 2011

Versi kompak Golf GTI


POLO GTI dikatakan sebagai model Polo yang paling pantas, lebih fokus serta memiliki prestasi bersih pernah dikeluarkan setakat ini.


HARUS diakui apabila pengeluar kenderaan terkemuka Eropah iaitu Volkswagen (VW) gagal untuk bekerjasama dengan pengeluar kenderaan nasional Proton, tidak sedikit yang berasa kecewa. Peluang untuk merasa teknologi Eropah pada harga mampu milik kini tinggal mimpi.

Ironinya, daripada pemerhatian saya, masalah yang sinonim dengan kereta buatan Eropah seperti khidmat lepas jualan yang lemah serta susut nilai yang tinggi seolah-olah dilupakan apabila bercakap mengenai VW.

Saya tidak pasti apakah puncanya. Lebih aneh, model yang paling sinonim dengan rakyat Malaysia hanyalah Beetle klasik. Selepas itu, hayat VW di Malaysia bagaikan hidup segan mati tak mahu.

Saya fikir, VW harus berterima kasih kepada Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Arif, mantan Ketua Pegawai Operasi Proton kerana beliau adalah pencetus kepada kerjasama ini. Secara tidak langsung mempopularkan kembali jenama VW di pasaran tempatan.

Populariti Golf GTI

Selepas berpuluh tahun VW bersandarkan kepada Beetle, rakyat tempatan sejak beberapa tahun lepas boleh mengaitkan jenama itu dengan model Golf GTI. Tiada angin dan tiada ribut, tiba-tiba sahaja Golf GTI menjadi popular. Model itu banyak dibawa masuk oleh pengimport kenderaan bebas.

VW yang tidak mahu membiarkan keuntungan yang sepatutnya masuk ke poket mereka terlepas begitu sahaja, telah mengambil inisiatif dengan membawa masuk beberapa model global ke pasaran tempatan. Selain Golf GTI, model seperti Golf TSI, Polo, Passat CC dan EOS ditawarkan oleh pengedar sah jenama itu, Volkswagen Group Malaysia (VGM).

Menjelang akhir tahun depan, VW bakal mengeluarkan model pemasangan tempatan dengan kerjasama DRB Hicom. Buat masa ini, antara model yang bersungguh-sungguh dipromosikan oleh VGM ialah Polo.

Kereta bandar dengan enjin 1.2 liter TSI yang dipadankan dengan transmisi tujuh kelajuan DSG. Spesifikasinya hebat. Begitu juga dengan harganya iaitu sekitar RM110,000 yang sekali gus menjadi model VW paling murah boleh dibeli di pasaran.

Enjin ringan & hebat


PAPARAN papan pemuka yang tipikal kenderaan buatan Jerman.


Walau bagaimanapun, harus tahu bahawa Polo turut mempunyai model berprestasi tinggi seperti abangnya, Golf GTI iaitu Polo GTI.

Sejarah model prestasi Polo bermula pada tahun 1986 menerusi pengenalan model G40 Coupe, kereta yang dijana oleh enjin rev tinggi dan berkuasa 113PS dengan pengecas lampau (supercharge). Enjin itu juga ringan dan mempunyai tindak balas yang hebat.

Enjin yang digunakan pada Polo GTI bersesaran 1.4 liter dengan TSI iaitu gabungan pengecas lampau dan pengecas turbo. Kedua-dua teknologi canggih itu berfungsi dengan pengecas lampau digunakan daripada kelajuan enjin hinggalah kepada 3,000rpm sebelum diambil alih oleh pengecas turbo.

Kuasa puncak enjin ialah 180PS pada 6,200rpm. Kesemua kuasa itu digunakan untuk menarik beban badan yang hanya seberat 1184 kilogram (kg)!. Hasilnya, pecutan dari titik pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya mengambil masa 6.9 saat dengan kelajuan maksimum sepantas 229 km/j. Falsafah nisbah kuasa kepada berat (power to weight ratio) memang tidak pernah salah.

Enjin 1.4 TSI tersebut kemudiannya dipadankan dengan transmisi canggih iaitu tujuh kelajuan DSG yang memacu tayar hadapan. Selain itu, Polo GTI turut dilengkapi dengan Electronic Slip Differential (EDL) standard dan XDS differential iaitu sistem kawalan cengkaman elektronik yang menyilangkan kuasa untuk memberi lebih cengkaman serta pengendalian lebih baik.

Perubahan estetik


TEMPAT duduk yang disulam dengan perkataan GTI.


Seperti model Golf GTI, Polo GTI turut mengalami beberapa perubahan estetik. Antaranya ialah bampar depan baharu yang mempunyai ruang kemasukan udara yang dalam, jeriji sarang lebah dengan jaluran merah horizontal serta lencana ringkas GTI.

Lampu hadapannya dipasangkan dengan butiran lampu LED siang hari yang menonjolkan lagi imej model ini. Pada bahagian belakang, bamparnya mempunyai peresap kecil dan sepasang muncung ekzos berwarna krom.

Lencana Polo kemudiannya digantikan dengan huruf-huruf GTI. Rodanya pula bersaiz 17 inci, rekaan yang serupa seperti model GTI dengan angkup brek berwarna merah.

Pada saya, Polo yang dijual dalam pasaran tempatan sekurang-kurangnya harus mempunyai rekabentuk begini. Ia nampak lebih muda dan eksklusif berbanding Polo standard yang ditawarkan pada harga tinggi tetapi nampak seperti ‘Mat Skema’.

Rupanya itu seperti tidak padan dengan harga. Lagi pun, Polo ialah model VW paling mampu milik dan sekurang-kurangnya dapat mengubat hati mereka yang kecewa dengan kegagalan projek Proton-VW. Bagi saya pula, Proton Satria GTI sudah memadai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: